Showing posts with label Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chempaka. Show all posts
Showing posts with label Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chempaka. Show all posts

Sunday, March 22, 2015

Kemenangan Ahmad Fathan bukan satu kejutan

Ahmad Fathan (dua dari kanan) adalah ADUN Chempaka yang baru. - Foto TRP/ Sarah M. Khir

PENGKALAN CHEPA, 22 Mac:

Calon PAS, Ahmad Fathan Mahmood @ Muhammad menang besar, selepas mendapat majoriti 10,092 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, hari ini, berbanding 6,500 undi yang diperolehi parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Jumlah ini menjadikan Ahmad Fathan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka yang baru, menggantikan penyandang, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dengan menumpaskan semua empat calon bebas yang lain.

Kemenangan besar beliau yang memperolehi 10,899 undi mengalahkan empat calon bebas yang lain, adalah sesuatu yang sudah boleh dijangkakan sejak awal lagi.

Sebelum ini, Allalhyarham Nik Abdul Aziz memperoleh 12,310 undi pada PRU13, dengan majoriti 6,500 undi.

Keputusan rasmi PRK DUN Chempaka itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ibrahim Bakri Mat Deris di pusat penjumlahan undi, di Dewan Bitara Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, tepat jam 9 malam.

Calon bebas, Sharif Mahmood yang menggunakan lambang gajah, mendapat 807 undi, manakala Izat Bukhary Ismail Bukhary (lambang pen) mendapat 51 undi.

Fadzillah Hussin yang menggunakan lambang kunci pula hanya berjaya mendapat 89 undi, sementara calon yang menggunakan lambang buku, Aslah Mamat meraih 27 undi.

Kesemua empat calon bebas berkenaan hilang wang deposit masing-masing sebanyak RM5,000.

Proses PRK hari ini mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 55 peratus, jauh daripada jangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya, iaitu sebanyak 70 peratus.

PRK DUN Chempaka kali ini diadakan, ekoran kematian Allahyarham Nik Abdul Aziz, pada 12 Februari lalu, akibat kanser prostat.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/03/22/kemenangan-ahmad-fathan-bukan-satu-kejutan/#ixzz3V813MgY4

Thursday, March 12, 2015

UMNO pecat keahlian Sharif dan Fadzillah

Sharif memulakan kempennya dengan menyampaikan ceramah di sebuah kedai kopi di Kampung Pulau Gajah, malam kelmarin - Foto TRP/Azrol Ali.

PENGKALAN CHEPA, 12 Mac:

Umno memecat keahlian Sharif Mahmood dan Fadzillah Hussin yang bertanding sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Kecil DUN Chempaka.

Kedua-dua keahlian mereka berkuatkuasa hari ini selepas satu surat pemecatan dikeluarkan oleh Ibu Pejabat UMNO hari ini yang ditandatangani oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Keputusan pemecatan ini dibuat melalui Jawatankuasa Pengurusan Majlis Tertinggi di bawah Fasal 20.10 Perlembagaan UMNO.

Umno Online melaporkan, Shariff merupakan ahli yang berdaftar di bahagian Umno RKT Gua Musang cawangan Jeram Tekoh sementara Fadzilah merupakan ahli Umno Tumpat cawangan Kepala Batas.

Sebelum ini, Fadzillah menolak dakwaan yang mengatakan dia tidak kisah sekiranya Umno mengambil tindakan disiplin terhadap dirinya kerana bertanding sebagai calon bebas di PRK Cempaka.

Fadzillah yang juga Ketua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia berkata, keputusannya bertanding bukan untuk menentang parti tetapi dia juga tidak sedar akan perlembangaan parti.

Sementara itu Shariff berkata, dia bukan ahli mana-mana parti dan keahliannya sudah tamat kerana tidak diperbaharui dalam masa setahun.

Pemecatan ahli oleh Umno bukan suatu perkara yang baru kerana sebelum ini Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah memecat 61 ahlinya kerana menjadi calon bebas dalam Pilihan Raya Umum Ke -13.

PRK Cempaka menyaksikan pertandingan lima penjuru iaitu imam tua Masjid Mukim Baung Besar, Ahmad Fathan Mahmood @ Mahamad daripada Pas manakala empat calon bebas ialah Yang Dipertua Kelab Bumi Rahmat Kelantan, Fadzillah Hussin, ahli perniagaan dari Pasir Puteh, Aslah Mamat, aktivis Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Sharif Mahmood dan ahli perniagaan, Izzat Bukhary Ismail Bukhary.

PRK DUN Chempaka diadakan berikutan kematian Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Februari lalu kerana kanser prostat.

Pada Pilihan Raya Umum ke13 (PRU-13) beliau menang dengan majoriti 6,500 undi.

Allahyarham Nik Abdul Aziz mendapat 12,310 undi manakala calon BN, Wan Razman Wan Abd. Razak memperolehi 5,810 undi.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/03/12/umno-pecat-keahlian-sharif-dan-fadzillah/#ixzz3U68Jync6

Tuesday, March 10, 2015

PRK Dun Chempaka: PAS ditentang 4 calon bebas

ASLANI M | 10 Mac 2015.

KOTA BHARU: Pilihan raya Kecil (PRK) Dun Chempaka menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon PAS dan empat calon Bebas.

Pegawai Pengurus PRK Dun Chempaka, Ibrahim Bakri Mat Deris mengumumkan demikian di pusat penamaan calon di dewan Maktab Rendah Sains Mara Pengkalan Chepa sebentar tadi.

Calon PAS, Ustaz Fathan Mahmood berhadapan dengan empat calon Bebas iaitu Izzat Bukhari Ismail Bukhari, Fadzillah Husin, Aslah Mamat dan Sharif Mahmood.

Empat calon Bebas itu menggunakan lambang kunci, pen, buku dan gajah.

Hari mengundi ditetapkan pada 22 Mac sementara pemilihan awal 18 Mac.

PRK Dun Chempaka diadakan berikutan kematian Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku penyandang pada 12 Februari lalu.

Pada PRU13 lalu, Tuan Guru memenangi kerusi Dun Chempaka menewaskan calon BN dengan majoriti 6,500 undi.

Pagi tadi, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengetuai perarakan calon PAS yang diiringi kira-kira 5,000 penyokong PAS dan Pakatan Rakyat bermula dari Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) sehingga ke MRSM Pengkalan Chepa, sejauh kira-kira 1.6 km.

Sebelum itu, solat dihajat diadakan di madrasah Putik yang diimamkan oleh adik Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Ustaz Nik Razi Nik Mat. - HARAKAHDAILY 10/3/2015

Saturday, February 28, 2015

Ni dia bakal calon bebas PRK DUN Chempaka.....?

Fadzillah tetap mahu jadi calon

Ketua Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia Fadzillah Hussin menolak bahawa ada pihak yang menajanya untuk bertanding di dalam PRK Chempaka -Foto: Facebook Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia

KUALA LUMPUR, 28 Februari:

Ahli UMNO Fadzillah Hussin yang baru-baru ini menjadi tumpuan selepas menguar-uarkan keputusannya untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Chempaka, menyifatkan amaran yang dikeluarkan oleh Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai “kenyataan politik.”

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Fadzillah yang merancang untuk bertanding sebagai calon bebas berkata, walaupun dia adalah ahli UMNO Kepala Batas sejak berusia 18 tahun, dia tidak pernah memegang apa-apa jawatan atau bergerak aktif dalam parti.

“Saya sudah lama menjadi ahli UMNO dan sentiasa menyokong parti. Namun begitu, saya melihat amaran Tok Pa (Mustapa) sebagai hanya kenyataan politik dan tidak memberi kesan apa-apa kepada saya.

“Sekiranya keahlian saya ditarik balik, ia tetap tidak menjejaskan keinginan saya untuk bertanding kerana saya seorang yang menyokong prinsip kerajaan.”

Semalam, Mustapa memberitahu media bahawa ahli UMNO perlu menurut keputusan parti untuk tidak bertanding dalam pilihan raya kecil dan tindakan akan diambil ke atas sesiapa yang bertanding di bawah tiket calon bebas.

Fadzillah yang juga ketua untuk dua badan bukan kerajaan (NGO), Kelab Bumi Rahmat dan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia, menambah dia tidak teragak-agak untuk menubuhkan parti baru menggunakan satu daripada dua NGO berkenaan.

“Ceramah pertama saya bertajuk Perpaduan Melayu Islam Kelantan. Tarikh, tempat dan sebab saya bertanding akan diberitahu kemudian,” katanya seperti yang dipetik dalam portal berita itu.

Mengenai dakwaan bahawa dia ditaja oleh beberapa pihak untuk mengambil bahagia dalam pilihan raya kecil pada 22 Mac depan, Fadzillah memberitahu Sinar Harian bahaw dakwaan itu tidak benar.

Malah, beliau berkata keputusan bertanding adalah keputusannya yang dipacu oleh keinginan yang tinggi untuk merealisasikan perpaduan di kalangan orang Melayu Kelantan yang semakin rapuh disebabkan ketidaksepakatan.

“Saya tidak mengejar kedudukan. Saya hanya ingin membina platform kukuh untuk menyebarkan pengetahuan dan propaganda demi kebaikan ummah,” kata Fadzillah dan menambah dia memang mahu menjadi calon pilihan raya sejak 20 tahun lalu.

Kerusi Dewan Undangan Negeri Chempaka kosong selepas kematian penyandangnya, Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat pada 12 Februari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 10 Mac sebagai hari penamaan calon dan 22 Mac untuk hari mengundi.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/28/fadzillah-tetap-mahu-jadi-calon/#ixzz3T38CAty8

Thursday, February 26, 2015

BN tidak bertanding PRK DUN Chempaka

HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka pada 22 Mac depan.

Ini, ujar Presiden Umno itu untuk memberi fokus kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir di Kelantan.

Bernama melaporkan, beliau yang juga Pengerusi BN berkata ini kerana kerja-kerja pemulihan masih dalam proses untuk dilaksanakan bagi membantu mangsa banjir di negeri itu.

"Masih banyak pihak yang patut terima bantuan dan masih tidak menerimanya. Kita jadikan ini keutamaan yang tertinggi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, di sini malam tadi.

Menurut Perdana Menteri, pihaknya telah mengadakan perbincangan menyeluruh dengan Umno Negeri Kelantan dan Umno Bahagian Pengkalan Chepa sebelum membuat keputusan itu.

Kerusi Dun Chempaka kosong berikutan kematian Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Adun di situ akibat kanser prostat pada 12 Februari lalu.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Dun Chempaka pada 22 Mac sementara penamaan calon 10 Mac.

Pada PRU13 lalu, Tuan Guru yang juga Mursyidul Am PAS mendapat 12,310 undi menewaskan calon BN, Wan Razman Wan Abd Razak (5,810 undi) dengan majoriti 6,500 undi. -HARAKAHDAILY

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-