PETALING JAYA, 10 Februari:
Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan membawa usul bagi mengecam tindakan hakim-hakim yang terlibat dalam kes Liwat II (Fitnah 2) membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam sidang Parlimen akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata, tindakan panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria mengatakan Mohd Saiful Bukhairi Azlan seorang saksi yang berwibawa jelas bertentangan dan tidak konsisten dengan kesemua bukti yang dibentang dan dihujah pihak pembelaan.
“Keadilan mengecam sekeras-kerasnya penghakiman kes Fitnah 2 hari ini. Kes Fitnah 2 ini jelas adalah satu konspirasi politik yang bertujuan untuk melemahkan kebangkitan rakyat yang semakin hari semakin mengancam kedudukan UMNO Barisan Nasional.
“Keputusan hari ini memusnahkan keyakinan rakyat terhadap kebebasan institusi kehakiman.
“Keadilan akan memfailkan usul di Parlimen untuk mengkritik perilaku hakim-hakim Mahkamah Persekutuan di dalam kes Fitnah 2 yang memenjarakan saudara Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di sini.
Menurut Wan Azizah, keputusan mahkamah tidak akan melemahkan semangat parti sebaliknya PKR akan memperkukuh kepimpinan dan jentera parti untuk meneruskan perjuangan melaksanakan agenda rakyat demi Malaysia yang lebih baik.
“Kami akan menggalakkan orang ramai untuk menyertai perhimpunan solidariti di luar Penjara Sungai Buloh setiap hari, bermula malam esok (Rabu).
“Kami juga akan mengatur solat hajat pada hari Khamis malam Jumaat ini di setiap Cabang Keadilan seluruh negara.
“Keadilan istiqamah dan komited untuk tidak mensia-siakan pengorbanan saudara Anwar,” ujarnya.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/10/pkr-bawa-usul-kritik-hakim-di-parlimen/#ixzz3RMB63gIU
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.