Ketua DAPSY Teo Kok Seong berkata, pembekuan kerjasama dengan Dewan Pemuda Pas Pusat itu merangkumi semua peringkat di seluruh negara.
“Keputusan ini diambil berikutan langkah PAS Kelantan yang telah bertindak membentangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) baru-baru ini dengan membelakangkan perjanjian bersama Pakatan Rakyat (PR),” katanya dalam satu kenyataan lewat petang ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah turut mencabar sayap Pemuda BN untuk menggantung atau memutuskan kerjasama dengan Pemuda UMNO sebagai bukti bantahan terhadap sokongan mereka kepada pelaksanaan hudud itu.
Dalam kenyataannya semalam, Teo telah membidas tindakan sombong dan angkuh puak konservatif dalam PAS yang tetap berdegil mahu hudud dilaksanakan walaupun ia tidak dipersetujui oleh PR.
Teo menyatakan, beliau amat kecewa dengan tindakan tersebut yang dibuat secara tergesa-gesa tanpa sebarang usaha untuk menyelesaikan perbezaan pendapat secara kolektif dalam pimpinan PR.
“DAPSY yakin pembentangan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang dibentangkan di sidang DUN Kelantan adalah permainan politik semata-mata, bukannya untuk keperluan dan kepentingan rakyat mahupun penekanan ajaran Islam yang bijak serta syumul.
“Kami kekal dengan pendirian bahawa pelaksanaan hudud adalah bertentangan dengan asas-asas pembinaan negara yang digariskan di dalam Perlembagaan Persekutuan,” tegas beliau.
Bekukan hubungan, langkah wajar
Sementara itu, DAPSY Wilayah Persekutuan turut menyambut baik keputusan Majlis Eksekutif DAPSY untuk menghentikan sebarang kerjasama dengan Dewan Pemuda PAS.
Ketua DAPSY WP Bryan Lew dan Setiausaha DAPSY WP Edmund Teoh Kheng Yaik dalam kenyataan bersama menegaskan, langkah tersebut wajar dilakukan berikutan tindakan PAS Kelantan jelas bercanggah dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat.
“Kami menyokong kenyataan Ketua DAPSY Teo Kok Seong bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang dibentangkan di sidang DUN Kelantan semalam adalah satu permainan politik.
“Enakmen tersebut juga bukan bertujuan untuk menyelesaikan masalah rakyat di Kelantan,” kata mereka dalam satu kenyataan. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.