Showing posts with label Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993. Show all posts
Showing posts with label Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993. Show all posts

Saturday, April 18, 2015

Tentang hudud, MCA, Gerakan dan DAP yang seumpama itik tempang

oleh Khoo Kay Peng
SUARA LANTANG: Ketiga-tiga parti politik kaum Cina, iaitu MCA, Gerakan dan DAP telah dilihat seumpama lawak jenaka.

Sejak Sidang DUN Kelantan meluluskan pindaan ke atas Kanun Jenayah Syariah II 1993 sebulat suara, ketiga-tiga parti politik ini telah menyalahkan satu sama lain. Kanun jenayah tersebut menggariskan hukuman bagi beberapa kesalahan termasuk bagi dengan cara memotong tangan, dan merejam sampai mati.

Kanun jenayah syariah itu tidak dilaksanakan di Kelantan walaupun telah diluluskan pada 1993 kerana ia pindaan diperlukan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Namun presiden PAS Abdul Hadi Awang telah membentang pindaan undang-undang bagi dua Rang Undang-Undang (RUU) di Parlimen. RUU tersebut termasuk kertas arahan parlimen yang masih belum dijadualkan bagi dibahaskan.

MCA dan Gerakan telah menyalahkan kepimpinan DAP kerana gagal “menghalang kerajaan Kelantan daripada membentang pindaan kanun jenayah atau hudud itu.”

Gerakan telah memfail tindakan mahkamah berkaitan pindaan hudud. MCA pula mengambil langkah lebih dramatik dengan menghantar memorandum ke pejabat DAP menggesa perletakan jawatan pemimpinnya. Pada masa yang sama, mereka sebenarnya mencerminkan diri sendiri.

Terdapat beberapa pusingan yang dilakukan parti politik yang mewakili Bukan Melayu. Sejak PRU pada tahun 2013, agenda politik Melayu telah menonjolkan dirinya.

Daripada sekatan penggunaan perkataan Allah bagi terbitan Kristian kepada dakwaa hasutan terhadap ahli politik, ahli akademik dan aktivis masyarakat kepada isu menyentuh bangsa, Raja dan agama, kerajaan pusat pimpinan Umno mahu memperkukuhkan sokongan Melayu-Islam dengan menumpukan isu Jalur Tiga (Islam, Melayu dan Raja) yang tidak boleh dipertikai.

Sejak PRU yang lalu, Umno tidak lagi gentar kekurangan majoriti dua-pertiga di parlimen. Ia telah belajar bagaimana berkuasa tanpa majoriti besar. Gabungan BN pimpinan Umno telah meluluskan Akta Pencegahan Keganasan (Pota) dan pindaan Akta Hasutan tanpa bersusah payah. Ini bukti ia yakin memerintah dengan majoriti mudah.

Umno Kelantan menyokong cita-cita negara Islam PAS. Ini satu lagi petanda. Ia tak mampu dilakukan tanpa sokongan kepimpinan pusat. Mungkin ia memberi gambaran hubungan PAS dan Umno. Adakah PAS dan Umno seiringan di dalam menjaga Jalur Tiga bagi perpaduan Melayu-Islam?

Apa makna hubungan Umno-PAS ini kepada parti berasaskan kaum Cina di dalam Pakatan dan BN?
Jelas bahawa MCA, Gerakan dan DAP tak mampu melakukan apa-apa. Gerakan telah memulakan usaha dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap hukum hudud di Kelantan.

Tetapi kedudukan mereka agak aneh dan goyah sekiranya ramai ahli Umno menyokong RUU PAS pada sidang parlimen akan datang. Malah pemimpin golongan sederhana seperti Dr Dzulkefly Ahmad (PAS) dan Mustapa Mohamed (Umno) menggesa hudud diberi peluang.

Reaksi MCA, Gerakan dan DAP buat masa ini menggambarkan mereka itik tempang. Kesemua mereka bergantung kepada kepimpinan Melayu bagi membolehkan mereka kekal relevan di dalam lanskap politik tempatan.

Walaupun berbicara soal mempertahankan perlembagaan dan hak demokrasi, kedua-dua MCA dan gerakan telah membuat keputusan aneh menyokong Pota dan Akta Hasutan. Mereka tak mampu bersuara dan menyoal mengapa Umno membenarkan kepimpinannya di Kelantan menyokong hudud PAS.

DAP telah membuat keputusan aneh mengkritik dan memutus hubungan dengan presiden PAS tetapi kekal sebagai rakan PAS di dalam Pakatan Rakyat. Malah ia turut serta akan berkempen di dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Ketiga-tiga parti ini bagaimanapun menyalahkan satu sama lain kerana tidak menghalang rakan Melayu-Islam mereka menyokong Kanun Jenayah Syariah 1993. MCA, Gerakan dan DAP adalah pesaing dan saling ingin mengukuhkan sokongan melalui Umno dan PAS yang dilihat kunci kepada tampuk kuasa.

Tetapi kini, PAS dan Umno yakin mereka tidak perlu lagi melihat bagaimana reaksi rakan-rakan bukan Melayu mereka di dalam apa jua tindakan. Dengan pengaruh parti bukan Melayu semakin kabur, kita kecewa melihat parti-parti berasaskan kaum Cina itu hilang arah dan tujuan.

Liow Tiong Lai, Mah Siew Keong dan Lim Kit Siang masih hidup di dalam kepompong politik mereka. Percakaran tanpa henti ketiga-tiganya di dalam pelbagai isu boleh diselesaikan sekiranya mereka duduk semeja dan berbincang. Namun kegagalan ini menggambarkan mereka tidak lagi relevan.

Malangnya MCA, Gerakan dan DAP hanya mahu bertekak sedangkan pengaruh parti berasaskan kaum Bukan Melayu telah semakin dipinggirkan dek kerana agenda Melayu-Islam yang semakin memuncak.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Tentang-hudud-MCA-Gerakan-dan-DAP-yang-seumpama-itik-tempang#sthash.ukfSzrRc.dpuf

Thursday, March 19, 2015

DAPSY bekukan kerjasama dengan Dewan Pemuda PAS

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Majlis Eksekutif Pemuda DAP (DAPSY) hari ini membuat ketetapan untuk membekukan semua bentuk kerjasama dengan Dewan Pemuda PAS Pusat.

Ketua DAPSY Teo Kok Seong berkata, pembekuan kerjasama dengan Dewan Pemuda Pas Pusat itu merangkumi semua peringkat di seluruh negara.

“Keputusan ini diambil berikutan langkah PAS Kelantan yang telah bertindak membentangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) baru-baru ini dengan membelakangkan perjanjian bersama Pakatan Rakyat (PR),” katanya dalam satu kenyataan lewat petang ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah turut mencabar sayap Pemuda BN untuk menggantung atau memutuskan kerjasama dengan Pemuda UMNO sebagai bukti bantahan terhadap sokongan mereka kepada pelaksanaan hudud itu.

Dalam kenyataannya semalam, Teo telah membidas tindakan sombong dan angkuh puak konservatif dalam PAS yang tetap berdegil mahu hudud dilaksanakan walaupun ia tidak dipersetujui oleh PR.

Teo menyatakan, beliau amat kecewa dengan tindakan tersebut yang dibuat secara tergesa-gesa tanpa sebarang usaha untuk menyelesaikan perbezaan pendapat secara kolektif dalam pimpinan PR.

“DAPSY yakin pembentangan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang dibentangkan di sidang DUN Kelantan adalah permainan politik semata-mata, bukannya untuk keperluan dan kepentingan rakyat mahupun penekanan ajaran Islam yang bijak serta syumul.

“Kami kekal dengan pendirian bahawa pelaksanaan hudud adalah bertentangan dengan asas-asas pembinaan negara yang digariskan di dalam Perlembagaan Persekutuan,” tegas beliau.

Bekukan hubungan, langkah wajar
Sementara itu, DAPSY Wilayah Persekutuan turut menyambut baik keputusan Majlis Eksekutif DAPSY untuk menghentikan sebarang kerjasama dengan Dewan Pemuda PAS.

Ketua DAPSY WP Bryan Lew dan Setiausaha DAPSY WP Edmund Teoh Kheng Yaik dalam kenyataan bersama menegaskan, langkah tersebut wajar dilakukan berikutan tindakan PAS Kelantan jelas bercanggah dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

“Kami menyokong kenyataan Ketua DAPSY Teo Kok Seong bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang dibentangkan di sidang DUN Kelantan semalam adalah satu permainan politik.

“Enakmen tersebut juga bukan bertujuan untuk menyelesaikan masalah rakyat di Kelantan,” kata mereka dalam satu kenyataan. – Roketkini.com

Pindaan Enakmen Jenayah Syariah II perkukuh PR

AHMAD MARZUK SHAARY

SAYA ingin mempertahankan pembentangan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 pada Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan. Ianya adalah merupakan sebahagian daripada prinsip prinsip demokrasi dan kebebasan yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat.

Kelantan sejak daripada awal kedatangan Islam telah lama mengamalkan perundangan Islam. Hanya setelah di'jajah' Inggeris ia mula diganti dengan undang-undang British.

Sejarah perjuangan perundangan Kelantan juga menarik untuk diketahui. 6 hari sebelum pembentukan Malaysia , kerajaan negeri Kelantan mengadakan tindakan perundangan bagi mendapatkan pengistiharan bahawa Perjanjian Malaysia dan Akta Malaysia adalah tidak sah dan tidak mengikat negeri Kelantan.

Masyarakat bukan Islam di Kelantan telah ratusan tahun hidup harmoni bersama masyarakat Islam. Bahkan perkembangan tokong tokong dan pusat ibadat di Kelantan menjadi simbol kebebasan dan keharmonian agama di Kelantan.

Islam yang diperjuangkan oleh PAS tidak pernah memaksa DAP dan mana-mana pihak untuk menyokong pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan. Bahkan kami senantiasa terbuka dalam mengadakan perbincangan malahan debat jika perlu.

Sokongan kuat rakyat Kelantan termasuk masyarakat bukan Islam terhadap PAS sejak pilihanraya umum 1990 hingga kini menjadi mandat kepada kami untuk meningkatkan lagi agenda perjuangan kami.

Ruang Sidang Dun dan Usul Persendirian Parlimen yang dibuat oleh PAS adalah melalui saluran demokrasi. PAS tidak kisah jika majoriti menolak, kerana kami menghormati proses demokrasi yang ada.

Bantahan keras DAP juga kami hormati. Ini kerana kesepakatan dalam Pakatan Rakyat juga bermaksud kami akan senantiasa menghormati apa jua perbezaan yang ada.

Saya mengajak seluruh rakan daripada PKR dan DAP untuk terus memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

Sesungguhnya Islam adalah rahmat untuk semua. - HARAKAHDAILY

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-