Thursday, April 30, 2015

'Flip-flop' tambah nilai prabayar: Buat keputusan muktamat segera

oleh Sonia Ramachandran

PANTAUAN GST: Dasar ‘flip-flop’ berhubung harga tambah nilai pra-bayar berterusan dan kali ini, ia nampaknya kembali kepada status quo sebelum pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Tunggu dulu, tak jadi.

Jabatan Kastam dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) nampaknya seperti tidak pernah bersapa, justeru mengeluarkan kenyataan berbeza pada hari yang sama.

Pada 29 April, The Star memetik Ketua Pengarah Kastam Khazali Ahmad sebagai berkata, syarikat telekomunikasi telah dimaklumkan agar mengembalikan harga tambah nilai sebelum pelaksanaan GST.

“Ini bermakna tambah nilai RM10 akan berharga RM10, bukannya RM10.60 termasuk GST,” katanya seperti dipetik.

Pada hari yang sama, timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan menerusi laman twitter berkata, satu surat bertarikh 28 April telah diberikan kepada syarikat telekomunikasi, mengarahkan mereka mengembalikan harga tambah nilai sebelum GST bermula 1 Mei ini.

Namun petangnya, SKMM mengeluarkan kenyataan bahawa ia akan terus dijual dengan harga termasuk GST.
“Misalnya, tambah nilai RM10 akan berharga RM10.60 dengan tambahan 6 peratu GST.

“Seperti yang kami nyatakan pada 3 April, satu kajian akan dibuat oleh pembekal perkhidmatan telekomunikasi untuk menilai sama ada pelanggan memilih nilai pra-bayar yang lebih rendah dan dicaj GST. Misalnya, tambah nilai RM10 boleh berharga RM10.60 (tambahan 6 peratus GST) atau RM10 (dengan nilai RM9.43 selepas ditolak GST),” kata pengerusi SKMM Dr Halim Shafie.

Pada 30 April, Khazali seperti berubah fikiran apabila The Star memetiknya mengulas pendirian SKMM dan berkata, arahan agar harga tambah nilai kembali seperti sebelum GST ditangguhkan untuk satu tempoh yang tidak pasti.

Dalam kenyataan SKMM, Halim berkata bahawa kajian sudah hampir selesai dan keputusannya akan dibentangkan kepada pihak berkenaan minggu depan.

“Jabatan Kastam Diraja Malaysia setuju dengan pelaksanaan kajian ini sebelum apa-apa keputusan dibuat.

“(Namun) Terdapat kekeliruan di pasaran dalam soal sama ada tambah nilai prabayar akan kembali kepada kadar pra-GST bermula 1 Mei ini. Harus difahami, perkara itu adalah agak mustahil bagi pembekal-pembekal tersebut untuk melaksanakan perubahan yang dikehendaki dalam dua hari.

“Kedua, keputusan kajian tersebut masih belum dicapai dan terlalu awal untuk memutuskan apa-apa pada masa ini,” katanya lagi.

Tetapi mengapa Halim berkata mustahil bagi pembekal perkhidmatan melaksanakan perubahan dalam masa dua hari, sedangkan Ahmad Maslan pada 3 April lalu berkata pembekal akan kembali menjual tambah nilai dengan harga lama dalam masa sebulan.

Menurut SKMM, kesukaran untuk kembali kepada harga pra-GST berikutan kerumitan dalam pengubahsuaian semula sistem oleh pembekal perkhidmatan, agen pihak ketiga seperti institusi kewangan, pembekal bayaran elekronik, pasar raya, stesen minyak dan agen jualan lain yang berjumlah 3,000.

Kesemuanya perlu menanggung kos yang agak besar bagi pengubahsuaian itu, katanya lagi.

“Kos ini perlu ditimbangkan dengan teliti sebelum keputusan muktamad dibuat.

“Memandangkan semua pihak berkaitan setuju untuk menuggu kajian selesai, SKMM menyeru aga apa-apa keputusan tentang perkara ini dibuat hanya selepas keputusan kajian dipertimbangkan, serta impikasi teknikal dan kewangan,” kata Halim.
Halim risau tentang kos yang ditanggung syarikat telekomunikasi?

Kalau begitu, mengapa susah-susah jalankan kajian, jika kos untuk kembali ke sistem lama adalah besar?

Bagaimana pula dengan kesannya kepada pengguna?

Syarikat telekomunikasi telah menyerap 6 peratus cukai perkhidmatan sejak 1998.

GST juga enam peratus. Maka mengapa mereka tidak terus menanggungnya?

Halim tidak perlu bimbangkan mereka, tetapi rakyat – yang tidak mengaut untung besar malah perlu berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup.

Pihak-pihak bertanggungjawab ini perlu berhenti mengeluarkan kenyataan bertentangan. Sudah banyak kenyataan begitu dalam masa sebulan ini.

Pertama berhubung arahan daripada Jabatan Kastam kononnya syarikat telekomunikasi dilarang untuk menaikkan harga tambah nilai sebanyak 6 peratus selepas pelaksanaan GST.

Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan juga berkata kad pra-bayar dan tambah nilai akan kekal dan menyediakan khidmat ‘hotline’ untuk pengguna membuat aduan.

Sehari selepas GST, Ahmad Maslan dilaporkan berkata syarikat telekomunikasi perlu membayar balik kepada pengguna yang dikenakan caj GST ketika membeli tambah nilai.

Beliau juga memberi amaran yang syarikat telekomunikai boleh dibawa ke mahkamah jika berkeras untuk mengenakan caj GST kepada tambah nilai.

Tidak lama kemudian, laporan menyatakan bahawa syarikat telekomunikasi dibenarkan untuk mengenakan caj GST namun memberikan masa berbual tambahan.

Kepentingan dan hak pengguna perlulah menjadi keutamaan. Mereka tidak boleh menanggung akibat daripada sikap ‘flip-flop’ kerajaan.

Keputusan awal Jabatan Kastam memihak kepada pengguna, dan keputusan itulah yang patut diteruskan. Bukankah mereka yang bertanggungjawab mengutip cukai, bukannya SKMM.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/-Flip-flop-tambah-nilai-prabayar-Buat-keputusan-muktamad-segera#sthash.TUxLjiag.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-