Saturday, April 4, 2015

Hanya pekerja tempatan boleh bersih sekolah

Arahan kementerian menyebabkan guru dan pelajar perlu mengadakan gotong-royong bagi membersihkan kawasan sekolah, sementara menunggu kontraktor pembersihan mendapat pekerja tempatan untuk bekerja di sekolah. - Foto arkib TRP

KUALA LUMPUR, 4 April:

Guru dan pelajar terpaksa ‘mengambil alih’ tugas membersihkan sekolah daripada pekerja kebersihan.

Ini berikutan surat pekeliling yang dihantar kepada pihak sekolah menyatakan Kementerian Pendidikan membatalkan kontrak syarikat menggaji pekerja asing sebagai tukang bersih.

Isu itu menyebabkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah di Subang Jaya, terpaksa mencari pekerja tempatan untuk mengambil alih tugas berkenaan.

Pengerusi PIBG Sekolah Kebangsaan Subang Jaya, Afendi Daniel berkata, arahan itu dikeluarkan kementerian pada 1 April lalu.

“Ia agak mengejutkan pihak PIBG. Bermula 1 April, pekerja warga Indonesia tidak dibenarkan bekerja di sekolah.

“Jadi, buat masa ini, kita tiada pekerja kebersihan.

“Saya tidak pasti sejauh mana masalah ini akan berlarutan, sehingga ada jalan penyelesaian, namun kami cuba mendapatkan pekerja,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Afendi berkata, masalah itu berpunca daripada sumber luar, PIBG tidak dapat menjamin soal keselamatan.

“Kita tidak tahu daripada asal mereka, jadi buat masa ini, kebanyakan sekolah mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan sekolah. Semuanya memberi kerjasama.

“Ribuan pelajar menggunakan sekolah, termasuklah tandas. Jika ia tidak dibersihkan, sudah pasti akan menyebabkan masalah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan ketika dihubungi The Rakyat Post berkata, memang ada arahan itu dan ia dibuat bagi membolehkan hanya warga tempatan diberi peluang pekerjaan.

“Kementerian telah mengeluarkan notis kepada semua kontraktor pembersihan, untuk memastikan hanya pekerja tempatan diambil bekerja di sekolah.

“Rasional tindakan ini adalah untuk menyelesaikan masalah pekerja warga asing serta memastikan keselamatan pelajar dan guru.

“Bagaimanapun, notis ini telah dikeluarkan sejak Januari lalu dan pihak kontraktor telah diberi masa yang cukup untuk melakukan perubahan,” katanya.

Kamalanathan berkata, kementerian akan memantau sekiranya ada laporan kontraktor gagal mematuhi arahan ini dan tindakan akan diambil.

Sementara itu, Afendi berkata, pihaknya mengakui, ada ibu bapa yang mengadu tidak berpuas hati, kerana anak mereka terpaksa melakukan kerja pembersihan.

“PIBG sedang berusaha mengatasi masalah ini bagi mencari pekerja lain. Terdapat banyak masalah yang perlu diselesaikan berhubung perkara ini,” katanya.

Ditanya sama ada arahan ini berkuat kuasa di seluruh negara atau sebaliknya, dia bagaimanapun tidak pasti, namun katanya, masalah itu dihadapi sekolah di Subang Jaya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/04/04/hanya-pekerja-tempatan-boleh-bersih-sekolah/#ixzz3WIOLWj2x

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-