KUALA LUMPUR, 22 April:
Ahli PAS di Permatang Pauh digesa untuk mengundi calon Parti Keadilan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil Parlimen itu yang akan berlangsung pada 7 Mei depan.
Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan memberi kerjasama dalam PRK Permatang Pauh adalah keputusan yang turut melibatkan hukum syarak.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Majlis Syura Ulama PAS berkata, soal isu salah faham yang membabitkan pimpinan kedua-dua parti berpunca daripada berita yang diseleweng oleh media.
“Adapun beberapa isu yang melibatkan salah faham kerana berita yang diseleweng oleh media arus perdana sehingga menimbulkan salah tanggapan, ketegangan, Insya-Allah ia akan diselesaikan melalui perundingan dan pertemuan mahabbah antara para pimpinan dan petugas yang akan diadakan dari masa ke semasa.
“Maka sebagai Ahli Majlis Syura, saya menyeru agar semua ahli PAS yang berdaftar sebagai pengundi di Permatang Pauh untuk keluar mengundi dan memberi undi kepada calon PKR,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya, hari ini.
Kenyataan Pesuruhjaya PAS Pahang itu mungkin dibuat selepas laporan akhbar hari ini yang melaporkan Ketua Urusan Ulama PAS Permatang Pauh, Badrul Abdul Rahman berkata ‘haram mengundi calon tolak hudud’.
Tambah Tuan Ibrahim, pimpinan parti di semua peringkat diminta tidak mengeluarkan kenyataan kontroversi sama ada melibatkan hubungan dengan Pakatan Rakyat (PR) ataupun melibatkan hukum.
Jelasnya, PAS mempunyai organisasi lengkap bagi membuat keputusan melibatkan dasar dan perjalanan parti.
Maka kenyataan berunsur kontroversi ini hanya akan menguntungkan musuh dan ia menambah lagi derita rakyat.
Malah beliau turut menegaskan, PAS masih bersama dengan PR dan ia ditegaskan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Musuh cuba memecahbelahkan PR sejak hari pertama kita wujudkan sehingga kini.
Pendirian parti mesti didokongi oleh ahli sehinggalah ada keputusan baru dan sehingga itu, kita tegaskan PAS adalah sebahagian daripada komponen PR.
“Isu sokongan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) Kelantan sebagaimana yang disebut oleh Presiden PAS, PAS akan membawanya ke Parlimen dan kita menyeru agar Ahli Parlimen Muslim menyokongnya namun kita tidak boleh memaksa mereka,” ujarnya.
Tegasnya, PAS menerima penjelasan daripada PKR berhubung EKJS Kelantan dan memahami pendirian mereka yang tidak menolak syariat Allah yang menjadi kewajipan bagi umat Islam.
“Perbezaannya ialah soal pendekatan dalam membawa usul dan pelaksanaannya.
Maka perbezaan ini akan membuka dialog dan perbincangan ilmiah secara berterusan pada masa kini dan akan datang.
“Isu kontroversi yang melibatkan hukum mesti dirujuk kepada pendirian rasmi Majlis Syura Ulamak dan Pendirian Rasmi Dewan Ulamak kerana ia mempunyai implikasi besar.
Ia boleh mendedahkan mudarat yang lebih besar kepada rakyat sekiranya UMNO-BN terus berkuasa,” katanya.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/04/22/pas-gesa-ahli-undi-calon-pkr-di-permatang-pauh/#ixzz3Y3RCkwoB
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.