Wednesday, May 20, 2015

Dr Mahathir gesa bentuk suruhanjaya siasat 1MDB

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ketua audit negara boleh mengaudit namun ia tidak akan mendedahkan apa-apa, oleh itu lebih baik ditubuhkan satu suruhanjaya untuk meneliti setiap tindakan 1MDB serta anggotanya yang bukan dipilih oleh kerajaan. – Gambar The Malaysian Insider, 19 Mei, 2015.

Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak satu suruhanjaya ditubuhkan bagi menyiasat operasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana audit yang dibuat ketika ini katanya tidak akan mendedahkan mengenai beberapa personaliti yang sering dikaitkan dengan dana pelaburan strategik itu.

Katanya, ketua audit negara boleh mengaudit namun ia tidak akan mendedahkan apa-apa, oleh itu lebih baik ditubuhkan satu suruhanjaya untuk meneliti setiap tindakan 1MDB serta anggotanya yang bukan dipilih oleh kerajaan.

"Ini kerana ia (suruhanjaya) akan menyiasat bukan sahaja 1MDB tetapi juga kerajaan yang gagal mengawasi hal ehwal 1MDB," tulis beliau dalam masukan terbaru blognya petang ini.

"Memeriksa akaun sahaja tidak akan menjelaskan siapa Jho Low. Ia juga tidak akan menjelaskan bagaimana Riza Aziz (anak tiri Najib) memiliki banyak wang ketika wang 1MDB lesap," katanya.

"Ia tidak akan menjelaskan urusniaga-urusniaga meragukan dengan Petro-Saudi, bank-bank di Seychelles, Hong Kong dan Kepulauan Cayman.

"Wang dari Cayman dibawa pulang dan disimpan dengan bank di Singapura.

"Sekarang bank kata tak pernah ada duit disimpan dengan mereka," tulisnya lagi.

Siasatan ketua audit negara ke atas 1MDB diarahkan oleh Najib selaku menteri kewangan merangkap pengerusi lembaga penasihat 1MDB pada awal Mac lalu.

Komen terbaru Dr Mahathir ini dibuat dua hari selepas Najib menggesa pengkritiknya agar bersabar menanti dapatan audit ketua audit negara ke atas 1MDB.

Malah semalam, beliau turut mempertahankan operasi dan akaun tahunan 1MDB yang menurutnya tidak akan disahkan juruaudit bertauliah antarabangsa jika ia bermasalah.

Mengulas perkara ini, Dr Mahathir menyifatkan gesaan Najib itu sebagai mencuit hati.

"Menyuruh orang agar tidak bertanya sebarang soalan adalah melucukan.

"Ia ibarat melihat orang dirompak dan menggesa orang ramai agar tidak berbincang tentangnya sehingga pendengaran di mahkamah selesai," kata Dr Mahathir.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-