Sunday, May 10, 2015

"Saya tak akan tunduk kepada tekanan letak jawatan PM, Presiden UMNO" - Najib

TAWAU, 10 Mei:

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan beliau tidak akan berganjak daripada jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO yang disandangnya sekarang.

Najib berkata, selagi rakyat menyokong beliau untuk menerajui kepimpinan negara sebagai Perdana Menteri dan anggota UMNO terus teguh menyokongnya sebagai Presiden parti, beliau tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan yang mahukan beliau meletak jawatan.

“Saya cuma tunduk kepada (desakan) ahli parti dan rakyat sahaja. Selagi ahli parti sokong saya, selagi rakyat memberi kepercayaan, saya akan tetap meneruskan perjuangan saya,” Najib menegaskan ketika berucap di hadapan kira-kira 40,000 orang yang hadir pada program Solidariti Rakyat Sabah bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Padang Perbandaran Tawau di sini hari ini.

Ini merupakan kali pertama Najib menjawab secara terbuka dan lantang desakan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar beliau meletak jawatan sebagai ketua kerajaan dan UMNO.

Penegasan itu yang dinyatakan Najib dengan suara lantang yang mendapat tepukan dan sorakan daripada hadirin yang memenuhi Padang Perbandaran Tawau sehingga melimpah ke kawasan jalan raya, disertai paluan gendang.

Katanya, jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNOdiperolehi beliau secara proses demokrasi.

Ia ditentukan oleh rakyat dan anggota UMNO dari seluruh negara, dari Padang Besar di Perlis hingga ke Pulau Sebatik, di Tawau Sabah.

Najib yang ingin mendengar suara sokongan hadirin dengan melaungkan “rakyat Sabah sokong…” sebanyak tiga kali telah disambut dengan sorakan gemuruh “Najib, Najib, Najib” oleh orang ramai yang hadir.

Perdana Menteri juga sempat membacakan satu falsafah Bugis bagi menggambarkan tegas dan kukuhnya pendirian beliau.

“Kendati tergantung awan di langit. Telah terlanjur ku bentang layar. Walau badai datang menggunung. Walau berdentum guruh di langit, walau bumi berkeping dua, tak kan mungkin ku berbalik haluan,” Najib memetik falsafah Bugis itu ketika berucap pada program perasmian Projek Perumahan Rakyat di Kota Belud pagi tadi.

Najib mengingatkan, satu suara yang lantang mendesak beliau berundur tidak mungkin lebih besar daripada suara rakyat yang memberi mandat kepadanya memerintah negara, atau ahli UMNO yang mengundinya sebagai presiden, malahan suara orang ramai yang hadir di Kota Belud pada Ahad.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/05/10/saya-tak-akan-tunduk-kepada-tekanan-letak-jawatan-pm-presiden-umno-najib/#ixzz3ZjjFslnE

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-