Showing posts with label Presiden UMNO. Show all posts
Showing posts with label Presiden UMNO. Show all posts

Monday, July 29, 2024

Dakwa parti pembangkang mahu bekerjasama, taktikal Zahid alih isu?

utusantv.com
Oleh UtusanTV
-July 29, 2024

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan sidang media pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
 
GAMBAR: Abd Razak Aid

AHMAD Zahid Hamidi tahu ahli-ahli UMNO masih keberatan menerima kerjasama parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggotai DAP.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh Presiden UMNO itu bersama-sama dengan ‘team’ beliau untuk menyakinkan ahli-ahi UMNO khususnya di peringkat akar umbi berhubung kepentingan kerjasama tersebut, namun setakat ini ia tidak berjaya. Hasilnya, dalam beberapa PRK termasuk di Sungai Bakap, UMNO gagal menarik sokongan pengundi Melayu termasuk ahli UMNO. Jika situasi itu berterusan sudah pasti dalam PRK Nenggiri tidak lama lagi, nasib UMNO akan menjadi lebih buruk.

Tetapi anehnya, Ahmad Zahid dan beberapa pemimpin UMNO masih tergamak mempertahankan kerjasama tersebut dengan melontarkan pelbagai hujah demi memujuk ahli UMNO dan Ahmad Zahid turut mencanangkan usaha untuk bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRU-16.

Pada 30 Jun lalu, di Maran, Ahmad Zahid berkata, BN dan PH akan masing-masing bertanding menggunakan lambang sendiri pada pilihan raya itu nanti.

“Insya-Allah, PRU akan datang kita menggunakan lambang BN. Ini bukan bererti kita lari daripada kesepakatan Kerajaan Perpaduan. Maksudnya, PH boleh bertanding menggunakan lambang PH, dan kita bertanding dengan lambang kita tetapi dari segi kerjasama, kita jalinkan,’’ katanya.

Atas sebab itulah apabila Ahmad Zahid mendakwa parti pembangkang menghantar wakil bagi berjumpa beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berunding membentuk kerjasama pada PRU-16…ramai yang ‘tersenyum’ . Tambahan pula, Timbalan Perdana Menteri itu tidak mahu mahu mendedahkan siapa yang beliau maksudkan sebaliknya mendakwa pihak terlibat sanggup melakukan pelbagai kaedah kerana ‘dahagakan’ untuk menjadi kerajaan semula.

Bagaimanapun dakwaan Ahmad Zahid dinafikan dengan tegas oleh Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah dengan menegaskan, apa yang sebenarnya berlaku adalah Pas bersama parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) ketika ini sedang memperkukuhkan kerjasama gabungan politik itu.

“Setahu saya, tiada pemimpin pembangkang mahu mengadakan perbincangan atau pertemuan dengan kedua-dua pemimpin Kerajaan Perpaduan itu. (Itu tidak berlaku) kerana sikap mereka yang suka mungkir janji,” kata Mohd Amar.

Untuk menyelesaikan isu itu bukan susah, Ahmad Zahid hanya perlu dedahkan siapa pemimpin pembangkang yang ‘begitu teruja sangat’ mahu bertemu beliau dan Anwar ketika ramai orang termasuk ahli UMNO sedang bercakap betapa seronok dan terujanya Presiden UMNO itu menjalinkan kerjasama dan mempertahankan DAP.

Sebagai Presiden kepada sebuah parti dan melaksanakan tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam sebuah kerajaan yang UMNO diterima secara ehsan biarpun kalah teruk dalam PRU-15 serta berhadapan isu integriti, tidak salah untuk Ahmad Zahid diselubungi keseronokan dan keterujaan tersebut tetapi usahlah membuat kenyataan yang dilihat mahu menggambarkan seolah-olah Bersatu dan Pas kemaruk sangat untuk berada dalam kerajaan.

Lagi pula penulis percaya dalam Bersatu dan Pas tidak ada pemimpin yang bersedia melakukan tindakan ‘di depan cakap lain, di belakang buat lain’ sepertimana adegan ‘perbualan guru dan murid’ yang menghebohkan politik negara satu ketika dahulu.

Sumber dalam UMNO ketika ditanya pandangan berhubung kenyataan Ahmad Zahid itu menyifatkan dakwaan Presiden UMNO itu tidak lebih daripada ‘taktikal terbaru’ dalam menghadapi PRK Nenggiri.

‘’Mungkin Ahmad Zahid mahu sampaikan kepada pengundi khususnya ahli UMNO bahawa keputusan beliau membawa parti itu bekerjasama dengan PH termasuk DAP adalah keputusan tepat sehinggakan ada parti pembangkang mahu membuat langkah yang sama. Tetapi semua orang tahu, Bersatu dan Pas sama sekali tidak akan bekerjasama dengan PKR dan DAP. Kalau mahu berbincang dengan UMNO atas dasar perpaduan ummah, mungkin ada…itupun setakat ini sekadar cakap-cakap saja, tiada pun perbincangan rasmi,’’ kata satu sumber.

Persoalannya, adakah kenyataan Ahmad Zahid itu bertujuan untuk mewujudkan perasaan curiga antara parti pembangkang atau bagi mengalihkan isu selepas mendapati reaksi negatif masih lagi membaluti ahli-ahli UMNO berhubung kerjasama parti itu dengan DAP?

Apapun pada pandangan penulis, daripada Ahmad Zahid dilihat cuba ‘menyeret’ parti pembangkang dalam mainan politik beliau, lebih baik Ahmad Zahid yang memimpin UMNO mencatatkan keputusan paling buruk dalam sejarah UMNO pada PRU-15 lalu menumpukan perhatian untuk mengatur strategi bagaimana untuk mengembalikan UMNO sebagai parti dominan dalam arena politik negara. Apa yang ahli-ahli UMNO mahu ialah parti itu bangkit semula menjadi sebuah parti yang mengepalai kerajaan bukannya sekadar ‘penyendal’ dalam kerajaan.

Penulis ‘tersentuh’ apabila mendengar kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mengingatkan supaya ahli parti tidak mengutuk kerajaan hari ini seolah-olah terlupa UMNO hanya ada dalam kerajaan kerana berkongsi kuasa.

“Jadi, atas sebab itulah jangan kita meletakkan parti dan kepimpinan dalam keadaan tersepit. Saya akui kadang-kala parti dalam dilema dengan desakan-desakan sedangkan kita ini lemah.

“Kita tidak mempunyai pilihan, kita didesak, dituntut dan diugut seolah-olah kita ini dominan dalam kerajaan hari ini. Janganlah menyerang parti dengan mendesak akan tuntutan yang boleh menyebabkan pergeseran antara parti yang sama-sama membentuk kerajaan,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang, kelmarin.

Berdasarkan kepada kenyataan Khaled itu, adalah wajar jika Ahmad Zahid tumpukan perhatian pulih UMNO, lagipun Khaled pun sudah menegaskan, jika UMNO bekerjasama dengan Bersatu dan Pas menubuhkan kerajaan selepas PRU-15 UMNO mungkin tidak ada lagi hari ini.

Oleh itu tidak payahlah Ahmad Zahid layan kalau ada parti pembangkang mahu berbincang dengan beliau dalam soal kerjasama, takut nanti lenyap pulak UMNO, maklumlah bukankah sebelum ini beliau sanggup berhadapan dengan pertuduhan salah guna kuasa dan rasuah di mahkamah demi mempertahankan UMNO daripada dibubarkan? Betul tak?

Seperkara lagi, daripada bercakap soal parti pembangkang, lebih baik Ahmad Zahid turut beri tumpuan pulihkan dalaman UMNO khususnya melibatkan hubungan antara pemimpin-pemimpin kanannya sebab penulis difahamkan ‘ada masalah agak serius’ …apa masalah itu? Tunggu saja ia terdedah.

Tuesday, July 23, 2024

Zahid Hamidi sedia lepaskan jawatan presiden UMNO

suaramerdeka.com.my
 23 July 2024

TIMBALAN perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan sedia untuk lepaskan jawatan sebagai Presiden Umno.

Katanya, ia bergantung pada keputusan di peringkat Majlis Keria Tertinggi (MKT) dan Perhimpunan Agung Umna (PAU) malahan dia juga bersikap terbuka sekiranya jawatan yang disandar olehnya kini akan dipertadingkan semula di masa akan datang.

“Berdasarkan Perlembagaan Umno, pemilihan parti diadakan setiap tiga tahun dengan pemilihan seterusnya dijangka pada 2026. Saya amat terbuka dalam perkara ini (jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno dipertandingkan).

“Yang penting, Umno harus terus dipertahankan dan relevan… jangan difikirkan dari sekarang soal pertandingan itu,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Muar, di Johor.

Menurut laporan Berita Harian.Sg, Kesediaan itu juga dinyatakan susulan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Tenggara, di Johor meluluskan usul menggesa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti dipertandingkan pada pemilihan parti itu.

Datuk Zahid berdepan desakan daripada pimpinan dan ahli parti untuk beliau melepaskan jawatan Presiden sebaik Umno mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pada 2022.

Saturday, February 17, 2024

Sokongan Terhadap Zahid Dalam Umno ‘Makin Suram’, Dakwa Penganalisis

malaysia-today.net
By MT Webmaster 
On Feb 17, 2024
(FMT) – Sokongan terhadap Presiden Umno Zahid Hamidi dalam parti “semakin suram” susulan kegagalan mendapatkan pengampunan penuh Najib Razak, kata penganalisis.

Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre, berkata ada beberapa pihak hanya menyokong Zahid selepas beliau berjanji berusaha melepaskan Najib dari penjara, pada perhimpunan agung parti itu tahun lalu.

Katanya, penyokong tegar Najib masih mengharapkannya kembali sambil menggambarkan “aura” bekas perdana menteri masih kuat dalam kalangan akar umbi.

Pada 2 Feb, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan umum hukuman penjara Najib dalam kes SRC International dikurangkan kepada enam tahun berbanding 12 tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM201 juta kepada RM50 juta.

Sehari selepas itu, Umno berkata parti itu menghormati keputusan Lembaga Pengampunan walaupun parti itu “terkesan dan bersedih”.

Hisomuddin berkata, kepimpinan Zahid sentiasa mencetuskan rasa tidak puas di peringkat akar umbi Umno, selepas memutuskan bekerjasama dengan musuh ketat, DAP dalam kerajaan perpaduan.

“(Ini) jelas apabila berlaku peralihan undi kepada PN (Perikatan Nasional) pada PRN lalu dan beliau kini dilihat gagal menunaikan janji (mendapatkan pengampunan penuh kepada Najib).

“Jika perkara ini tidak diatasi, lebih banyak undi pergi kepada PN,” katanya kepada FMT.

FMT sebelum ini melaporkan beberapa pimpinan bahagian menggesa parti menarik diri daripada kerajaan perpaduan dalam pertemuan tertutup.

Menurut Malaysiakini, 46 ketua bahagian tidak hadir untuk mendengar dalam sesi penjelasan Zahid pada 4 Feb, dengan seorang daripada mereka menyatakan “tidak berminat mendengar penjelasan (Zahid)”.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki menafikan gesaan supaya parti keluar daripada kerajaan perpaduan. Katanya, hanya 20 ketua bahagian tidak hadir kerana notis singkat.

Dalam pada itu, Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia, berkata “penyelesaian segera” bagi Umno yang berdepan kehilangan sokongan sejak PRU15 adalah dengan Zahid meletak jawatan sebagai presiden.

“Parti memerlukan reform yang serius, bermula peletakan jawatan Zahid sebagai presiden,” katanya kepada FMT.

Azmil berkata, Umno sepatutnya segera meninggalkan kerajaan perpaduan agar mempunyai masa cukup mendapatkan menarik semula ahlinya yang beralih arah kepada Perikatan Nasional (PN) sebelum PRU akan datang.

“Ini kerana menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan bersama musuh ketat DAP tidak disukai ahli tanpa mengira kedudukan,” katanya.

Tuesday, January 10, 2023

KJ: Saya akan sokong Anwar jika jadi presiden Umno

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 10, 2023 7:38 PM
Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin berkata dia akan memastikan Umno tetap menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim jika dia - atau sekutunya - dipilih menjadi presiden parti.

Khairy sebaliknya berkata dia tidak menyokong “kaedah pintu belakang” untuk perubahan dalam pentadbiran, sambil menambah dia bahkan mahu kerajaan Anwar kekal dan stabil.

“Terdapat kebimbangan sekiranya berlaku perubahan dalam kepimpinan Umno, ia akan membawa ketidakstabilan politik yang akan membawa kepada kejatuhan kerajaan, satu lagi Langkah Sheraton, dan satu lagi kerajaan akan masuk dan seorang perdana menteri baru mengangkat sumpah.

“Loke, saya ingin menyatakan ini dengan jelas di hadapan semua orang di sini: jika saya atau sekutu saya memenangi jawatan presiden, memenangi kepimpinan parti saya, kami akan memberikan sokongan kami kepada kerajaan perpaduan, kepada Anwar Ibrahim, dan kepada anda,” katanya seperti dilapor FreeMalaysiaToday.

Bekas ahli parlimen Rembau itu bercakap pada forum anjuran Institut ISEAS-Yusof Ishak Singapura. Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Sementara itu Khairy menganggap pemilihan Umno akan datang adalah sangat penting dan mungkin boleh membawa kepada pembaharuan kepada parti terbabit.

Katanya, ia akan menentukan sama ada Umno akan kekal relevan atau "bersemadi."

Untuk rekod Khairy adalah antara nama yang disebut-sebut mungkin dicalonkan untuk jawatan presiden Umno dan ia desas-desus itu semakin kuat bertiup apabila dia dilihat tidak sependapat dengan pemimpin tertinggi parti itu, Ahmad Zahid Hamidi.

Malah keputusan parti memindahkan dia dari kerusi parlimen Rembau di Negeri Sembilan - yang dianggap selamat - ke Sungai Buloh dilihat seperti mahu mematikan kerjaya politik bekas menteri kesihatan terbabit.

Berdasarkan keputusan PRU ke-15 lalu ternyata Khairy gagal dalam cubaannya di kawasan kubu kuat PH berkenaan walaupun berjaya merapatkan jurang majoriti dengan ketara.

Dia kalah kepada calon PH, R Ramanan.

Walaupun tidak memberikan garis masa yang jelas pada Nov tahun lalu Khairy menegaskan dia tidak akan meneruskan cita-citanya dalam parti sebaik saja PRU ke-15 berakhir.

Bagaimanapun sebulan kemudian Khairy dilaporkan berkata, dia tidak menolak untuk mencabar Ahmad Zahid dalam pemilihan parti tidak lama lagi.

Friday, January 6, 2023

Zahid yakin kekalkan jawatan nombor satu - Penganalisis

bharian.com.my
Oleh Noor Atiqah Sulaiman 
nooratiqah.sulaiman@bh.com.my
Januari 6, 2023 @ 12:56pm

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR: Kesediaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk dicabar dalam pemilihan parti menunjukkan keyakinan Presiden UMNO itu dalam mengekalkan jawatan bagi penggal baharu.

Kenyataan terbuka itu juga menunjukkan kematangan sebagai seorang Presiden yang membenarkan demokrasi, sekali gus menutup mulut individu yang mengatakan Timbalan Perdana Menteri itu cuba menyekat jawatan itu daripada dipertandingkan.

Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali tidak menolak kemungkinan jika jawatan nombor satu itu dipertandingkan, ia akan membawa kesan kepada UMNO.

"Sekiranya Zahid kalah berkemungkinan Presiden baharu akan bawa haluan lain antaranya dengan membawa keluar UMNO daripada Kerajaan Perpaduan.

"Bagaimanapun, jika UMNO membawa haluan lain, Kerajaan Perpaduan masih mempunyai kerusi yang cukup untuk menjadi kerajaan dan tidak memberi kesan pada negara.

"Kemungkinan yang kedua adalah akan berlakunya perpecahan. Sebab itu ada beberapa pihak mencadangkan supaya jawatan nombor satu dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

"Kalau lihat pada rekod sebelum ini, mana-mana parti yang ada pertandingan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden berkemungkinan akan berpecah kerana terdapat ahli yang menentang pucuk pimpinan. Ini berlaku pada zaman Tun Dr Mahathir pada 1987, yang menubuhkan UMNO baharu serta Parti Melayu Semangat 46," katanya kepada BH, hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata beliau terbuka untuk dicabar oleh sesiapa sahaja yang berhasrat untuk memegang jawatan nombor satu parti itu pada pemilihan parti akan datang.

Tegasnya, sebelum ini beliau juga pernah dicabar dalam pemilihan pada 2018, namun kedua-dua pencabarnya gagal memperolehi undi yang banyak.

Pada Pemilihan UMNO 2018, Ahmad Zahid diangkat sebagai Presiden selepas Datuk Seri Najib Razak melepaskan kedudukan itu dan mengalahkan pencabarnya.

Ahmad Zahid memperoleh 93 undi, menewaskan empat pencabar termasuk Ketua Pemuda UMNO yang juga Ahli Parlimen Rembau ketika itu, Khairy Jamaluddin yang mendapat 51 undi dan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah selaku Ahli Parlimen Gua Musang memperoleh 23 undi.

Dua lagi pencabarnya yang kurang dikenali iaitu ahli UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Mohamed Iqbal Maricair dan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof Musa@Jamaluddin, gagal memperoleh sebarang undi.

Mengulas lanjut mengenai perebutan jawatan dalam parti itu, Mazlan berkata seharusnya pertandingan itu tidak dilakukan bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dalam parti.

Beliau berkata kebimbangan kini adalah sekiranya Presiden baharu akan membawa UMNO untuk bersama dengan Perikatan Nasional (PN) yang mana beliau beranggapan kombinasi itu kurang sepadan.

"UMNO dan PN ini kerusi mereka bertembung 100 peratus, sebab itu presiden pernah memaklumkan sekiranya UMNO bergabung dengan PN, parti itu akan menjadi kecil.

"Dalam PH ini, masyarakat Melayu tidak menyokong sangat jadi tidak ada guna mereka bertanding di kawasan Melayu seperti Terengganu, Kelantan dan sebagainya dan membiarkan UMNO sahaja yang bertanding di kawasan ini. Jadi UMNO melihat gabungan ini akan memberi laluan kepadanya.

"Namun jika bersama PN, macam mana nak beri laluan sebab itu kawasan PAS, sebab itu saya kira UMNO ini sudah kira untung rugi untuk bersama dengan PH, itu lebih baik daripada strategi," katanya.

Tambahnya, sekiranya kemenangan masih berpihak kepada Zahid, sudah tentu ia akan menjadi dendam kepada pihak yang cuba melawannya serta 'menghapuskan' pihak berkenaan.

"Ia boleh diumpamakan seperti menang jadi arang, kalah jadi abu. Apa yang penting kini adalah fokus kita baiki negara. Jika berlakunya pertukaran kerajaan mahupun percubaan untuk menubuh kerajaan lain, ia akan menyebabkan negara kembali tidak stabil," katanya.

Thursday, January 5, 2023

Kempen ‘Asal Bukan Zahid’ signal jelas penolakan Presiden UMNO

ismaweb.net
zuhayati

‘Jika benar anak jantan, Zahid patut berundur sebelum ditolak dengan cara lebih hina’: Penganalisis
Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 12 Jamadilakhir 1444H, Khamis – Kempen ‘Asal Bukan Zahid’ wajar dilihat sebagai signal daripada perwakilan UMNO menolak ketuanya sendiri secara terbuka.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, dalam situasi mencabar ini Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid perlu akur dan mempertimbangkan untuk berundur.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sewajarnya tidak bertanding dalam pemilihan kali ini walaupun mendakwa pernah mendapat undian yang selamat.

“Ini merupakan petunjuk bahawa orang dalaman UMNO sendiri menolak dengan hormat kerana mahu pembaharuan dan mencari pemimpin yang lebih bersih dan berwibawa selain merangka parti ke arah yang lebih baik.

“Beliau juga perlu terima kenyataan bahawa kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu juga sedikit sebanyak berpunca daripada dirinya sendiri.

“Jadi sebagai anak jantan sebenar dan mempunyai jiwa besar Zahid perlu terima dengan terbuka dan turun dengan lebih bergaya berbanding ditolak dengan cara yang lebih hina, walaupun sebelum ini beliau mengaku mempunyai undi yang lebih banyak berbanding pencabar yang lain.” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kempen ‘Asal Bukan Zahid’ yang disertai kira-kira 100 Ketua UMNO Bahagian di seluruh negara bagi menggantikan presidennya menjelang pemilihan UMNO, minggu depan.

Kempen ‘Asal Bukan Zahid’ bermula apabila beberapa Ketua UMNO Bahagian mengadakan pertemuan dengan Bendahari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya mengambil tanggungjawab memulihkan UMNO.

Mengulas lanjut, Jeniri berpandangan Ahmad Zahid dilihat ‘kebal’ dalam situasi berkenaan kerana mahu kekal dalam pentadbiran kerajaan campuran hari ini.

Katanya, sekiranya tiada lagi penglibatan Ahmad Zahid dalam UMNO, ia bukan sahaja menjejaskan parti itu sendiri tetapi menyebabkan akan berlaku perubahan besar dalam kerajaan campuran hari ini.

Malah, UMNO perlu memberikan nama baharu bagi menggantikan peranan dalam kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya Ahmad Zahid kekal bertanding dan kalah dalam pemilihan nanti.

“Kita perlu lihat pemilihan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri hari ini adalah kerana beliau adalah presiden kepada parti dan sekiranya beliau tiada lagi kuasa perkara ini perlu diganti kepada nama baharu,” jelas beliau.

Bagaimanapun, Jeniri berpandangan, keputusan untuk menolak Ahmad Zahid hanya akan dicapai sekiranya semua perwakilan sehati sejiwa untuk menolak dirinya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Thursday, December 15, 2022

Zahid wajar kekal presiden, DAP boleh bantu pulih imej bukan MCA

agendaily.com
15.12.2022
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi patut dikekalkan sebagai Presiden UMNO.

Kenyataan geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Profesor Madya Dr Azmi Hassan bahawa UMNO akan berada dalam keadaan genting pada masa depan sekiranya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kekal sebagai presiden parti, tidak harus diterima bulat-bulat.

Kenyataan Azmi itu hanyalah sebahagian daripada pendapat setelah melihat keadaan UMNO yang kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan PRU-15 lalu, tanpa meneliti perkembangan dalaman parti itu sendiri.

Oleh itu, beberapa ahli Majlis Tertinggi (MT) parti berpendapat Zahid sewajarnya terus diberi peluang memimpin UMNO ke era baharu selain memperkasakan keserasian parti itu dengan rakan baharu mereka di dalam Pakatan Harapan (PH), seperti DAP dan AMANAH.

Zahid yang kini memiliki kuasa sebagai Timbalan Perdana Menteri dan anggota Majlis Tertinggi (MT) yang dipimpinnya sudah tentu akan berusaha memulihkan semula kepercayaan rakyat dan akar umbi terhadap UMNO.

“Sudah tentu Zahid tidak mahu UMNO terkubur dalam pimpinannya. Beliau juga mempunyai strateginya tersendiri untuk mengukuhkan semula UMNO.

“Lagi pula, beliau (Zahid) yakin akar umbi akan kembali menyokong UMNO, walaupun sekarang ini parti bekerjasama dengan PH membentuk Kerajaan Pusat,” kata sumber yang rapat dengan MT UMNO ketika mengulas kenyataan Azmi.

Sumber itu juga menyokong saranan Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang mencadangkan satu usul dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bulan depan, agar jawatan presiden dan timbalan, tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Katanya dalam keadaan UMNO yang lemah sekarang ini tidak ada pemimpin yang layak duduk di kerusi presiden, selain Zahid.

Malah, katanya Zahid telah melakukan pembersihan dalam kalangan pemimpin UMNO yang dilihatnya tidak jujur terhadap perjuangan parti.

Sumber itu, juga tidak menolak kemungkinan ada pertandingan merebut jawatan dalam MT, termasuk presiden, tetapi yakin perwakilan akan memberi peluang kepada Zahid untuk terus menerajui UMNO.

Dalam kenyataannya semalam, Azmi berkata situasi genting itu boleh berlaku jika bersandarkan kepada pengamatan pengundi yang tidak suka kepada presiden atau sentimen majoriti rakyat yang menolak parti yang ada kaitan dengan rasuah.

Menurutnya jika pada PRU-15 lalu Barisan Nasional (BN) hanya mampu menang 30 kerusi, besar kemungkinan dalam masa tiga atau empat bulan lagi ketika menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri, UMNO tidak lagi berupaya untuk bangkit.

“Jika benar seperti analisis pengundi tak suka dengan Presiden atau pengundi tak suka dikaitkan parti ada kaitan dengan rasuah, maka besar kemungkinan kalaulah Presiden kekal tanpa dicabar, UMNO akan berada dalam kedudukan agak genting dalam masa hadapan,” kata Azmi.

Azmi berkata, ada yang berpendapat bahawa merosotnya UMNO terutama sekali selepas PRU15 dengan hanya memperoleh 26 kerusi adalah disebabkan Presidennya.

Justeru, katanya, terdapat gerakan untuk menukar Presiden dan harapan untuk menukar jawatan itu melalui pengunduran sendiri Ahmad Zahid dilihat sukar kerana beliau ketika ini menjawat Timbalan Perdana Menteri.

Dalam hal ini, kata beliau, caranya ialah jawatan Presiden itu dicabar sebagai salah satu tindakan rejuvenasi, reformasi dan memberi nafas baharu UMNO kerana pengundi telah pun memberitahu apa pendapat mereka terhadap parti itu.

“(Pada PRU-15) pengundi lebih selesa mengundi bukan secara total Perikatan Nasional (PN) tetapi lebih mengundi Pas itu sendiri daripada UMNO kerana UMNO dilihat kepimpinan mereka terbabit unsur rasuah,” katanya.

Hakikatnya, kata beliau, jika mahu mengundurkan Presiden, adalah hanya dengan cara mencabar jawatan itu, namun persoalannya siapakah yang akan mencabar Presiden dan Timbalan Presiden kalau ada.

Wednesday, November 30, 2022

Presiden ada hak pandu arah parti selepas PRU, kata ketua bahagian Umno

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar
-November 30, 2022 7:00 AM
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam berkata, ketetapan parti itu sebelum ini menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu dibuat untuk berdepan PRU15, bukan untuk selepasnya.

PETALING JAYA: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mempunyai hak menentukan hala tuju parti atau membentuk jajaran baharu selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) demi kepentingan negara, tegas ketua-ketua bahagian parti itu.

Ketua Umno Tambun Aminuddin Md Hanafiah berkata, walaupun dalam perhimpunan agung Umno (PAU) sebelum ini telah diputuskan prinsip “Tolak Anwar, Tolak DAP”, namun parti terpaksa “menongkah arus” dengan akur titah Yang di-Pertuan Agong supaya Barisan Nasional (BN) dapat bersama membentuk kerajaan perpaduan.

“Presiden ada tanggungjawab untuk memandu arah parti, pada masa sama kita kena tengok kebaikan kepada negara. Negara perlu bergerak dan perlu ada kerajaan, jadi bila Agong titah (kerajaan perpaduan), kita terpaksa akur … PN tidak mahu, itu hal mereka.

Sebagai ketua parti, Zahid ada hak untuk membawa hala tuju parti sama ada baik atau buruk. Kalau kita tak mahu dengar titah Agong, sampai sekarang kita tiada kerajaan,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Zahid bahawa ketetapan Umno sebelum ini menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu dibuat untuk berdepan PRU15, bukan untuk selepasnya.

Zahid yang juga pengerusi BN berkata, kerjasama antara blok ialah pendekatan baharu yang diyakini menjadi perintis perpaduan dan keharmonian seperti diilhamkan Agong.

Aminuddin yang juga setiausaha Umno Perak berkata, tidak timbul isu akar umbi merasa tertipu dengan kepimpinan Zahid kerana Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dalam beberapa mesyuarat bersama Dewan Tertinggi BN selepas PRU tegas tidak mahu melibatkan diri dalam mana-mana gabungan.

Namun, jelasnya, BN terpaksa akur apabila tiada penyelesaian dalam pembentukan kerajaan selepas PN menolak titah Agong agar bersama PH dalam kerajaan perpaduan.

Turut senada, Ketua Umno Shah Alam Azhari Shaari yang berkata, keputusan parti untuk tidak bekerjasama dengan PH dan Anwar adalah berdasarkan keadaan ketika itu, dan boleh diubah mengikut kesesuaian selepas PRU.

“Selepas PRU, yang kita semua kena ambil maklum apa saja keputusan menyertai kerajaan perpaduan adalah atas (dasar) menjunjung titah Tuanku. Jadi apakah kita nak sembah derhaka dengan Tuanku?” soalnya.

Dalam pada itu, Ketua Umno Batu Yahaya Mat Ghani menggesa semua pihak akur dengan titah Agong dalam pembentukan kerajaan perpaduan, dan tidak lagi mencari kesalahan kepimpinan tertinggi parti.

“Kita nak berpadu dalam Umno, kita tak mahu kecoh-kecoh lagi, macam mana kita nak harung lima tahun akan datang kalau macam ini?

“Minta dari bawah sampai atas, berpadulah semua, bersatu semula, perbezaan pendapat itu biasa, tapi inilah masanya kita bercantum semula rapatkan barisan kita,” katanya.

Thursday, October 13, 2022

Saya tidak pernah berganjak demi pertahan Umno - Zahid

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 13, 2022 1:40 PM
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa kes mahkamah terhadapnya adalah "pendakwaan terpilih" akibat keengganan untuk membubarkan parti itu.

Zahid berkata dia tidak akan berganjak seinci pun mempertahankan Umno tanpa gentar terhadap pendakwaaan terpilih ke atas dirinya.

“Selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH pada pilihan raya umum ke-14), antara langkah (perdana menteri ketika itu) Dr Mahathir (Mohamad) ialah cuba membubarkan parti Umno.

“Tujuan berbuat demikian agar semua ahli Umno akan beralih pindah ke parti Bersatu.
“Malah tujuan parti Bersatu ditubuhkan adalah untuk menggantikan parti Umno. Dalam setiap kempen Dr Mahathir, seringkali menyatakan Umno tidak lagi relevan. Pelbagai tohmahan terhadap pemimpin dan parti Umno,” kata ahli parlimen Bagan Datuk itu dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Tujuan itu, katanya adalah untuk menghasut agar ahli Umno sendiri membenci parti berteraskan Melayu yang telah banyak berjasa kepada masyarakat dan negara tersebut.

“Usaha terdesak Mahathir apabila meminta saya membubarkan Umno. Mahathir ketika itu adalah pengerusi Bersatu dan perdana menteri.

“Berderau darah saya mendengar kata-kata tersebut. Maka, apabila saya diminta agar melompat parti, meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu maka dengan tegas saya tolak permintaan Dr Mahathir untuk bubarkan Umno,” katanya.
Menurut Zahid, ramai ahli parlimen Umno berpaling tadah dan melompat parti apabila PH menang, kerana menganggap Umno tidak tidak akan mampu kembali menjadi kerajaan susulan kekalahkan pada tahun 2018 itu.

“Tidak lama selepas saya tidak bersetuju Umno dibubarkan, saya terpaksa membayar harga yang tinggi dengan pendakwarayaan terpilih dikenakan 87 tuduhan rasuah.

“Saya tidak pernah berganjak seinci pun mempertahankan Umno,” kata Zahid sambil menambah bahawa dia mungkin akan terlepas daripada kes mahkamah jika akur untuk membubarkan Umno.

Dia mendakwa ramai bekas pemimpin Umno/BN meninggalkan parti dan gabungan itu untuk menyertai Bersatu, kerana bimbang mereka akan disiasat SPRM berhubung kaitan dengan 1MDB.
“Insya Allah, saya tetap berdiri tegak mempertahankan parti Umno tanpa gentar pendakwaaan terpilih ini,” katanya.

Untuk rekod, peguam Zahid sebelum ini mendakwa di mahkamah bahawa pertuduhan terhadapnya adalah kes jelas pendakwaan terpilih tanpa sebarang prima facie.

Semalam, Zahid turut menjelaskan bahawa ucapannya di perhimpunan agung MIC baru-baru ini yang menyebut bahawa pemimpin BN akan berdepan perbicaraan jenayah sekiranya PH memenangi PRU15 adalah mengenai "pendakwaan terpilih". Video ucapan tersebut kemudiannya tular di media sosial.

Dia menyelar lawan politiknya kerana "memutarbelitkan" ucapnnya itu seolah-olah ia adalah pengakuan bahawa kepimpinan Umno mahukan pilihan raya segera untuk menyelamatkan "kluster mahkamah" daripada didakwa.

Sunday, June 12, 2022

Tak semua ketua bahagian jadi calon PRU15, amaran kepada pemimpin ‘lalang’

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar
-June 12, 2022 8:26 AM
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa parti bukan hanya memberi keutamaan kepada pemimpin bahagian untuk menjadi calon pada PRU15. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa bukan semua ketua bahagian akan menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang (PRU15) disifatkan sebagai amaran kepada segelintir pemimpin parti itu yang bersikap seperti lalang.

Ketua Umno Wangsa Maju Shafie Abdullah mendakwa masih ada pemimpin dilihat tidak taat kepada keputusan parti, termasuk yang masih mahu menjalinkan kerjasama dengan parti komponen Perikatan Nasional (PN), Bersatu dan PAS yang sudah pun ditolak majoriti akar umbi.

Menurutnya, Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk memberi bayangan bahawa calon Umno mewakili Barisan Nasional (BN) pada PRU akan datang bukan sahaja perlu berwibawa tetapi berintegriti dan berdaya tahan.

“(Kenyataan Zahid) bermaksud ketua bahagian yang kejap ‘corner’ kiri dan kanan tidak boleh jadi calon. Sebab kita tengok sekarang, ada yang sekejap sokong Muhyiddin Yassin (kerjasama dengan Bersatu), selepas itu (sokong) PM (Ismail Sabri Yaakob) dan presiden (Zahid)…ramai jual tapak, ikut angin.

“Sekejap sokong Umno, sekejap sokong Bersatu sedangkan Umno pusat sudah buat keputusan tidak mahu dengan Bersatu dan PAS sebab dua-dua ini dalam PN. Mereka yang tidak setia tak wajar dicalonkan,” katanya kepada FMT.

Berucap di majlis Wacana Aspirasi Umno semalam, Zahid memberi jaminan bahawa parti bukan hanya memberi keutamaan kepada pemimpin bahagian untuk menjadi calon pada PRU15.

“(Calon) PRU15, insyaAllah mungkin yang ada di atas pentas ini (Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dan Naib Presiden MCA Ti Lian Ker).

“…dan saya tidak akan meraikan hanya pemegang jawatan di bahagian saja jadi calon,” katanya.

Ketua Umno Pasir Puteh Zawawi Othman pula berkata, jawatan di peringkat bahagian tidak menjamin tiket menjadi calon BN pada PRU.

Sejarah membuktikan, katanya, individu yang bukan ahli juga boleh dicalonkan asalkan mereka mampu menang serta berkhidmat dengan baik.

Mengambil contoh bekas menteri kewangan kedua Nor Mohamed Yakcop yang menjadi calon BN di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 2008, Zawawi berkata, individu yang dipilih harus disenangi rakyat dan tidak menjadi liabiliti kepada parti.

“Yang tak dapat jadi calon, kena terimalah. Macam saya akan akur dengan hati terbuka kalau tidak dicalonkan. Kita bantu kempen seperti orang bekerja ketika kita jadi calon.

“Kita harus balas budi parti. Dulu kalau kita jadi calon sampai jadi menteri, sekarang anak buah kita jadi calon pula, jangan merengek (merintih),” katanya.

Friday, October 8, 2021

Zahid sumpah Wallahi tiada kerjasama dengan DAP tapi lain pula di Melaka

agendaily.com
8/10/2021

Dalam keadaan tersepit untuk mengekalkan kuasa UMNO sanggup bekerjasama dengan DAP.

Sudah terang lagi bersuluh – mengambil ayat Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi – pemimpin tertinggi parti itu tidak boleh lagi bersembunyi di belakang akar umbi apabila menawarkan kerjasama dengan parti pembangkang untuk terus mentadbir Melaka.

Dalam keadaan terdesak, terburai sudah segala isi hati Majlis Tertinggi (MT) UMNO di bawah pimpinan Zahid apabila dalam krisis politik di Melaka, parti itu sanggup mengetepikan ‘sumpah’ tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP.

Teringat kepada kenyataan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan pada 8 Oktober lalu yang mengatakan Zahid bersumpah tidak menyokong Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan tidak akan bekerjasama dengan PH, termasuk DAP.

Kata Ahmad beliau menjadi saksi bahawa Zahid melafazkan sumpah tersebut termasuk menolak kerjasama dengan gabungan PH dan DAP.

“Baru-baru ini ada pertemuan dengan presiden (Zahid) dan saya ingin mengatakan di sini bahawa apabila ada tuduhan yang beliau ingin membawa UMNO ini bersama PH dan DAP.

“Presiden UMNO telah bersumpah Wallahi, Wabillahi, Watallahi bahawa beliau tidak akan menyokong Anwar untuk jadi perdana menteri dan tidak akan bersama dengan PH dan DAP di hadapan beberapa ahli Parlimen.

“Saya ada ketika itu, ini baru lagi baru sehari dua yang lalu. Jadi tuduhan terhadap beliau itu adalah yang tidak berasas,” kata Ahli Parlimen Pontian itu.

Namun, sebaliknya yang berlaku apabila Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sendiri mengesahkan parti itu ‘meminta nyawa’ kepada DAP untuk menyelamatkan kerajaan Melaka diterajui UMNO.

Berita berkaitan

Rauf mengakui diberi tanggungjawab mewakili partinya iaitu UMNO untuk berunding dengan pimpinan DAP Melaka. Ia diatur oleh seorang pemimpin atasan UMNO yang enggan dinamakannya.

Tetapi, memalukan bukan sahaja kepada kepemimpinan UMNO negeri itu dan peringkat pusat, malah akar umbi parti juga berasa malu apabila dengan terang-terang tawaran kerjasama UMNO ditolak mentah-mentah oleh DAP.

Tidak ada pula pemimpin kanan UMNO seperti Ketua Pemuda, Ketua Wanita, Ketua Puteri hatta mantan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak yang membidas tindakan menawar kerjasama dengan DAP.

Ketika akar umbi dan rakyat digula-gulakan dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 menolak DAP, sebaliknya parti itu diam-diam ingin duduk di bawah khemah besar apabila mereka tersepit.

Keadaan ini sama seperti yang pernah berlaku di Perak pada Disember 2020 lalu apabila Zahid berkata UMNO sedia bekerjasama dengan PH, termasuk DAP, untuk membentuk kerajaan baharu di Perak.

Demikianlah rakyat telah melihat permainan UMNO selama ini, yang kononnya kuat, tetapi tanpa rasa malu melutut kepada DAP.

Namun, sebagaimana dikatakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyung yang juga Setiausaha DAP Melaka, Damian Yeo Shen Li, UMNO tidak ikhlas kerana mencadangkan gencatan politik dengan DAP ketika kedudukan mereka terancam.

“Mereka hanya mahu berbincang dengan kami ketika UMNO nak jatuh. Semasa UMNO kuat mereka mengetepikan kami,” katanya.

Yang peliknya UMNO mahu berpelukan dengan PH dan DAP – parti yang mereka tentang – tetapi menolak untuk bekerjasama dengan Bersatu, konon, seperti mana kata Zahid, sudah terang lagi bersuluh Bersatu ada agenda tertentu.

Mereka juga mungkin buta kerana tidak melihat DAP juga ada agenda tertentu, tetapi rela melutut kepada parti itu.

Krisis politik Melaka tercetus Isnin lalu, apabila bekas Ketua Menteri Melaka yang juga ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron bersama tiga lagi bekas ADUN mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan UMNO pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Tiga lagi ADUN ialah bekas ADUN UMNO Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan; bekas ADUN Bersatu Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad; dan bekas ADUN Bebas Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Susulan permohonan Rauf yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam membubarkan DUN bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Saturday, September 25, 2021

Majoriti Ahli MT keberatan pemilihan diadakan, yakin dengan Zahid

agendadaily.com
25/9/2021

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pemilihan parti UMNO bukan menjadi keutamaan ketika ini dan majoriti Ahli Majlis Tertinggi (MT) keberatan sekiranya ia diadakan dalam masa terdekat kerana yakin dengan kemampuan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam menerajui parti itu.

Tiada desakan atau keperluan untuk pemilihan diadakan dengan segera, rata-rata pimpinan tertinggi parti berpuas hati dengan prestasi dan pendekatan Zahid dalam menguruskan parti tersebut yang diyakini mampu memberi kemenangan besar kepada UMNO dalam pilihan raya umum (PRU) nanti.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam laporan Utusan Malaysia berkata masih belum ada ketetapan pemilihan perlu dijalankan dan parti juga tidak melihat ia perlu diadakan dengan secepat mungkin memandangkan negara masih berdepan dengan krisis kesihatan, Covid-19 ketika ini.

“Bila tarikhnya nanti adalah bergantung pada keadaan. Tidak dapat untuk kita katakan sama ada pemilihan UMNO akan dilakukan sebelum atau selepas PRU-15 kerana kita juga tidak tahu bila pilihan raya.

“Parti telahpun meminta pandangan daripada agensi-agensi kerajaan tentang sama ada kita dapat mengadakan pemilihan atau pun tidak, namun nasihat daripada agensi Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan (KKM) ada dua iaitu boleh buat pemilihan tetapi haruslah mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya dipetik dalam laporan itu.

Kenyataan oleh pemimpin nombor dua UMNO itu secara tidak langsung memberi isyarat parti tidak bersedia untuk menjalankan pemilihan dengan segera dan Zahid perlu diberi peluang untuk mengemudi parti sehingga PRU.

Beliau juga menolak sekiranya pemilihan diadakan secara yang maya kerana ia menyukarkan untuk ahli parti keluar mengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

“Yang keduanya, dibuat secara maya. Jadi dalam tahun pemilihan, kalau hendak dibuat secara maya, itu agak susah dan kita juga tidak boleh mengarahkan ahli untuk tidak hadir, cukup setakat satu per empat korum sahaja,” katanya lagi.

Terdahulu, seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar juga senada dengan tidak membantah sekiranya pemilihan parti itu tidak diadakan dengan segera tetapi akar umbi akan akur sekiranya keputusan sudah dibuat oleh pucuk pimpinan parti itu.

“Saya ingat perkara ini biarlah MT yang menentukan, saya sebagai ahli parti akan akur apa juga keputusan yang dibuat.

“Pendirian akar umbi di Tanjong Karang pun akan akur. Tetapi pada saya, kita sebagai kerajaan kena lupakan dahulu soal politik sama ada dalaman ataupun luar,” katanya.

Pemilihan peringkat cawangan, bahagian dan MT yang sepatutnya diadakan pada Ogos dan September tahun ini ditangguhkan berikutan kebimbangan terhadap penularan Covid-19 yang tinggi.

Keputusan itu dibenarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) selaras dengan Perlembagaan UMNO Fasal 10.16 iaitu MT berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MT, bahagian dan cawangan, namun penangguhan itu tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan.

Tuesday, August 10, 2021

ROS Sahkan Zahid Hilang Kuasa Sebagai Presiden UMNO

BERITAHEADLINE
By MT Webmaster 
On Aug 10, 2021


(Malaysiakini) – Kepemimpinan Majlis Tertinggi (MT) Umno ketika ini hanya boleh berfungsi sebagai caretaker sehingga selesai pemilihan dan mesyuarat Agung Umno 2021, kata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Ketua Pengarah ROS, Jasri Kasim berkata, MT yang diketuai Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hanya boleh menjalankan kerja-kerja pentadbiran parti.

“Pada masa ini (kepemimpinan Umno) seperti caretaker sahaja, hanya boleh buat pengurusan administrative atau pentadbiran biasa parti.

“Dari segi pelaksanaan (atau segala) keputusan dasar kena bawa ke perhimpunan agung dahulu kerana dia (kini) lebih kepada caretaker sahaja,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online.

Jasri berkata, pihak ROS telah menerima surat penjelasan Umno semalam berhubung keputusan penangguhan pemilihan 18 bulan yang mana ROS berpandangan sebelum ini sebagai tidak sah.

Jelasnya, pihaknya akan meneliti dan mengkaji surat penjelasan itu terlebih dahulu kerana Umno ada mengemukakan maklumat-maklumat baru.

Bagaimanapun katanya, segala intipati surat itu tidak boleh didedahkan, namun memberitahu akan meneliti satu persatu penjelasan berkenaan.

“Saya sudah bercakap perkara ini kepada pihak Umno bahawa isu ini straight forward sahaja, kita dah dengar penjelasan mereka dan akan teliti satu persatu.

“Mereka juga tidak mengemukakan lagi cadangan tarikh baru pemilihan parti dan Mesyuarat Agung Umno 2021 yang akan diadakan,” katanya.

ROS sebelum ini berkata tindakan Umno menangguhkan pemilihan parti itu tidak sah kerana penggal pemegang jawatan MT tamat sebelum keputusan itu dibuat.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan yang mengatakan keputusan itu dibuat ketika ahli MT Umno masih memegang jawatan.

ROS pada Ahad lalu menyarankan Umno mengadakan pemilihan parti selewat-lewatnya sebelum hujung tahun ini dan pelaksanaan pemilihan hanya dibenarkan

ditangguhkan sebelum 31 Disember. Parti itu juga dikehendaki mengemukakan permohonan penangguhan kepada ROS dalam tempoh terdekat.

Saturday, July 10, 2021

Sekarang masa sesuai tukar Presiden UMNO bukan tukar PM, kata Nazri

agendadaily.com
10/7/2021

Datuk Seri Nazri Aziz berkata kini tiba masanya UMNO memilih Presiden yang baharu.

Selepas lantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri, pemimpin senior UMNO Datuk Seri Nazri Aziz berkata sekarang adalah masa yang sesuai untuk menukar Presiden parti yang baharu dengan mengadakan pemilihan segera.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sering mencetuskan kontroversi dan bercita-cita untuk meletak cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri (PM) tidak layak untuk memegang jawatan nombor satu parti, malah beliau dianggap sebagai punca kepada perpecahan dalam UMNO.

“Ismail Sabri adalah calon Presiden UMNO yang paling layak untuk menggantikan Zahid, buat pemilihan parti dan kita akan pilih beliau sebagai Presiden.

“Saya ucapkan tahniah kepada Ismail Sabri atas lantikan Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini, kini peluang Zahid untuk jadi Presiden sudah tertutup dan kita akan pilih Ismail Sabri sebagai Presiden,” katanya kepada Agenda Daily.

Jelas Nazri, rancangan Zahid yang bercita-cita mahu meletak Anwar sebagai calon PM sebelum ini adalah tidak wajar sama sekali dan ia terbukti apabila cadangannya itu tidak berjaya kerana gagal mendapat sokongan Majlis Tertinggi (MT).

“Dia (Zahid) sahaja yang nak Anwar jadi PM… kita dalam UMNO tidak mahu Anwar, takkan orang yang menyokong Anwar ini masih mahu jadi Presiden UMNO?

“Daripada kita sibuk suruh PM (Tan Sri Muhyiddin Yassin) letak jawatan, baik suruh Zahid letak jawatan… dia ini punca parti berpecah,” katanya lagi.

Nazri sebelum ini mendakwa Zahid menipu Yang di-Pertuan Agong semasa pertemuan tempoh hari, ia antaranya memberikan maklumat kononnya Ahli-Ahli Parlimen BN tidak lagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Menteri-Menteri UMNO akan meletak jawatan mereka.

Untuk rekod, Zahid tidak menjawab dakwaan Nazri sehingga hari ini.

Mengulas lanjut, Nazri mencabar Zahid untuk membuat pengakuan berhubung dakwaan menipu Agong untuk melihat siapa yang berada di pihak yang benar.

“Saya cabar Zahid untuk membuat pengakuan dalam isu ini, saya akan lawan dia sampai kebenaran tertegak,” katanya lagi.

Pada Rabu, Zahid selepas selesai Mesyuarat MT mengumumkan keputusan parti yang menuntut supaya Muhyiddin berundur secara terhormat dan memutuskan UMNO menarik sokongan daripada kerajaan PN.

Zahid juga menuntut supaya PM baharu dilantik bagi menggantikan Muhyiddin bagaimanapun tidak menamakan individu yang layak untuk memegang jawatan nombor satu negara itu.

Bagaimanapun, Zahid berkata hanya PM sahaja berundur dan Menteri Kabinet sedia ada akan kekal.

Friday, June 18, 2021

Parlimen perlu bersidang secepat mungkin, tidak patut ditafsir ‘beberapa bulan’, kata Zahid

FMT Reporters
-June 18, 2021 9:50 PM

Ahmad Zahid Hamidi bersetuju tafsiran ‘secepat mungkin’ adalah sesuatu yang bersifat subjektif, namun menyifatkannya turut bergantung kepada keadaan dan ‘common sense’.

PETALING JAYA: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi membidas tindakan kerajaan yang masih tidak membuka Parlimen dengan segera seperti yang diminta Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Beliau berkata titah Agong supaya Parlimen perlu bersidang ‘secepat mungkin’ tidak sepatutnya ditafsirkan dalam tempoh beberapa bulan.

“Tafsiran itu seolah-olah menyanggah elemen kebijaksanaan, keprihatinan dan kecaknaan dalam titah Agong dan Raja-Raja Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.

Zahid berkata apabila Agong bertitah persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin, maka secepat mungkinlah ia perlu diadakan.

Katanya, walaupun bersetuju tafsiran ‘secepat mungkin’ adalah sesuatu yang bersifat subjektif, namun masih ada aspek-aspek untuk mentafsirkannya.

“Tafsiran ‘secepat mungkin’ bergantung kepada keadaan atau sesuatu perkara. Ini ‘common sense’ yang murid sekolah pun tahu.

“Sebagai contoh guru ketika mengajar mengarahkan murid membuka buku teks secepat mungkin, maka tempoh beberapa saat adalah ‘secepat mungkin’,” katanya.

Zahid berkata persidangan Parlimen adalah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan sama ada secara fizikal mahupun maya.

Rabu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan membayangkan masanya “sudah hampir” untuk Parlimen bersidang selepas Agong menitahkan persidangan perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

Katanya, Agong tidak menetapkan bila sidang Parlimen harus diadakan, namun perdana menteri sudah mengumumkan sidang Dewan Rakyat boleh diadakan paling awal September ini.

Sebelum ini Agong berpandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

Thursday, December 31, 2020

Memasuki Tahun 2021 Zahid Ajak Pemimpin Angkat Politik Matang Demi Rakyat

Berita Utama
31 December 2020


KUALA LUMPUR, 31 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak parti-parti politik dan kepimpinannya untuk bersama-sama memikirkan pendekatan terbaik dalam memacu ekonomi serta mencipta pekerjaan selain memeriahkan landskap perniagaan termasuklah mengurangkan kos sara hidup dan membantu rakyat menghadapi tekanan kewangan.

Dalam perutusannya sempena kedatangan tahun 2021, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, UMNO sedar kerajaan hari ini tidak stabil, tidak seperti kerajaan yang sewaktu UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, namun inilah realiti baharu yang perlu negara hadapi.

“Sudah sampai masanya kita abaikan retorik politik, sejukkan keadaan kerana parti politik tidak seharusnya bermusuhan, tiada pemimpin yang harus menjadi seteru dan demi kemajuan kita perlu henti persengketaan sesama sendiri.

“Banyak bisnes gulung tikar. Ada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang ‘hidup segan mati tak mahu’ dan terpaksa gulung tikar. Pemandu teksi dan e-Hailing turut terjejas. Pekerja kilang merana. Pemilik restoran dan perniagaan kecil turut terjerut,” katanya menerusi siaran langsung yang disiarkan menerusi Facebook UMNO-Online dan Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid seterusnya menambah kepimpinan sejati yang rakyat mahukan harus memberi fokus kepada keperluan rakyat dan negara.

“Waktu yang mencabar memerlukan kepimpinan yang berwibawa. Sebagai pemimpin UMNO dan BN, izinkan saya mengambil langkah pertama untuk menjemput parti-parti politik dan kepimpinannya untuk mengadakan perbincangan dan buktikan kepada rakyat tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan Orang Asli, kita semua mampu mengangkat politik matang dan meletakkan keutamaan kepada negara yang kian merasai impak sebuah pandemik.

“Dalam politik, tidak ada yang pasti. Politik adalah pendekatan yang dicipta untuk melindungi dan memenuhi keperluan rakyat dan dalam keadaan yang luar biasa, pendekatan dan persetujuan luar biasa juga perlu dicapai. Sebagai sebuah negara, kita gagal jika isu asas tidak diambil peduli oleh kerajaan. Pintu UMNO sentiasa terbuka untuk kerjasama demi kebaikan negara,” tegasnya.

Menerusi perutusannya itu juga, Ahmad Zahid turut berpandangan sebagai presiden parti, kebimbangan beliau hanyalah untuk rakyat dan pada masa yang sama ingin memastikan UMNO memenuhi kehendak Institusi Beraja, negara dan rakyat.

Katanya mengembalikan mandat kepada rakyat sememangnya sudah menjadi perjuangan UMNO dan jikalau rakyat sudah dibenarkan merentas negeri dan melancong, mungkin inilah masa yang paling sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum.

“Pertukaran kerajaan bukanlah sesuatu yang sihat dan ianya juga bukan kehendak rakyat, lebih-lebih lagi ramai yang terkesan akibat cengkaman pandemik, bersusah payah untuk mengisi perut yang lapar serta menghadapi cabaran-cabaran mencari rezeki halal untuk keluarga.”

Ujarnya, masing-masing diuji dengan kepayahan membayar perkhidmatan asas, bakal dihumban kejalanan kerana tidak mampu membayar sewa, hilang punca pendapatan kerana perniagaan merudum dan benarlah jika dikatakan sebahagiannya sedang merana.

“Benar pelbagai bantuan telah dan akan disediakan namun syarat-syarat yang dikenakan bukan sahaja menyusahkan rakyat malah menjadi titik penghalang kepada bantuan yang sepatutnya menjadi hak milik mereka yang terkesan. Sudah tiba masanya kita berhenti mendengar, hanya suara mereka yang diatas, tetapi turun ke padang dan mendengar sendiri denyut nadi rakyat.
“Satu lagi isu ialah, pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memerlukan kewajaran dan kewarasan. Begitu juga penolakan terhadap lanjutan moratorium pinjaman kewangan yang sama sekali mengenepikan suara rakyat. Adakalanya, mendengar keluhan dan rintihan rakyat adalah lebih penting daripada menyantuni orang kaya dan kumpulan yang berkepentingan.

“Mewakili UMNO, saya memohon maaf diatas kesusahan yang dihadapi. Kita haruslah meletakkan kepercayaan ke atas kuasa Tuhan semoga tabah menghadapi ujian ini. Saya sedar kerajaan hari ini tidak stabil, tidak seperti kerajaan yang kami punyai sewaktu UMNO dan BN, namun inilah realiti baru yang perlu negara hadapi,” tambahnya.

Pada masa yang sama Ahmad Zahid turut mengambil kesempatan menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang sanggup bergadai nyawa demi menjaga keselamatan rakyat negara ini.

Katanya seluruh dunia pada waktu ini mengharungi pandemik COVID-19 yang telah menyaksikan lebih 1.7 juta kematian dan mengubah kehidupan manusia sepenuhnya dan Malaysia sendiri menyaksikan bilangan pesakit COVID-19 melangkaui jumlah 100,000 dengan catatan kematian melebihi 450 mangsa.

“Saya pasti ramai dikalangan kita yang masih lagi berkabung diatas kehilangan mereka yang anda kasihi. Saya ingin mengambil peluang ini untuk menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga yang terkesan dan berdoa ke hadrat Illahi agar ahli keluarga yang masih mendapatkan rawatan di hospital disatukan semula dengan keluarga masing-masing.

“UMNO dan saya juga mengucapkan selamat tahun baru. Ingatan tulus ikhlas kami bersama rakyat Malaysia yang saban hari mengharungi cabaran terbesar dalam hidup mereka. Selamat Menyambut Tahun Baru 2021,” tambahnya lagi. 

– UMNO Online
umno-online.my

Thursday, December 24, 2020

Tekanan terhadap Zahid memuncak dalam Umno

malaysiadateline.com
Oleh BORHAN AHMAD
December 24, 2020


Kadudukan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi tumpuan sejak kebelakangan ini berikutan keputusannya mahu bekerjasama dengan bekas mentornya Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membentuk kerajaan baru, namun kemudiannya ditolak oleh pimpinan parti.

Tamparan hebat diterima Zahid selepas menulis surat bersama Datuk Seri Najib Razak kepada Yang Dipertuan Agong menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

“No Anwar dan no DAP” telah menjadi polisi kepada Umno selepas mesyuarat Majlis Tertinggi yang membincangkan surat Zahid dan Najib itu.

Beliau dikatakan tersepit antara kembalinya populariti bekas presiden Datuk Seri Najib Razak dan intergriti timbalannya yang bersih Datuk Seri Mohamad Hassan.

Ekoran itu, tekanan mula dikenakan ke atas bekas timbalan perdana menteri itu agar berundur.
Bekas pengacara TV3, Datuk Dhalan Maamor menyiarkan sekeping gambar yang menunjukkan satu kain rentang menuntut Zahid berundur.

“Perlakuan siapa? Apa tujuan? Wajarkan Datuk Seri Zahid seorang pemimpin nombor wahid dalam Umno diperlakukan begini?” tanya Dhalan, bekas Setiausaha Politik menteri dari DAP, Anthony Loke itu.

Namun, kata Dhalan, tidak penting siapa yang naikan banner menolak Datuk Seri Zahid tetapi kenapa ia muncul secara tiba tiba. Itu lebih difikirkan.

“Saya merasakan ia tidak terlalu penting dan luar biasa “serangan” sebegini kerana ia kejadian biasa dalam politik.

“Sudah pasti penyokong Datuk Seri Zahid akan bangun mempertahankannya dan tak kurang musuh politik akan mengiyakannya selain bertepuk sorak,” kata Dhalan.

Beliau bertanya, apakah kejadian ini juga sebagai penanda akan berlaku perubahan apabila tiba masa pemilihan parti yang semakin dekat.

Semuanya serba mungkin, katanya bahkan, strategi ini boleh menimbulkan banyak spekulasi samada ia datang dari luar atau dalam parti.

Ia adalah “perbuatan” politik yang memang mempunyai tujuan, katanya.

Samada tujuannya memberi amaran kepada Datuk Seri Zahid oleh sahabat “sepermainan” atau daripada musuh yang sudah faham akan “permainan”.

“Saya penuh yakin “game” mula bertukar dan akan terus bertukar dari hari ke hari samada cara atau bentuk politik baru sesuai dengan keadaan masakini,” katanya.

Bagi beliau, apa yang berlaku dalam politik negara mutakhir ini meletakkan Zahid buntu mencari penyelesaian.

“Ke kiri penuh onak, ke kanan penuh duri.

“Beliau seolah tersepit namun kehidupan dan “nyawa” politiknya harus dipertahankan walaupun ramai yang bertanggapan Zahid seperti hampir lemas,” kata Dhalan.

Wednesday, July 29, 2020

Zahid Hamidi Beri Bayangan UMNO Mungkin Keluar PN

JULY 29, 2020

SHAH ALAM – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membayangkan parti itu mungkin keluar daripada gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Zahid berkata, sebarang perkongsian yang dilakukan harus diperhalusi semula apabila keikhlasan dan kejujuran diketepikan.

“Untuk berkongsi hidup, apatah lagi berkongsi kuasa, keikhlasan dan kejujuran merupakan prinsip utama perkongsian.

“Apabila keikhlasan dan kejujuran diketepikan, sebarang perkongsian harus dinilai semula,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Hantaran yang dibuat Ahmad Zahid itu turut diakhiri dengan tanda pagar #UMNObangkit selain beliau turut berkongsi sekeping foto ketika berada di masjid seakan-akan memberi maksud tersirat meminta petunjuk ALLAH SWT untuk melakukan keputusan besar memetik Sinar Harian.

Semalam, bekas Timbalan Perdana Menteri itu dilaporkan berkata, UMNO akan mengambil keputusan politik yang besar berikutan keputusan Mahkamah Tinggi mensabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas tujuh tuduhan penyelewengan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Najib yang juga bekas bos dan sahabat Ahmad Zahid dijatuhkan hukuman penjara 72 tahun dan denda RM210 juta.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid meminta ahli UMNO berlapang dada dan berfikiran terbuka dengan apa juga keputusan yang dibuat oleh parti.

Kenyataan terbaharu Ahmad Zahid itu seolah-olah memberi petanda yang kian jelas bahawa UMNO akan meninggalkan PN yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perkembangan terbaharu kes membabitkan bekas Presiden UMNO itu yang jelas menunjukkan parti itu kecewa dengan keputusan kehakiman tersebut.

PN yang ditubuhkan Mac lalu selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) dibentuk hasil kerjasama UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas serta disokong oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Bersatu Sabah (GBS) serta wakil bebas.

Perkembangan itu juga dijangka menjadikan situasi politik negara akan kembali dramatik kerana mungkin berlaku Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat rentetan keputusan besar yang akan dilakukan UMNO.

Tuesday, April 28, 2020

Zahid nafi dakwaan dana AS$50 juta bantu Rohingya masuk akaun peribadi


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan menerima dana berjumlah AS$50 juta daripada Qatar Development Fund yang bertujuan untuk membantu pelarian Rohingya di Malaysia dan dimasukkan ke akaun peribadi.

"Ada beberapa perkongsian di Facebook menuduh saya telah menerima dana dari Qatar Development Fund dan dimasukkan ke akaun persendirian.

"Tuduhan ini jelas fitnah dan bertujuan mengaibkan saya," katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada masa lalu mengusahakan dana bagi membantu pelarian Rohingya di Malaysia.

"Qatar berbesar hati memberi penajaan terhadap isu Malaysia ketika itu.

"Namun kerajaan ketika itu tidak menerima apa dana atau bantuan bagi membantu Rohingya. Sehinggalah tampuk di Putrajaya berubah," katanya.

Sebaliknya, Ahmad Zahid berkata "dana sebanyak AS$50 juta diterima ketika Pakatan Harapan menguasai Putrajaya."

MP Bagan Datoh itu turut berkongsi pautan Facebook bekas timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi menyokong kenyataannya.

Pada hantaran bertarikh 25 November 2018, Dr Wan Azizah menulis: "Saya mengambil kesempatan untuk menzahirkan ucapan terima kasih kepada beliau atas sumbangan AS$50 juta Kerajaan Qatar untuk program bantuan pelarian Rohingya."
Zahid menggesa PH memberikan penjelasan terperinci mengenai dakwaan dana dari Qatar ini.

"Malah Duta Qatar Essa Mohamed juga menyatakan kerajaan Qatar telah mengikrarkan AS$50 juta (RM198.9 juta) bagi membantu masyarakat Rohingya di Malaysia.

"Kenyataan ini dikukuhkan dengan kedatangan Pengerusi Yayasan Qatar bagi Pembangunan Pendidikan, Sains dan Komuniti (QF) dan Pendidikan Yang Penting (EAA), YAM Sheikha Moza Nasser ke Malaysia dan lawatan ke pusat pembelajaran anak pelarian," dakwanya.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Dr Wan Azizah bagi mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan ini.

Wednesday, December 25, 2019

Rangkuman kes Zahid: Rekod kad kredit, cukai jalan dan siapa Mazlina?

Diterbitkan Hari ini 11:19 tengahari 

BERITA

Pada 12 Disember lalu merupakan hari terakhir perbicaraan kes Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bagi tahun 2019.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT) melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Sepanjang 12 hari perbicaraan (sejak 18 November), 26 saksi hadir memberikan keterangan di mahkamah, dan perbicaraan banyak berkisar tentang dakwaan pecah amanah terhadap dana Yayasan Akalbudi.

Dalam pertuduhan pecah amanah (CBT), Ahmad Zahid dituduh menyeleweng RM31 juta dana Yayasan Akalbudi- yang mana beliau merupakan pengasas, pemegang amanah, dan penandatangan tunggal.

Melalui jejak aliran tunai yang dibentangkan kepada mahkamah, pihak pendakwaan cuba membuktikan bahawa satu amaun besar milik yayasan digunakan untuk, antara lain, membayar bil kad kredit peribadi, membeli polisi insurans kenderaan-bermotor dan membeli cukai jalan untuk kenderaan milik peribadi.

Laporan mengenai rekod cukai jalan bagi kenderaan Ahmad Zahid merupakan antara perkara yang paling memancing perhatian ramai dalam perbicaraan setakat ini.

Sebanyak 20 kenderaan, yang hampir kesemuanya kereta dan motosikal mewah, dan hampir semuanya didaftarkan atas nama beliau, mempunyai cukai jalan berjumlah RM35,726.80.

Sementara nilai polisi insurans kenderaan Ahmad Zahid dan keluarganya mencecah RM72,209.57 untuk 20 kenderaan yang dimiliki mereka. Semua kenderaan ini sama dengan rekod kenderaan yang disenaraikan saksi bagi cukai jalan, kecuali dua kenderaan kerana berlaku pertukaran nombor plat.
Salah seorang saksi yang merupakan ejen insurans memberitahu mahkamah, dia menerima tiga cek bernilai RM107,509.55 untuk pembayaran polisi insurans dan cukai jalan bagi 20 kenderaan.

Laporan rekod kad kredit Ahmad Zahid juga menarik perhatian banyak pihak, apabila saksi mendedahkan perbelanjaan yang dibuat Ahmad Zahid dan keluarganya, termasuk di butik-butik mewah luar negara.

Rekod kad kredit Ambank yang dibentangkan saksi menunjukkan penggunaan kad kredit Ahmad Zahid dan isterinya, Hamidah Khamis mencecah lebih RM1.4 juta dalam tempoh dua tahun dua bulan (antara Disember 2013 hingga Januari 2016), termasuk di luar negara.

Ini termasuklah perbelanjaan di pusat beli-belah, fesyen dan butik mewah seperti Burberry, Louis Vuitton, Swarovski, Harrods, Max Mara, Myer, Zilli Hermes, Stefano Ricci, Marks & Spencer, Escada dan Giorgio Armani; pusat mainan seperti Toys R Us dan DC Super Heroes, pusat barang kemas seperti Poh Kong Jewellers, Habib Jewels dan Swarovski; pusat farmasi, bil hospital, serta perbelanjaan lain.

Pembayaran yang direkodkan terhadap kad kredit itu pula mencecah RM1,296,715.98 (dari Januari 2014 hingga Januari 2016) melalui 37 transaksi cek (dua dipulangkan semula).

Bagi kad kredit Maybank pula, sebanyak RM 45,951.36 perbelanjaan direkodkan- termasuk di Kiev, Ukraine dan Seoul, Korea Selatan- manakala pembayarannya pula ialah sebanyak RM65,251.83, dibuat menerusi sembilan transaksi cek (satu dipulangkan semula).

Menurut salah seorang saksi, Ahmad Zahid juga mengarahkan penebusan semua akaun simpanan tetap milik Yayasan Akalbudi dan mengeluarkan cek bank (banker’s cheque) atas nama Messrs Lewis & Co berjumlah RM17,953,185.21, bagi tujuan “membina bangunan Yayasan Akalbudi”.

Siapa Mejar Mazlina?

Walaupun perbelanjaan kad kredit dan nilai polisi insurans menjadi perhatian rakyat, pasukan pendakwaan- seperti yang dinyatakan dalam pernyataan pembukaan- perlu membuktikan penyelewengan Yayasan Akalbudi oleh Ahmad Zahid berlaku menerusi pembayaran-pembayaran yang dibuat.

Dengan itu, pasukan pembelaan mendakwa, pembayaran untuk kad kredit dan insurans yang dibuat melalui cek Yayasan Akalbudi itu, dibuat tanpa pengetahuan Ahmad Zahid oleh pembantunya ketika itu yang bernama Mejar Mazlina.

Nama Mejar Mazlina boleh dikatakan nama yang paling banyak ditimbulkan oleh pasukan pembelaan, khususnya ketika pemeriksaan balas terhadap keterangan tentang transaksi melibatkan cek.
Menurut peguam bela, pihaknya telah menghantar sejumlah cek ke Jabatan Kimia Malaysia untuk pengesahan, dan hasilnya, daripada semua cek itu, sebanyak 32 cek didapati bukan dihasilkan menggunakan tulisan tangan, sebaliknya menggunakan cap tandatangan.

Ini termasuklah 25 cek kepada Ambank dan enam cek kepada Maybank untuk pembayaran kad kredit. Dakwa peguam bela, cek-cek tersebut dicap oleh Mejar Mazlina tanpa pengetahuan Ahmad Zahid.

Penggunaan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat pembayaran kad kredit, kata mereka, juga disebabkan kesalahan Mejar Mazlina yang sepatutnya menggunakan wang dari akaun peribadi Ahmad Zahid.

Malah, mereka turut mendakwa Mejar Mazlina sememangnya diketahui sering melakukan kesilapan seperti menghantar cek kosong (tanpa tandatangan) kepada bank sehingga menyebabkan cek tersebut dipulangkan semula.

Mejar Mazlina dijangka akan dipanggil sebagai salah seorang saksi tahun hadapan.

Selain pembayaran kad kredit dan insurans, Ahmad Zahid turut dituduh memberikan wang Yayasan Akalbudi kepada syarikat TS Consultancy & Resources (RM360,000); Pasukan Persatuan Bola Sepak PDRM (RM 1.3 juta), dan Armada Holdings (RM10 juta).

Bagi peruntukan tersebut, peguam bela mendakwa ia sebenarnya untuk mencetak al-Quran (untuk TS), “kebajikan pemain” (untuk pasukan bola sepak), dan sebagai pelaburan yang menguntungkan yayasan (untuk Armada Holdings).

Tak tahu aktiviti yayasan

Ahmad Zahid merupakan salah seorang daripada ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Akalbudi yang ditubuhkan sejak 1997 (ketika itu Yayasan Budi), sebelum memohon menjadi penandatangan tunggal bagi badan tersebut pada 2013.

Bagaimanapun, berdasarkan keterangan ahli lembaga pemegang amanah yayasan lain yang menjadi saksi perbicaraan, kebanyakan mereka tidak tahu menahu mengenai apa-apa perjalanan dan aktiviti yayasan.

Ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Akalbudi (mantan atau penyandang) yang memberi keterangan sebagai saksi ialah Mohd Samsuri Tun, Prof Dr Zulkifli Senteri, Muhammad Nabil Saleh dan Khairuddin Tarmizi.

Hampir semua mendakwa tidak tahu sumber kewangan yayasan, tidak pernah berbincang mengenai aktiviti dan perbelanjaan yayasan dengan Ahmad Zahid (kecuali Khairuddin), tidak pernah dirujuk dengan penyata akuan atau penyata kewangan yayasan, serta tidak tahu yayasan mempunyai dana berjumlah jutaan ringgit.

Malah, mereka semua mengaku tidak pernah menandatangani sebarang dokumen kewangan seperti cek milik yayasan, kecuali Samsuri (pernah tandatangan cek) dan Nabil (tidak menyebut langsung mengenai cek dalam pernyataan saksinya).

Mereka juga akur apabila diminta melepaskan jawatan oleh Ahmad Zahid.

Khairuddin juga membuat pengakuan mengejutkan, iaitu akuan bersumpah (SD) yang ditandatanganinya pada 2017 bahawa terdapat pembayaran balik dana Yayasan Akalbudi sebanyak lebih RM800,000 oleh Ahmad Zahid Hamidi, adalah sebenarnya tidak benar.

SD itu tidak disediakan olehnya, sebaliknya hanya ditandanganinya sahaja setelah diminta berbuat demikian oleh seorang peguam.

Berdasarkan maklumat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Yayasan Akalbudi, Zulkifli dan Samsuri masih lagi pengarah yayasan, biarpun kedua-duanya telah menandatangani surat peletakan jawatan pada 2012.

Dalam pemeriksaan balas terhadap beberapa saksi, peguam bela mencadangkan bahawa Yayasan Akalbudi adalah “sebenarnya kepunyaan Ahmad Zahid”, dan wang peribadi Ahmad Zahid bercampur aduk dengan dana yayasan memandangkan sebahagian besar pendapatannya dimasukkan ke dalam akaun yayasan sejak awal penubuhannya lagi.

Peguam bela juga beberapa kali membangkitkan apa yang disebut sebagai “sumbangan dan projek” oleh Yayasan Akalbudi. Antaranya, sumbangan kepada surau dan masjid berjumlah lebih RM 46 juta, melibatkan pembinaan, penambahbaikan, sumbangan karpet, pendingin hawa, pengecatan dan atap.

Selain itu, turut disenaraikan sumbangan kepada golongan memerlukan, sumbangan pelajaran, pembinaan sekolah, serta sumbangan lain seperti sumbangan hari perayaan dan bulan Ramadan, baik pulih bangunan awam, serta sumbangan tahunan kepada warga Bagan Datuk.

Rasuah

Hari ke-12 turut menyaksikan perbicaraan mula masuk dalam kes rasuah.

Bagi pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima RM17 juta antara 2016 hingga 2018, sebagai imbuhan buat dirinya untuk menganugerahkan tiga kontrak kepada beberapa syarikat. Beliau ketika itu Menteri Pertahanan dan juga Timbalan Perdana Menteri.

Pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa Ahmad Zahid “memainkan peranan penting” (instrumental) dalam penganugerahan kontrak-kontrak tersebut.

Pada atau sekitar waktu sama, Ahmad Zahid dituduh menerima rasuah RM4.25 juta daripada “seseorang” sebagai imbuhan terhadap projek MyEG bawah bidang kuasa kementeriannya ketika itu.

Pada hari ke-12, pasukan pendakwaan memanggil saksi-saksi formal dari beberapa bank untuk mengesahkan berlakunya transaksi cek dari lima syarikat kepada Lewis & Co antara 2016 hingga 2018.

Lima syarikat itu ialah Syarikat Jogabonito Jewellery and Diamonds (sekeping cek RM250,000), Berani & Jujur Trading (RM5 juta dalam 10 transaksi cek), Mastoro Kenny IT Consultant & Services (RM8 juta dalam 13 transaksi cek), Sarana Kencana Sdn Bhd (RM6 juta dalam dua transaksi cek), dan Profound Radiance Sdn Bhd (RM2 juta dalam tiga transaksi cek).

Messrs Lewis & Co juga nama yang sering timbul dalam perbicaraan Ahmad Zahid. Pihak pembelaan konsisten mencadangkan bahawa Lewis & Co ialah pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi.

Peguam bela juga mencadangkan bahawa saksi-saksi yang dipanggil setakat hari ke-12, “tidak boleh menafikan” sekiranya dikatakan bayaran yang dibuat adalah untuk tujuan kebajikan, infak atau sedekah, selain untuk tujuan “dana politik kepada TPM” (political fund to TPM).

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram pula, Ahmad Zahid dituduh menerima cek berjumlah RM65 juta menerusi peguam dari Messrs Lewis & Co, dengan sebahagian besar daripada amaun itu kemudiannya digunakan untuk penempatan deposit tetap bawah nama firma tersebut.

Selain itu, dua unit banglo berjumlah RM5.9 juta didakwa dibeli tertuduh menggunakan duit tersebut.

Pasukan pendakwaan terdiri daripada timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran, Ahmad Sazilee Abdul Khairi, Lee Keng Fatt, Gan Peng Kun, Harris Ong Mohd Jeffery Ong, Nur Aishah Maulat Ahmad Zakiuddin dan Mohd Afif Ali.

Manakala pasukan pembelaan diwakili peguam bela Hisyam Teh Poh Teik, Ahmad Zaidi Zainal, Hamidi Mohd Noh, Rosal Azimin Ahmad, Haziq Dhiyauddin Razali, dan Aiman Abdul Rahman.

Perbicaraan dilakukan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Perbicaraan akan bersambung semula, Februari tahun hadapan.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-