Wednesday, June 24, 2015

SKANDAL MARA: Siapa & berapa nilai atau jumlah hartanah yang terlibat?

Oleh Rafizi Ramli & Akmal Nasir
Pendedahan eksklusif yang dibuat akhbar Australia The Age yang bertajuk “Corrupt Malaysia money distorts Melbourne market” bukan sahaja memalukan nama baik Malaysia tetapi juga menimbulkan persoalan integriti dan sejauh mana wang amanah rakyat Mara disalahgunakan.

Menurut laporan tersebut, pembelian hartanah The Dudley yang sepatunya berlaku pada harga RM51.5 juta dibeli pada harga RM 65.4 juta yang mana lebihan RM 13.8 juta daripada nilai sebenar diselewengkan.

Siasatan yang dijalankan National Oversight and Whistleblowers (NOW) terhadap syarikat Thrushcross Land Holding Ltd yang disyaki terlibat dalam transaksi ini mengesahkan syarikat ini didaftarkan di Kepulauan British Virgin (rujuk lampiran). Thrushcross dipercayai dikawal Mara melalui anak syarikat iaitu Mara Inc yang mana salah seorang pengarah utama Thrushcross adalah Datuk Mohammad Lan Allani iaitu pengerusi MARA Inc.

Datuk Mohammad Lan Allani adalah seorang pemimpin Barisan Nasional yang merupakan bekas ADUN Sulabayan yang terletak dalam Parlimen Semporna selama dua penggal dan juga bekas pengerusi Kelab Backbenchers Sabah.

Ini menimbulkan pelbagai kecurigaan dan tanda tanya tentang bagaimana wang amanah rakyat terlibat dalam skandal ini.

1. Mengapa syarikat yang terlibat dalam urusniaga ini iaitu Thrushcross Land Holding Ltd didaftarkan di Kepulauan British Virgin yang terkenal sebagai destinasi untuk berlindung dari cukai? Mengapa ianya tidak didaftarkan terus di Malaysia atau Australia?
2. Selain daripada The Dudley, benarkah Mara melalui Mara Inc juga dikatakan mengadakan pembelian tiga lagi hartanah di Australia iaitu 746 Swanston Street, 51 Queen Street dan 333 Exhibition Street?

3. Dan jika benar, adakah jumlah urusniaga 4 hartanah ini menelan belanja RM 244.47 juta dan adakah kesemua urusniaga ini dijalankan pada harga munasabah atau pada harga yang dinaikkan?

Persoalan-persoalan yang dikemukakan ini diharap dapat membantu merungkaikan tuduhan berat yang dilemparkan The Age.

Kami juga menyambut baik komitmen yang diberikan Datuk Seri Najib Razak untuk menyiasat skandal pembelian hartanah Mara.

Sekiranya tuduhan penyelewengan dalam pembelian The Dudley mempunyai asas, Perdana Menteri perlu mengarahkan siasatan menyeluruh termasuk pembelian hartanah-hartanah yang lain yang secara keseluruhannya melibatkan ratusan juta ringgit wang amanah rakyat. – TMI

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=293322:skandal-mara-siapa--berapa-nilai-atau-jumlah-hartanah-yang-terlibat?&Itemid=2#ixzz3dzSkWClg
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-