Friday, June 12, 2015

Dr M lwn Najib: Durian sama durian berlaga, timun jadi mangsa


oleh Hazlan Zakaria

KOMEN: "Durian sama durian berlaga, timun jadi mangsa," itu bunyinya satu peribahasa Melayu.

Ini adalah satu kemungkinan hasil persengketaan yang sedang berlaku antara Dr Mahathir Mohamad dan Najib Razak.

Sewaktu kedua-dua mereka terus mengkritik dan menghentaman antara satu sama lain di media, mungkin rakyat yang akan perlu membayar harganya, sekarang atau nanti.

Ini kerana motivasi Najib dan Dr M dalam pertembungan ini mungkin bukannya kesejahteraan rakyat.

Dan cara-cara dan langkah yang kedua-dua mereka gunakan untuk berentap mungkin boleh membawa kepada malapetaka bagi kita rakyat biasa.

Benar sekali seperti yang ditulis pengarang, Kee Thuan Chye baru-baru ini dalam kolumnya, kita tidak harus "mendewakan" Dr M, kerana bekas perdana menteri itu sendiri telah memimpin bencana-bencana yang serupa sepanjang tempoh 22 tahun pemerintahannya.

Dan seperti yang dikatakan beberapa pemerhati politik, tujuan beliau berkempen bagi menyingkirkan Najib mungkin tidak begitu ikhlas, dan mungkin lebih disebabkan oleh legasi beliau sendiri dalam sejarah dan politik, apa pun sebab yang dinyatakannya.

Namun saya rasa semangat rakyat, yang sudah jelak dengan pelbagai skandal Najib, dalam menyokong Dr M adalah sedikit berjaga-jaga kerana mereka juga mengetahui banyak cerita mengenai bekas PM itu, dengan nama-nama seperti BMF dan MISC kembali timbul.

Ini sehinggakan satu artikel satira baru-baru ini yang menyindir semangat Dr M dalam menyelamatkan masa depan Malaysia daripada dakwaan sikap bermewah-mewah Najib, dengan cara membeli dan mengisytiharkan sebuah pulau sebagai negeri bebasnya sendiri telah mendapat tumpuan di media sosial.

Saya rasa motif doktor itu mungkin turut menjadi persoalan di kalangan rakyat, tetapi setelah mereka bosan dengan sikap bermewah-mewah Najib, mungkin keadaan terdesak itu sendiri telah memarakkan sokongan mereka kepada Dr M.

Seperti yang diutarakan beberapa pembaca yang mengulas mengenai berita pertembungan ini di Malaysiakini, kedua-dua mereka telah menghancurkan negara ini, dan kitalah yang perlu membayar harganya, sewaktu mereka terus bermain politik.

Akibat pertembungan kedua-dua 'durian' ini, 'duri' mereka mungkin menikam rakyat, yang kebanyakannya adalah bak timun kepada kedua-dua durian ini.

Mahathir mungkin terlalu berduri untuk diusik Najib secara terus, manakala PM itu juga mungkin terlalu tebal kulitnya untuk dijejaskan duri bekas PM itu.

Tetapi rakyat, sama ada penyokong kedua-dua pihak atau tidak, mungkin akan menjadi mangsanya.

Seperti yang telah diutarakan oleh penulis ini dan juga pihak lain, setiap kali timbul konflik di kalangan mereka yang berkuasa dan apabila gergasi-gergasi politik bertembung, akibatnya mungkin diterima kita semua.

Apa yang digelar 'krisis' dalam sejarah Malaysia seperti 13 Mei dan Ops Lalang, berasal dari pertikaian Umno.

Ia dipercayai secara meluas bahawa pihak yang berkuasa biasanya akan mencetuskan konflik untuk membolehkan mereka bertindak terhadap pihak yang mengancam kawalan mereka ke atas Umno, yang merupakan parti yang dominan dalam BN.
Oleh itu, jika Najib cukup terdesak untuk 'membuang' Mahathir atau mendiamkan penyokongnya, sebuah lagi krisis mudah mungkin akan timbul secara tiba-tiba dan menyebabkan kesusahan kepada rakyat, dan kita terperangkap dalamnya.

Dan seperti semua pertembungan antara ahli-ahli politik, mereka sendiri tidak akan berlawan dan mungkin akan muncul di atas pentas untuk berpelukan antara satu sama lain, selepas menikam belakang masing-masing.

Lagipun, mereka adalah Raja Buah dan kita hanyalah sayur.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Dr-M-lwn-Najib-Durian-sama-durian-berlaga-timun-jadi-mangsa#sthash.9RjR7pf0.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-