KUALA LUMPUR, 13 Jun:
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kesal dengan tindakan pihak yang membocorkan maklumat berkenaan kenaikan kadar tol yang dibincangkan di dalam mesyuarat kabinet.
Menurut Najib, beliau kesal dengan tindakan tersebut memandangkan perkara berkenaan masih dalam peringkat perbincangan.
“Jadi apa jua kebocoran yang keluar daripada Kabinet, sebenarnya belum muktamad.
“Malangnya berlaku kebocoran di media sosial… ia sangat-sangat malang kerana ada pihak yang tidak beretika dan mereka telah mengkhianati kepercayaan sebagai anggota kerajaan,” katanya di dalam sidang media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) lewat malam tadi.
Beliau bagaimanapun mengakui perkara itu dibincangkan di dalam kabinet dan akan dimuktamadkan dalam tempoh beberapa minggu dari sekarang.
Semalam, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof melalui satu kenyataan berkata bahawa kabinet membincangkan isu mengenai implikasi kenaikan kadar tol bagi tahun 2015.
Dalam kenyataan yang sama, beliau meminta agar mana-mana pihak termasuk media untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kenaikan kadar tol.
Dalam perkembangan yang berbeza, Najib yang juga selaku Pengerusi BN menggesa ahli-ahli parti berkenaan untuk terus mengukuhkan hubungan khususnya di peringkat bahagian.
“Kerjasama di dalam BN di peringkat tertinggi tiada masalah. Cuma bagi di peringkat bahagian, kita minta semua pemimpin BN buat usaha yang lebih untuk selesaikan masalah sesama sendiri.
“Kalau tidak ada masalah, kukuhkan hubungan sesama mereka supaya lebih mantap dan serasi,” tegas beliau lagi.
Mesyuarat Dewan Tertinggi BN dalam masa yang sama turut membincangkan mengenai kejadian gempa bumi di Ranau baru-baru ini.
Jelasnya, pihak kerajaan akan berusaha untuk membantu malim-malim Gunung Kinabalu bagi tempoh tiga bulan gunung berkenaan ditutup untuk menjalankan operasi membaik pulih.
“Kita akan beri pengharagaan dan anugerah kepada mereka yang terlibat dalam membantu mangsa-mangsa gempa bumi ini termasuk malim-malim gunung, polis, anggota bomba dan lain-lain lagi selain daripada mereka yang terkorban.”
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/06/13/saya-kesal-ada-pihak-bocorkan-maklumat-kenaikan-tol-pm-najib/#ixzz3cuMcwRzF
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.