KUALA LUMPUR, 28 Jun:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengalu-alukan kunjungan Ahli Parlimen DAP-Gelang Patah, Lim Kit Siang ke Ibu Pejabat suruhanjaya berkenaan di Putrajaya untuk mendapatkan penjelasan mengenai tindakan yang telah diambil berhubung siasatan isu pembelian hartanah oleh MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc) di Australia.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed menerusi satu kenyataan hari ini berkata, pengurusan tertinggi SPRM sentiasa terbuka untuk memberi penjelasan mengenai apa jua isu kepada mana-mana pihak.
“Ini adalah dasar dan pendekatan SPRM sebagai sebuah suruhanjaya yang bebas, telus dan profesional.
“Malah, SPRM telah mengadakan siri pertemuan dengan pemimpin-pemimpin DAP di peringkat nasional dan negeri.
“Ini termasuklah satu pertemuan pada awal April 2015 di Bangunan Parlimen, di mana kesemua isu yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Parlimen DAP telah diberi penjelasan dengan terperinci,” Abu Kassim menjelaskan dalam kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya itu.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai reaksi kepada kenyataan Kit Siang di laman blognya hari ini yang mendakwa SPRM tidak kompeten dan tidak efisien dalam tindakan yang diambil berhubung kes dakwaan penipuan dalam urus niaga pembelian hartanah oleh anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu di Melbourne.
Pemimpin veteran DAP itu turut berkata beliau mempertimbangkan untuk berkunjung ke ibu pejabat SPRM bagi mendapatkan pencerahan.
Dalam pada itu, tambah Abu Kassim, DAP juga mempunyai wakil dalam Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) iaitu Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw.
JKMR merupakan satu daripada lima badan bebas yang berperanan memantau perjalanan SPRM dan ahlinya terdiri daripada kalangan Ahli Parlimen.
“Mana-mana pihak yang sangsi dengan fungsi dan peranan SPRM juga boleh menghubungi JKMR bagi mendapatkan penjelasan.
“Kesemua lima badan bebas yang memantau perjalanan SPRM lazimnya akan diberi makluman mengenai status kemajuan siasatan sesuatu kes jika dibangkitkan atau jika wujud keperluan untuk berbuat demikian,” kata Abu Kassim lagi.
Empat panel bebas lain yang turut memantau SPRM ialah Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Panel Penilaian Operasi (PPO) yang diiktiraf oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berkenaan Dadah dan Jenayah (UNODC) serta Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).
Terdahulu LPPR hari ini turut mengeluarkan kenyataan pihaknya percaya SPRM tidak akan menutup kes siasatan pembelian hartanah oleh MARA Inc di Australia itu, sebaliknya akan menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional.
Sebagai satu daripada badan bebas yang memantau perjalanan SPRM sejak 2009, LPPR menyuarakan keyakinan tinggi terhadap suruhanjaya itu kerana ia sentiasa memaklumkan kemajuan kes yang disiasat, khususnya kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam apabila diminta berbuat demikian ketika mesyuarat bulanan LPPR.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/06/28/isu-mara-inc-sprm-alu-alukan-kit-siang-hadir-di-ibu-pejabatnya-dapatkan-penjelasan/#ixzz3eMweRt6P
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.