Tuesday, July 14, 2015

Ahli PAS usah terjebak gerakan melemahkan parti



KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru semua pihak khususnya ahli PAS agar terus berusaha memperkasakan parti dan tidak terikut-ikut sentimen gerakan yang mahu melemahkan parti.

Bercakap semasa sesi ramah mesra Iftar Bersama Media di Hotel Plaza dekat sini 13 Julai lalu, beliau yang juga Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat mahu semua akhir kekal berjuang bersama parti ini.

Hadir sama Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan, Bendahari, Ustaz Mohamad Nor Mohamad, Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh, Ketua Penerangan Muslimat, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali, Presiden Geng Ustaz (GU), Ustaz Norazli Musa dan pimpinan GU serta AJK Lajnah Penerangan PAS Pusat.

Selain itu pelbagai media turut hadir dalam iftar anjuran Lajnah Penerangan PAS Pusat itu.

"Saya ingatkan mereka masih terikat dengan peraturan dan disiplin parti, peraturan kita tidak benarkan ahli parti sertai parti lain, ini termatub dalam perlembagaan.

"Kita minta ahli tidak terus mengadakan sebarang gerakan yang lemahkan parti dan bercanggah dengan gerakan PAS. Bagi kami sepatutnya mereka semua akur dengan keputusan muktamar," tegas Ustaz Tuan Ibrahim lagi.

Beliau juga mengharapkan agar semua pihak terus berusaha memperkasakan parti.

Selain itu beliau juga menegaskan tohmahan bahawa PAS mahu bersama dengan Umno BN adalah tidak benar sama sekali.

Tohmahan yang sering dilemparkan itu kata beliau hanyalah semata-mata fitnah, kerana PAS dari sejak mula ditubuhkan menentang Umno-BN.

"Sejak hari pertama lahir PAS dan tolak Umno BN" kata beliau lagi.

Ditanya mengenai isu keahlian mereka yang menyertai Gerakan Harapan Baharu, kata beliau ia tertakluk kepada jawatankuasa disiplin parti yang akan menguruskannya.

Malah, katanya rujukan ke jawatankuasa displin juga tertakluk kepada aduan yang dibuat.

Cuma beliau menasihatkan pihak yang mahu menubuhkan parti lain agar berfikir tentang apakah nilai tambah yang boleh diberikan, sama ada ianya akan menjadi lebih baik atau sebaliknya.

"PAS akan terus berjuang dan dengan dasar Islam rahmat untuk semua," katanya lagi.

Selepas sidang media, kesemua wartawan daripada pelbagai media diraikan dalam majlis berbuka puasa bersama pimpinan PAS. - HARAKAHDAILY

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-