Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Parlimen perlu menentukan keyakinan terhadap Najib selepas beliau merombak Kabinet dengan memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri, dan beberapa menteri lain serta menggantikan Peguam Negara Tan Sri Gani Patail.
Katanya, Muhyiddin dan beberapa menteri yang disingkirkan telah mendesak Najib supaya bercakap benar tentang skandal 1MDB manakala Gani pula sedang mengetuai siasatan terhadap skandal tersebut.
Menurutnya, dengan perkembangan itu, Parlimen perlu mengadakan sidang tergempar untuk undi percaya/tak percaya terhadap Najib bagi memastikan siasatan terhadap skandal 1MDB serta dakwaan Wall Street Journal tentang akaun peribadi Perdana Menteri diteruskan tanpa gangguan.
“Menarik jika kita dapat mengetahui sama ada Muhyiddin serta menteri-menteri lain yang dipecat dari Kabinet hari ini, bersedia untuk mengundi percaya/tak percaya terhadap Najib sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menyifatkan rombakan Kabinet hari ini dilihat seolah-olah Najib mahu menyusun kerusi meja di atas kapal Titanic yang sedang tenggelam.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, rombakan Kabinet Najib tidak bertujuan menjadikan ia lebih cekap, berkesan dan professional, tetapi semata-mata untuk memberi talian hayat politik kepada beliau yang teruk dilanda skandal 1MDB.
Tambah beliau, Najib hanya mahu membuang para menteri yang mengancam masa depan politiknya kerana mereka telah berani menuntut beliau mendedahkan skandal 1MDB serta tuduhan WSJ yang mendakwa wang RM2.6 juta bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.
Menurutnya, bukan sahaja Kabinet dirombak, Najib juga “memecat” Peguam Negara yang sedang menyiasat skandal tersebut.
Perdana Menteri juga membawa keluar anggota-anggota Barisan Nasional dalam Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) Parlimen, termasuk Pengerusinya, yang turut menyiasat skandal 1MDB, untuk dimasukkan ke dalam Kabinetnya. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.