Thursday, July 9, 2015

Krisis kepercayaan Najib, Pemuda PAS siap sedia

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak kini jelas berada di ambang krisis kepercayaan paling besar bukan hanya di sisi rakyat bahkan di kalangan ahli dan pimpinan Umno sendiri.

Realiti ini mengundang telahan daripada pelbagai pihak bahawa masanya semakin hampir untuk sebuah kerajaan baru yang mendapat mandat lebih teguh daripada rakyat dibentuk.

Kontroversi terbaru yang didedahkan oleh The Wall Street Journal adalah satu dakwaan yang berat dan begitu menghakis kredibiliti orang nombor satu dalam kerajaan.

Jika benar, ia adalah satu kerosakan dan keaiban terhadap rakyat dan negara yang tidak boleh dimaafkan. Sebaliknya jika ia adalah tuduhan yang palsu, maka negara akan terperangkap dalam suatu konspirasi politik yang melibatkan pemain luar yang pastinya mempunyai agenda dan kepentingan politik dan ekonomi. Ini bakal mengundang kerosakan yang lebih besar kepada negara.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru kepada penyiasatan yang telus dan menyeluruh oleh badan berwajib bagi menjawab segala persoalan yang menghantui rakyat hari ini mengenai skandal politik dan ekonomi yang semakin membarah ini.

Dewan Pemuda PAS Malaysia juga menyeru kepada penubuhan suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja yang lebih berwibawa dan bebas bagi menyiasat dan membongkar dakwaan yang begitu berat ini.

Perlu diingatkan bahawa PAS kekal menjunjung prinsip kebenaran dan amanah serta menolak fitnah dan provokasi melampau yang mungkin berlaku.

Mengambil kira beberapa cabaran yang berlaku dalam beberapa parti politik hari ini termasuk PAS, maka jentera pemuda dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan gelombang baru politik yang bakal wujud tidak lama lagi.

Seluruh kepimpinan pemuda PAS di setiap peringkat wajar bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan yang tidak mustahil akan berlaku.

Semua pemuda harus terus beristiqamah dan mengambil kesempatan di sepuluh malam terakhir Ramadhan untuk terus bermunajat serta memohon nusrah daripada Allah SWT. -HARAKAHDAILY 

Penulis ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-