SUARA LANTANG: Selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berasa agak selesa dengan sokongan yang diterimanya dan disusuli pula dengan penangguhan pemilihan UMNO 2016 selama 18 bulan, tiba-tiba kedudukannya bergegar kembali dengan tersiarnya laporan Wall Street Journal (WSJ) yang mengaitkannya dengan pengaliran masuk wang 1MDB berjumlah hampir AS$700 juta ke dalam akaun peribadinya.
Laporah akhbar perniagaan berpengaruh yang sudah berusia selama 125 tahun itu bagaikan isyarat bahawa kedudukan Perdana Menteri masih belum selamat di sebalik 1MDB sedang menjalani proses audit dan penyiasatan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC.
Secara langsung, ia juga memberi signal bahawa 1MDB akan terus menjadi bahan yang akan digunakan untuk menekan Datuk Seri Najib Razak. Selepas pendedahan WSJ ini, kita tidak tahu apa lagi laporan sensasi di media antarabangsa yang akan keluar di masa akan datang.
Walaupun 1MDB, Pejabat Perdana Menteri dan Datuk Seri Najib sendiri sudah menjawabnya dan mengatakan laporan itu tidak benar, WSJ tetap berpegang kepada kebenaran apa yang mereka tulis berdasarkan hasil siasatan yang didakwa dalam pengetahuan kerajaan dan dilihat sendiri oleh Perdana Menteri.
Datuk Seri Najib juga menuduh Tun Mahathir Mohamad sebagai dalang di sebalik laporan itu dengan mengatakan ia sebagai sebahagian lagi siri serangan yang didakwa untuk menjatuhkannya daripada tampuk pemerintahan kerajaan.
Dengan menuduh secara terbuka Tun Mahathir sebagai dalang, pertembungan Datuk Seri Najib dengan bekas Perdana Menteri itu nyata sudah memasuki episod parah yang tidak boleh diperbaiki lagi.
Tun Mahathir pasti akan membalas tuduhan, bahkan mungkin meningkatkan lagi serangannya. Akhirnya ia jadi berlarutan dan bersiri-siri.
Ia kemungkinan hanya akan berakhir dengan salah seorang daripadanya mengalah dan kecundang di medan pertempuran atau membawa kepada penghakiman rakyat dalam pilihanraya.
Kecuali jika pertelingkahan ini akan berakhir dalam waktu yang singkat, tetapi kiranya ia berlarutan sehingga tarikh pilihanraya ke 14 nanti, siapakah yang untung dan siapakah yang rugi dalam pertembungan ini?
Melihat perbualan di tengah-tengah masyarakat dan reaksi yang semakin sarat di laman-laman sosial, tidak diragui bahawa Datuk Seri Najib lebih menanggung kerugian berbanding Tun Mahathir.
Tidak saja sokongan terhadapnya makin menipis, UMNO di peringkat akar umbi mula berpecah, bahkan komen-komen negatif di laman sosial milik Datuk Seri Najib sendiri jelas memperlihatkan lebih ramai yang membenci daripada menyukainya.
Sebaliknya pula, dengan melakukan kritikan dan serangannya, Tun Mahathir lebih dianggap untuk membetulkan keadaan dan menyelamatkan negara. Kedudukan ekonomi yang lemah, kejatuhan ringgit, peningkatan hutang negara, perlaksanaan cukai GST dan lain-lain yang memburukkan pentadbiran Datuk Seri Najib, menjadikan teguran serta kritikan bekas Perdana Menteri itu diterima dengan baik oleh majoriti rakyat.
Dengan kemenangan 133 kerusi Parlimen dan disokong hanya 47 peratus undi popular, tetapi kini ditambah dengan kritikan oleh Tun Mahathir, beban Datuk Seri Najib dalam pilihanraya ke 14 nanti tentunya amat sukar dan berat.
Ia sama ada memungkinkan kuasa BN terlepas terus atau kemenangan yang diperolehi jauh lebih tipis berbanding keputusan pilihanraya 2013 lalu. Di kedua-dua keadaan itu, kedudukan Datuk Seri Najib dalam pemilihan UMNO selepas itu tetap sukar dijangka dengan kemungkinan wujud desakan dalaman yang mahukannya berundur dengan segera.
Berbanding Tun Mahathir, Datuk Seri Najib lebih memerlukan sokongan memihak kepadanya demi mempertahankan kuasa yang sedang dalam genggaman. Tun Mahathir pula, hanya bercakap bersandarkan kebenaran dan keinginan menyelamatkan negara saja, sudah memadai untuk menjadikan sokongan rakyat memihak kepadanya dengan cepat.
Tun Mahathir menyerang dan mengkritik Datuk Seri Najib adalah untuk membetulkan keadaan, tetapi keengganan akur dengan bekas Perdana Menteri itu menyebabkan ia kini bertukar menjadi desakan meletakkan jawatan.
Bagaimanapun Datuk Seri Najib berkali-kali menyatakan tidak akan tunduk kepada tekanan meletakkan jawatan itu dengan alasan beliau dipilih secara demokratik melalui parti dan juga oleh rakyat menerusi pilihanraya.
Oleh kerana pilihanraya ke 14 akan diadakan terlebih dahulu berbanding pemilihan UMNO, maknanya Datuk Seri Najib, dengan terus berbalah dengan Tun Mahathir, termasuk yang terbaru menuduh bekas Perdana Menteri itu sebagai dalang dalam laporan WSJ yang mengaitkannya menerima wang AS$700 juta ke dalam akaun peribadi, sedang membuka ruang seluas-luasnya kepada rakyat untuk menjatuhkannya secara demokratik.
Menolak untuk dijatuhkan oleh Tun Mahathir, Datuk Seri Najib sebaliknya lebih rela rakyat yang menghukumnya melalui pilihanraya.
Ruang semakin terbuka luas, semuanya terpulang kepada Pakatan Rakyat sama ada untuk memulihkan dirinya dan merebut peluang keemasan ini atau membiarkannya berlalu begitu saja dengan terus berbalah dan bercakaran sesama sendiri.
- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Perang-Najib-Mahathir-siapa-untung-siapa-rugi#sthash.7fOsiKfJ.dpuf
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.