Monday, July 6, 2015

Serang program Kit Siang di Johor cubaan alih isu Najib, kata ahli Parlimen

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad bercakap pada sidang akhbar di Shah Alam, hari ini. Beliau kesal dengan insiden serangan pada program Lim Kit Siang yang disifatkannya sengaja dilakukan untuk mengalih perhatian daripada isu semasa. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal.

Serangan terhadap program yang disertai veteran DAP, Lim Kit Siang di Johor sebelum ini oleh beberapa individu sengaja dilakukan bagi mengalihkan tumpuan dan perhatian masyarakat daripada isu membabitkan pendedahan akhbar The Wall Street Journal (WSJ) terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Raja Kamarul Bahrin berkata, keganasan yang didakwa dilakukan ahli Umno itu sebagai isu perkauman di bulan Ramadan.

"Apa yang sedang berlaku di Malaysia hari ini semasa krisis kepimpinan negara makin meruncing hendaklah ditangani dengan bijaksana dan bukan ditambah dengan isu baru berbaur perkauman dan keagamaan untuk mengalih pandangan serta menutup masalah sebenarnya," katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.

"Di bulan Ramadan yang mulia ini sepatutnya dan sebaiknya kita meningkatkan amalan dan mengawal lidah kita," katanya, dan menambah,"Jika tidak kita akan mendapat lebih lapar dan dahaga daripada pahala dan keredaan Allah."

Beliau dalam pada itu menasihatkan penduduk Malaysia umumnya agar tidak terpengaruh dengan sentimen politik yang membenihkan kebencian politik apatah lagi di bulan Ramadan ini.

"Memang mudah untuk menarik perhatian dengan politik kebencian dan menakut-nakutkan rakyat cara murahan serta tidak bertanggungjawab yang mungkin boleh memusnahkan ketenteraman awam.

"Hendaklah kita mengamalkan politik yang matang dan penuh bijaksana apatah lagi kita perlu menghormati bulan yang mulia ini," katanya.

Lim pada Ahad dikatakan dihalau sekumpulan individu dalam satu majlis sesi dialog di sebuah kopitiam, di Masai, Johor.

Acara yang bermula sekitar jam 2 petang itu bertukar kecoh sejurus ahli Parlimen Gelang Patah tersebut mahu menyampaikan ucapan.

Seramai 50 individu dikatakan menyerbu masuk ke dalam kedai kopi berkenaan dan mula membaling beberapa objek, termasuk cawan, mangkuk plastik dan penyapu ke arah Lim.

Kekecohan yang tercetus hampir 30 minit itu mendorong Lim meninggalkan lokasi berkenaan dengan diiringi penganjur.

Lim bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, sementara beberapa orang didakwa cuba mencekik Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong semasa beliau menuju ke keretanya.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/serang-program-kit-siang-di-johor-cubaan-alih-isu-najib-kata-ahli-parlimen#sthash.jnHsIESD.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-