Monday, July 27, 2015

UMNO pula dah mula 'berkocak'...........?

Laman pro Umno desak Muhyiddin undur kalau tak setuju dengan PM
Blog pro Umno mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sekiranya tidak bersetuju dengan perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insider.

Blog pro Umno MyKMU.net hari ini mengingatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya beliau tidak bersetuju dengan perdana menteri, beliau yang harus berundur.

Ia berkata demikian mengulas beberapa kenyataan pedas dibuat timbalan perdana menteri itu semasa merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Cheras di Kuala Lumpur malam tadi.

Antara lain beliau mengatakan, Barisan Nasional (BN) akan kalah sekiranya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dilakukan dalam tempoh terdekat ini.

"Kebenarannya begini sajalah Tan Sri, pahit dan susah juga nak sebut tapi kita perlu sebutkan juga, Tan Sri juga yang ajar ni.

"Kalau tak yakin nak memastikan kemenangan Umno/Barisan Nasional, kalau tak boleh nak beri persepsi baik kepada Umno/BN dan paling penting, kalau tak boleh nak jadi timbalan yang setia, ikut macam nasihat di bawah," tulis pengarang blog itu.

Di bawah teks itu dimuat naik klip video ucapan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan yang berkata, “sekiranya anda tidak gembira dengan ketua anda, anda yang perlu berundur, bukannya ketua anda”.

Muhyiddin turut mendedahkan dalam ucapannya, beliau ada meminta Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan sebagai pengerusi kepada lembaga penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tetapi ia tidak diendahkan perdana menteri.

Beliau juga mengakui mengambil serius laporan The Wall Street Journal (WSJ) mengenai sejumlah wang yang didakwa disalurkan ke dalam akuan peribadi Najib, mengatakan presiden Umno itu perlu menjelaskannya sendiri, bukan hanya melalui kenyataan Jabatan Perdana Menteri.

Muhyiddin juga mendedahkan membangkitkan perkara tersebut berapa kali dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno dan mesyuarat Kabinet.

Menulis dalam artikel bertajuk Persepsi Tidak Bertambah Baik Dengan Berkata 'BN Akan Kalah Esok', pengarang blog itu bertanya, penasihat dan pegawai bagaimana pula yang mengelilingi Muhyiddin yang menganjurkan beliau berkata begitu.

Beliau memetik kenyataan beberapa pihak yang sebelum ini mendakwa perdana menteri dikelilingi penasihat dan pegawai tidak berguna dan sering memberi nasihat yang salah.

"Adakah ia cara memberi persepsi positif kepada BN?" soal laman web itu merujuk kenyataan Muhyiddin mengenai kekalahan BN dalam PRU14 itu.

Ia mengambil contoh kawasan Parlimen Cheras yang tidak pernah dimenangi BN selama ini.

"Memang kalau ikut bacaan sekarang, Cheras adalah kawasan yang kita tidak boleh menang untuk satu jangka masa yang panjang. Tapi, tak pula kita bagi mereka menang tanpa bertanding, betul gitu Tan Sri?" soalnya.

Laman web itu turut menyiarkan sepucuk surat yang ditulis seorang bernama Amin Yatim yang menyifatkan Muhyiddin "berstatus pengkhianat" kepada orang Melayu, parti Umno dan para sahabat.

"Tan Sri bukan sahaja memburukkan presiden parti, mempertikaikan cara Kabinet menanganinya, malah mendedahkan perbualan Tan Sri dengan rakan Kabinet lain.

"Tan Sri sungguhpun secara berlapik, tapi jelas membawa maksud 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ini satu skandal besar," katanya.

Penulis itu juga mengulas kenyataan Muhyiddin mengenai kekalahan BN dalam PRU14 itu.

"Tan Sri, apabila kita datang merasmikan Umno bahagian, kita mahukan Umno bahagian yang bersemangat waja, bersatu dan bersedia berhadapan pilihan raya pada bila-bila masa.

"Malangnya, Tan Sri datang seperti mahu bertanding jawatan presiden Umno atau mahu menjahanamkan Umno.

"Jika ikhlas dalam perjuangan sudah tentu Tan Sri akan kata isu 1MDB ini kita biarkan pihak berkenaan menyiasat mencari kebenaran dan keadilan kerana ia membabitkan isu yang besar dan kompleks.

"Malangnya, Tan Sri memilih untuk membelasah presiden kerana mahu menjadi hero. Tan Sri khianat kepada kerajaan dan sahabat dalam Kabinet.”

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/laman-pro-umno-desak-muhyiddin-undur-kalau-tak-setuju-dengan-pm#sthash.UFj2cZvY.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-