Tuesday, August 18, 2015

Dakwaan 20 MP BN guling kerajaan cerita rekaan

Pengerusi BNBBC, Tan Sri Shahrir Samad bersama-sama 34 Ahli Parlimen BN yang hadir dalam menyatakan penafian terhadap dakwaan yang dibuat tersebut di Parlimen, hari ini. - Foto TRP/Azrol Ali
KUALA LUMPUR, 18 Ogos:
Dakwaan 20 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) terlibat dalam usaha mengulingkan kerajaan adalah rekaan pihak tertentu yang cuba mengaitkannya dengan pendedahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.

Pengerusi BNBBC, Tan Sri Shahrir Samad berkata apa yang didedahkan oleh Ahmad Zahid tidak mempunyai sebarang kaitan dengan 20 Ahli Parlimen berkenaan.

Menurutnya, Timbalan Perdana Menteri tidak menyebut sebarang nama pihak yang dikatakan mempunyai plot untuk menggulingkan kerajaan dan ada pihak yang mereka cerita serta menyebarnya di dalam blog dan media sosial.

“Ia adalah satu dakyah yang mempergunakan kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang kononnya 20 Ahli Parlimen berkenaan berkomplot menjatuhkan kerajaan.

“Kami ingin tegaskan apa yang tersebar meluas di Facebook dan blog itu langsung tidak benar dan tidak mempunyai asas,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bersama-sama 34 Ahli Parlimen BN yang hadir dalam menyatakan penafian terhadap dakwaan yang dibuat tersebut.

Turut hadir, Setiausaha BNBBC, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dan beberapa Ahli Parlimen yang dikaitkan dengan plot tersebut iaitu Datuk Othman Abdul (Pendang), Normala Abdul Samad (Pasir Gudang), Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong) dan Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir (Kulim Bandar Baharu).

Tambah Shahrir, beliau meluahkan rasa kecewanya terhadap dakwaan pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu berkenaan.

Jelasnya, dakwaan tersebut perlu dipandang serius dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu mengambil tindakan tegas ke atas penyebar fitnah tersebut.

“Siasatan perlulah diambil kerana sekiranya dibiarkan ia boleh mendatangkan keburukan disebabkan melibatkan Ahli Parlimen kita sendiri,” ujarnya.

Justeru itu, 20 Ahli Parlimen BN yang dikatakan terlibat dalam komplot berkenaan sentiasa menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi BN.

Katanya, beliau akan berjumpa dengan Ahmad Zahid minggu hadapan bagi membincangkan mengenai kenyatannya dalam Mesyuarat Umno Bahagian Ampang Sabtu lalu.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/08/18/dakwaan-20-mp-bn-guling-kerajaan-cerita-rekaan/#ixzz3jARuJ2Me

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-