9 OGOS 2015
Sebaik sahaja berita kewujudan nilai wang yang begitu besar dalam akaun peribadi Najib didedahkan untuk kali pertamanya oleh media luar negara pada awal Julai 2015, beliau sepatutnya memaklumkan kepada dunia hakikat yang sebenarnya sekiranya betul wang tersebut merupakan derma.
Beliau sewajarnya bersikap jujur dan terbuka dengan rakyat beliau. Walaupun wang tersebut adalah derma secara terus ke dalam akaun bank peribadi namun derma ini melibatkan individu yang merupakan Perdana Menteri dalam sebuah negara berdaulat dan merdeka.
Fakta ini sendiri secara langsung membangkitkan pelbagai persoalan kritikal tentang isu-isu moral.
Pertamanya, adakah Najib memaklumkan kepada orang lain tentang derma ini? Sudahkah beliau memberitahu isteri dan keluarga beliau, rakan-rakan dalam jemaah Kabinet, ataupun dalam kepimpinan Umno-BN tentang hal penerimaan sejumlah wang yang besar dari Timur Tengah?
Adakah Bank Negara mengetahui transaksi ini? Adakah Kementerian Kewangan sedar tentang perkara tersebut? Adakah maklumat tersebut dirujuk dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri dan apakah cukai dikenakan ke atas si penerima?
Keduanya, memandangkan Perdana Menteri telah menyatakan wang tersebut tidak digunakan untuk 'kepentingan peribadi', siapakah gerangan yang mendapat faedah dari wang tersebut?
Adakah ia digunakan untuk Pilihanraya Umum 2013 berdasarkan fakta wang tersebut telah dipindahkan ke dalam akaun peribadi beliau beberapa minggu sebelum pilihanraya?
Atau adakah ia digunakan untuk tujuan kebajikan ataupun atas tujuan kemanusiaan? Atau kemungkinan adakah kenalan rapat Najib – seperti dalam tuduhan oleh sesetengah kelompok- menggunakan pemberian hadiah ini bagi memenuhi kepentingan-kepentingan peribadi mereka?
Ketiganya, satu pertanyaan yang sangat mustahak untuk dikemukakan, mengapakah penderma – seorang warga asing - memberi ‘derma’ tersebut? Adakah ia menandakan persahabatan akrab antara penderma dengan Najib?
Ataupun adakah terdapat motif-motif lain di belakangnya yang berkait dengan hubungan dua hala antara dua buah negara, atau dasar luar negara mahupun perihal ekonomi negara?
Perdana Menteri sewajarnya memperjelaskan semua perkara ini dalam kenyataan rasmi kepada semua rakyat beliau. Rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui hal yang sebenar.
Ini kerana ia melibatkan sejumlah wang dari luar negara yang dimasukkan secara langsung ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri mereka.
Kenyataan rasmi ini akan memudahkan kedua-dua pihak iaitu Perdana Menteri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bilamana SPRM menyoal Perdana Menteri nanti tentang kewujudan sejumlah wang dalam akaun peribadi beliau.
Dalam hal ini, SPRM sepatutnya meneruskan penyiasatan terhadap kemasukan RM2.6 billion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri di samping menyiasat tentang sejumlah RM4 billion yang melibatkan bekas syarikat 1MDB, SRC International.
Sehubungan dengan ini, SPRM perlu dipuji dan disokong oleh seluruh rakyat Malaysia yang menghargai nilai integriti dan kejujuran dalam kehidupan awam tentang kesungguhan SPRM untuk mencuba sebaik mungkin menjalankan tanggungjawab dalam situasi sukar
sebegini.
Inilah semua yang dikatakan tentang amanah atau menunaikan tanggungjawab. Ia merupakan suatu yang memalukan kerana setakat ini seramai tujuh individu dari SPRM telah ditahan oleh pihak polis dan diambil kenyataan mereka.
Selain dari itu pejabat SPRM juga telah diserbu dan digeledah dan dokumen penting pula telah dirampas.
Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed pula sedang mengambil cuti.
Pemangku Ketua Suruhanjaya, Datuk Mustafar Ali memaklumkan bahawa penyiasatan oleh pihak polis membabitkan kakitangan SPRM berhubung dengan tuduhan berlaku pendedahan dokumen sulit telah memberi kesan kepada siasatan ke atas SRC International.
Pihak polis seharusnya menyedari bahawa bukannya pihak yang mendedahkan perbuatan yang salah yang menjadi ancaman kepada keselamatan negara akan tetapi mereka yang terbabit melakukan kesalahan tersebut dan kemudiannya bertindak habis-habisan untuk
menghalang sebarang usaha bagi mendedahkan kebenaran sekaligus menghalang penghakiman terhadap pembuat kesalahan tersebut yang menjadi ancaman sebenar kepada keselamatan negara.
Dr Chandra ialah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia dan Presiden International Movement for a Just World (JUST)
* Ini adalah pendapat peribadi penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.