Saturday, August 22, 2015

Pas: Cadangan Dr M separuh masak

SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

SHAH ALAM – Cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar pembangkang mencari formula menurunkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi mengekalkan kerajaan BN adalah cadangan separuh masak.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana isu utama yang menimbulkan polemik negara bukan hanya berpunca dari Najib, tetapi budaya dan sistem pentadbiran negara yang korup diwarisi daripada Dr Mahathir sendiri.

“Pas melihat cadangan Dr Mahathir sekadar cubaan menggunakan pembangkang untuk menukar Najib demi menyelamatkan parti kesayangan beliau, Umno, yang sudah tidak berupaya memperbetulkan diri kerana masalah politik wang.

“Cadangan Dr Mahathir bukan penyelesaian kepada masalah negara kerana bebanan hasil daripada salah urus tadbir negara akan terus terikat di bahu rakyat. Isu GST yang membebankan rakyat, hutang 1MDB serta isu RM2.6 bilion ‘sumbangan’ dalam akaun perdana menteri, gejala rasuah yang kini dikenali sebagai derma dan kedudukan daya saing negara dalam ekonomi global dan serantau akan terus menjadi isu utama di bawah budaya BN,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, adalah sesuatu yang pelik apabila Dr Mahathir cuba menurunkan Najib tetap masih belum keluar dari Umno.

Katanya, negara ini hanya dapat diselamatkan dengan membuat rombakan menyeluruh terhadap sistem yang sudah korup dan menukar parti yang menerajui negara.

“Soal perubahan menyeluruh mesti berpijak kepada kekuatan satu pasukan pembangkang yang mantap dan kesedaran seluruh ahli politik yang ada,” katanya.

Sehubungan itu, menurut beliau, Pas akan menganjurkan Kongres Rakyat pada 12 September ini 2015 sebagai medan terbuka bagi merumus pelan tindakan dalam menangani perubahan menyeluruh ini.

“Kepimpinan politik khasnya dan semua NGO perlu duduk semeja, ketepikan sentimen taksub kepartian dalam merangka perubahan menyeluruh ini bagi mencari formula baru,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-