Thursday, August 27, 2015

Promosi Malaysia berbaloi dikunjungi - Najib

Pengalaman perbelanjaan yang berbaloi dirasai pelancong asing di Malaysia berbanding destinasi lain kerana kadar tukaran mata wang - Najib Razak. Foto TRP/Siti Syahirah

KUALALUMPUR, 27 Ogos:

Pengalaman berbelanja secara berbaloi di Malaysia adalah antara `mata jualan’ yang perlu dihebahkan oleh mereka yang terbabit dalam industri pelancongan, termasuk Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), untuk melonjakkan kedatangan pelancong, kata Perdana Menteri hari ini.

Datuk Seri Najib Razak berkata, adalah penting untuk pihak berkepentingan percaya bahawa kedua-dua asas ekonomi dan perindustrian Malaysia kukuh serta menjadi kunci kekuatan terhadap asas yang diperlukan untuk dipasarkan dan ditunjukkan kepada pasaran yang berpotensi dan sedia ada.

“Malaysia yang dikenali kerana budaya dan layanan yang baik, kekayaan warisan budaya, kepelbagaian budaya dan sudah tentu sekarang adalah lebih daripada biasa, pengalaman perbelanjaan yang berbaloi dirasai pelancong asing di Malaysia berbanding destinasi lain kerana kadar tukaran mata wang.

“Semua ini adalah mata jualan besar yang perlu diperkukuhkan dan dihebahkan ke seluruh saluran bagi mempertingkatkan kadar pelancongan,” katanya dalam ucapan pada majlis Matta Sejam Bersama Perdana Menteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Najib berkata Matta turut memainkan peranan penting dalam membantu menonjolkan `kebenaran’ tentang negara ini kepada pasaran asing dan menyangkal `salah faham dan pandangan negatif’ supaya pelancong terus berkunjung ke Malaysia.

“Kami perlu untuk meneliti dan menyelesaikan isu-isu khusus yang membolehkan kita lebih berdaya saing.

“Insentif mungkin perlu dikaji semula serta isu-isu imigresen seperti visa ketibaan semasa, yuran dan visa elektronik perlu diteliti dalam usaha memudahkan pelancong terutama kategori tertentu memasuki negara ini,” kata Najib.

Terdahulu, dalam ucapannya, Presiden Matta, Hamzah Rahmat juga meluahkan keperluan untuk `menyelaraskan’ sistem visa elektronik, sebagai mengikut jejak langkah Australia.

“Ini juga akan membenarkan promosi visa kemasukan berganda dan menggalakkan pelancong untuk melawat negara berulang kali dan menjelajah dari timur sehingga ke barat Malaysia.

“Kami percaya dengan mempertingkatkan sistem visa akan menjadi kunci dalam mencapai sasaran 2020 kami untuk merekodkan jumlah 36 juta pelancong tiba,” kata Hamzah.

Sementara itu, Najib juga mengakui penurunan kadar pelancong pada suku pertama tahun ini, adalah disebabkan oleh faktor yang tidak terkawal seperti tragedy penerbangan Malaysia dan banjir pada awal tahun ini.

Faktor lain yang turut menyumbang adalah ketidakstabilan ekonomi global yang memberi kesan bukan hanya kepada Malaysia, tetapi juga negara-negara Asean lain.

“Kerajaan memandang serius perkara ini dan kami memantau secara berterusan keadaan ini serta mengambil langkah-langkah segera untuk menangani masalah tersebut.”

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/08/27/promosi-malaysia-berbaloi-dikunjungi-najib/#ixzz3k1klTw3C

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-