Thursday, September 10, 2015

Najib MENGALAH dengan akar umbi, tapi adakah Muhyiddin jadi "BISU' selepas ini

Mesyuarat MT UMNO yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama akhirnya memutuskan tiada mana-mana pemimpin dipecat atau digantung jawatannya sebagaimana spekulasi awal yang tersebar luas sejak beberapa hari lalu.

Ini bermakna Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal, Mukhriz Mahathir dan beberapa yang lain yang dihebohkan akan menerima hukuman akibat kelantangan dan sikap kritikal terhadap Perdana Menteri, Najib Razak berkaitan isu 1MDB dan derma RM2,600 juta, tidak menjadi kenyataan.

Ia juga bermakna Muhyiddin akan terus kekal sebagai Timbalan Presiden UMNO tanpa jawatan Timbalan Perdana Menteri, begitu juga dengan Shafie kekal sebagai Naib Presiden UMNO yang mendapat undi kedua tertunggi, tetapi tidak memegang sebarang jawatan dalam kabinet.

Sekiranya tidak melakukan sesuatu yang memungkinkan diambil apa-apa tindakan selepas ini, kedua-dua mereka akan terus duduk dalam barisan kepimpinan tertinggi UMNO sehinggalah PRU 14 dan pemilihan parti yang sudah dianjakkan tempohnya sehingga tahun 2018.

Secara umumnya, ketidakberanian Najib Razak mengambil apa-apa tindakan terhadap Muhyiddin dan Shafie adalah kerana bimbangkan kesan lebih buruk kepada masa depan UMNO dan juga kedudukannya sebagai Perdana Menteri yang mungkin di luar jangkaannya jika tindakan itu diambil.

Sebaik tersebar spekulasi kedua-dua pemimpin itu akan dipecat, pelbagai peringkat dalam UMNO menyatakan rasa bimbangnya jika tindakan itu benar-benar diambil kerana ia akan memberi kesan yang serius kepada perpecahan di peringkat akar umbi.

Dengan perpecahan yang bakal berlaku itu, bukan saja harapan mengekalkan kuasa UMNO dan BN di peringkat pusat dilihat akan bertambah sukar, malah ramai yang mengatakan beberapa negeri akan lebih mudah dimenangi pembangkang berikutan majoriti kemenangan tipis saja dicapai BN dalam pilihanraya lalu.

Reaksi menolak pemecatan Muhyiddin dan Shafie, selain dapat difahami melalui luahan beberapa pemimpinnya yang masih rasional, ia juga ditunjukkan di bangunan UMNO sebelum bersidangnya mesyuarat MT hari ini.

Walaupun kehadirannya tidaklah seramai ketika memberikan sokongan terhadap Anwar Ibrahim pada 1998 dahulu, tetapi kesediaan mereka membawa poster, memakai baju T khas untuk menzahirkan sokongan kepada Muhyiddin dan datang pula dari pelbagai pelusuk negeri, sudah cukup memberi mesej bahawa UMNO akan terus bergolak sekiranya berlaku sebarang pemecatan atau penggantungan.
Kehadiran ramai penyokong Muhyiddin dan Shafie di luar Bangunan UMNO juga berjaya "menggerunkan" Najib sehingga beliau dilaporkan terpaksa naik ke tingkat 39 untuk mempengerusikan mesyuarat ini dengan menggunakan lif khas melalui pintu belakang.

Akhirnya suara akar umbilah yang telah menyelamatkan kedudukan Muhyiddin dan Shafie ini lantaran kedua-duanya dilihat tidak melakukan sebarang kesalahan yang melanggar disiplin parti melalui teguran terhadap Presiden berkaitan 1MDB dan wang RM2,600 juta yang diterimanya itu.

Menyingkirkan daripada kabinet memang kuasa Najib selaku Perdana Menteri, tetapi memecat atau menggantung jawatan mereka yang menang dalam UMNO melalui undi perwakilan tidak seharusnya meremehkan suara akar umbi itu sendiri.

Dan cuba bayangkan apa keputusan MT hari ini jika tiada sebarang reaksi bantahan daripada akar umbi UMNO?

Bagaimanapun, beberapa persoalan tetap timbul melalui keputusan mesyuarat MT UMNO hari ini. Antaranya:-

- Apakah Najib lebih disokong dalam UMNO dan suara mendesaknya berundur akan berkurangan dengan keputusan ini?

- Bagaimanakah pula pendirian politik Muhyiddin dan Shafie selepas ini? Setelah dinyatakan kedua-duanya terus setia kepada parti dan akan bekerja keras untuk kemenangan UMNO dalam PRU 14 akan datang, adakah mereka juga akan taat setia kepada Najib?

- Adakah selepas ini Muhyiddin dan Shafie akan jadi "bisu" atau berhenti bercakap mengenai 1MDB dan wang RM2,600 demi menyelamatkan jawatan mereka dalam UMNO berikutan Najib turut menyatakan kedua-dua pemimpin masih perlu membuktikan kesetiaan mereka?

- Apakah Tun Mahathir Mohamad akhirnya akan jadi keseorangan dalam menegur dan mengasak pengunduran Najib daripada jawatannya?

- Mampukah Najib bertahan memimpin kerajaan sehingga PRU 14 dan apakah Muhyiddin dan Shafie akan turut mempertahankan kuasa Perdana Menteri sehingga tempoh itu?

Walaupun nampaknya Najib dapat meredakan keadaan buat sementara melalui keputusan MT hari ini, persoalan-persoalan baru tetap timbul sehinggalah pilihanraya umum dan pemilihan UMNO akan datang.-BlogSpot

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=328652:najib-mengalah-dengan-akar-umbi-tapi-adakah-muhyiddin-jadi-bisu-selepas-ini&Itemid=2#ixzz3lIErnjq7
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-