Sunday, March 6, 2016

Serpihan dipercayai MH370, DCA ke Mozambique esok

Bernama 



Anggota satu pasukan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia dijadual mengadakan perjumpaan dengan rakan sejawatan mereka dari Mozambique di negara Afrika selatan itu esok untuk berbincang mengenai penemuan satu objek yang dipercayai berasal dari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata: "Mereka akan berjumpa dengan ketua pengarah DCA Mozambique esok untuk berbincang mengenai penemuan itu dan membawa pulang serpihan berkenaan".

Pasukan tiga anggota Malaysia itu, yang terdiri daripada penyiasat dan petugas daripada DCA dan Malaysia Airlines, kini berada di Mozambique bersama-sama rakan sejawatan mereka dari Australia berikutan laporan mengenai penemuan bahagian pesawat awal minggu ini, katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu MCA Kepong bernilai RM7 juta.

Terdahulu, Liow berkata penemuan itu besar kemungkinan mempunyai kaitan dengan Boeing 777, model pesawat yang sama dengan pesawat MAS yang hilang sejak dua tahun lepas.

Beliau berkata, objek itu akan dihantar ke Australia untuk diperiksa, tetapi akan kekal di bawah penjagaan Malaysia.

Mengenai tuntutan pampasan yang difailkan waris penumpang MH370, Liow berkata setakat ini, kurang daripada 60 kes telah diselesaikan.

"Sekali lagi, saya ingin menggesa para waris supaya memfailkan tuntutan mereka sebelum 8 Mac, sebelum hak mereka untuk menuntut pampasan berakhir.

"Ini sejajar dengan Konvensyen Montreal, yang mensyaratkan waris mangsa memfailkan tuntutan pampasan dalam masa dua tahun dari tarikh berlaku kejadian," katanya.

Liow berkata, pada 8 Mac, satu kenyataan sementara akan dikeluarkan para penyiasat Malaysia, manakala Yang Dipertua Dewan Rakyat akan menyampaikan ucapan bagi memperingati ulang tahun kedua tragedi itu.

Pesawat MH370 ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal hilang pada awal pagi 8 Mac 2014 setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL.

-Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-