Saturday, April 9, 2016

Gesa tindakan tegas dibuat terhadap Tun M

HABSAH ISMAIL
9 APRIL 2016
Sebahagian sayap empat penjuru Umno Pengkalan Chepa bersidang, malam tadi.

KOTA BHARU -  Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dikenakan tindakan tegas berikutan usahanya yang masih menggerakkan Deklarasi Rakyat.

Beliau berkata, tindakan tersebut didakwa dijalankan untuk mempengaruhi rakyat supaya meneruskan kempen yang meminta masyarakat menyokong usaha menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Sepatutnya kerajaan mengambil tindakan tegas kepada Tun M kerana jawatankuasa kira-kira peringkat parlimen (PAC) sudah mengeluarkan keputusan yang Najib tidak terlibat dalam polemik 1MDB.

"Kita sebagai rakyat apatah lagi bekas pemimpin Umno yang pernah memimpin negara selama 22 tahun sepatutnya perlu menerima keputusan PAC yang diakui sebagai penyiasatan tertinggi dalam negara," katanya selepas merasmikan Majlis Berkelompok Persidangan Cawangan Empat Peringkat Umno Pengkalan Chepa, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung laporan PAC yang dibentang di parlimen hari ini jelas membuktikan bahawa Najib tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah berhubung isu 1MDB.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman, Ketua Wanita Umno Pengkalan Chepa, Zarina Eusope dan Timbalan Ketua Umno Bahagian, Ismail Omar.

Berdasarkan laporan itu, Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw dipetik sebagai berkata, Perdana Menteri tidak terbabit dalam skandal 1MDB seperti digembar-gemburkan sebelum ini.

Beliau berkata, keputusan itu tidak menguntungkan rakyat, di mana keamanan dan kestabilan negara sepatutnya dapat dipacu, namun kalau pemimpin selamanya berpolemik serta bertelingkah, ia hanya berpandukan persepsi yang tidak menguntungkan rakyat.

Sementara itu, Asyraf Wajdi yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang baru dibebaskan selepas ditahan semalaman berikutan tindakan membocorkan dokumen 1MDB berhubung dakwaan Tabung Haji gagal membayar dividen terhadap pencarum, tidak perlu mencetuskan polemik baru.

"Ahli Parlimen dipilih rakyat sepatutnya tidak menghabiskan banyak masa dengan mencetuskan fitnah yang memudaratkan rakyat dan negara.

"Saya mengalu-alukan ketegasan kerajaan untuk mengambil tindakan sewajarnya kerana dalam Islam kita perlu menjaga prinsip kemaslahatan dan menjaga kepentingan awam berbanding kepentingan individu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-