Saturday, April 2, 2016

Pas tidak lemah, yakin pertahankan Kelantan

SITI ZUBAIDAH MAT ISA
2 APRIL 2016
SHAH ALAM – Pas masih berdiri teguh dan kukuh walaupun selepas ketiadaan Tok Guru, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, malah ia langsung tidak melemahkan struktur organisasi parti itu.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, dari segi organisasi Pas tidak lemah, kerana Pas masih sama seperti era kepimpinan Tok Guru.

“Kekuatan Pas juga tidak terjejas walaupun berlaku perpecahan di mana ahli Pas keluar dan membentuk Parti Amanah Negara (Amanah), begitu juga dengan masalah dalaman yang melanda parti itu ketika ini.

“Jika dibandingkan dengan Umno, masalah mereka lebih berat. Kita masih mampu kawal masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa yang menyifatkan ketiadaan Allahyarham Nik Abdul Aziz dan masalah dalaman Pas Kelantan adalah peluang terbaik buat Umno tawan kembali negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

“Pas sentiasa bersedia jika Umno melancarkan serangan terhadap Kelantan (tawan Kelantan).

“Kita juga berkeyakinan tinggi bahawa Kelantan akan kekal di bawah pentadbiran Pas pada pilihan raya umum dan boleh membawa kemajuan di luar kerajaan Kelantan,” katanya.

Soal pembangunan negeri, Mohd Amar berkata, jaringan jalan raya termasuk kemudahan asas seperti sekolah dan universiti tidak perlu timbul, dan mengenai lebuh raya ia sedang dibangunkan Kerajaan Pusat.

“Sesiapa pun yang memerintah kerajaan negeri, Kerajaan Pusat tetap mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan tugasnya.

“Jadi Annuar harus faham bidang tugas antara kerajaan negeri dan pusat. Jangan bercakap macam JKK kampung. Soal royalti pula ia sudah disebut dalam perjanjian. Jadi Kerajaan Pusat harus menghormati apa yang termaktub dalam perjanjian,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, walaupun terdapat masalah dalaman parti, namun ia hanya melibatkan masalah teknikal tanpa membabitkan dasar parti.

“Masalah ini kecil sahaja melibatkan teknikal dalaman dan bukan dasar parti. Kita akan selesaikan masalah ini segera dengan kaedah terbaik.

“Bagaimanapun, masalah Pas berbeza dengan situasi yang melanda Umno kerana masalah mereka membabitkan dasar sama ada di peringkat nasional mahupun negeri yang membabitkan penyalahgunaan kuasa, ketirisan dan pelbagai isu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-