Wednesday, January 25, 2017

Pas tak sombong, hanya kerjasama bersyarat

MUHAYUDIN SALLEH
Nazri Ahmad
KUALA ROMPIN – Pas Pahang menyifatkan kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menzahirkan keinginannya untuk bekerjasama dengan Pas sebelum ini sebagai muslihat demi kelangsungan politik parti itu.

Ketua Penerangan Pas Pahang, Nazri Ahmad, berkata, Pas bukan sombong atau tidak mahu menyambut salam kerjasama itu tetapi dengan syarat iaitu tidak boleh mengganggu dasar perjuangan parti Islam itu.

Menurutnya, masih ingat ketika menjelang PRN Sarawak yang lalu, DAP menjadikan Pas sebagai 'punching bag' dengan menghentam parti dan hudud yang diperjuangkan hanya demi meraih undi rakyat Sarawak.

“Kini menjelang PRU14, DAP sekali lagi kononnya ingin menghulurkan salam perdamaian dengan Pas demi mendapatkan semula undi dan sokongan Melayu kepada calon-calon mereka.

“Secara tak langsung, kita dapat lihat ia (DAP) merupakan sebuah parti yang mengamalkan politik ‘matlamat menghalalkan cara’ demi survival politik mereka,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau yang juga merupakan Yang Dipertua Pas Kawasan Rompin itu turut menempelak segelintir di kalangan masyarakat Melayu yang sanggup bertegang leher, bermandi peluh mempertahankan tindakan DAP yang penuh muslihat itu.

Beliau turut menegaskan bahawa syarat yang diletakkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sangat mudah iaitu parti boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja namun dengan syarat, jangan ganggu prinsip perjuangan Pas dan menghalang usaha memartabatkan Islam.

Terdahulu, Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang menyatakan kesediaannya untuk berbaik semula dengan Pas apabila ingin berjumpa dengan presiden parti Islam itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi tujuan sama.

Beliau berkata, kerjasama itu boleh direalisasikan sekiranya Abdul Hadi sedia memberi komitmen untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi kleptokrasi dunia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-