Saturday, April 29, 2017

PAS mahu tambah kerusi sehingga 50 peratus untuk kukuhkan Melayu

ARIF ATAN
29 April 2017
Muktamar Pas
Ketika Pas memusuhi Amanah, PKR dan DAP menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), parti itu nampaknya masih menyimpan angan-angan tinggi untuk meluaskan kuasa.

Hal ini dapat dilihat pada keinginan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam taklimat tertutup bersama perwakilan parti di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut di Alor Setar malam tadi.

Menurut sumber, Pas akan berusaha menambah bilangan kerusi yang dikuasai orang Melayu sehingga 50 peratus.

"Difahamkan, sasaran itu boleh dicapai dengan memperkukuhkan pengaruh Pas di beberapa negeri.

"Usaha itu juga berupaya mengekalkan teras Melayu dan Islam dalam pentadbiran negara," dipetik dari Utusan Online.

Sumber berkenaan turut menyebut komitmen Pas untuk menghalang DAP yang dilihat sebagai ancaman terhadap Islam daripada menguasai pentadbiran negara.

Pendirian sama juga diambil terhadap Pakatan Harapan yang diketuai DAP, lapor media pro Umno-BN itu.

Untuk rekod, prestasi Pas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menjunam dengan Kedah yang dikuasainya hanya mampu bertahan sepenggal apabila dirampas oleh BN.

Bagi keseluruhan kerusi Parlimen ditandingi, Pas yang ketika itu bersama gabungan Pakatan Rakyat cuma memperoleh 29 peratus atau 21 daripada 73 kerusi.

Pencapaian Pas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) juga tidak memberangsangkan apabila hanya menang 36 peratus iaitu 85 daripada 237 kerusi ditandingi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-