Tuesday, May 23, 2017

'Saya sudah bakar jambatan dengan Umno' - Dr Mahathir

Abdar Rahman Koya and Aedi Asri
May 23, 2017

Bekas perdana menteri itu berkata, tindakan beliau keluar daripada Umno buat kali ke-3 adalah untuk selama-selamanya.
PUTRAJAYA: Dengan sejarah “keluar masuk” Umno sepanjang karier politiknya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata keluarnya beliau pada kali ini adalah untuk selama-lamanya.

Dalam wawancara bersama FMT, bekas perdana menteri itu berkata beliau sudah “membakar jambatan” dengan parti yang dipimpinnya sejak sekian lama.

“Saya sudah membakar jambatan (dengan Umno),” katanya di Yayasan Kepimpinan Perdana semalam.

“Hakikatnya tiada lagi Umno yang ditubuhkan oleh Datuk Onn Jaafar, yang dipimpin Tunku, Tun Razak dan Tun Hussein, itu Umno tulen. Sekarang ia bukan lagi Umno, tetapi alat Najib untuk pertahan diri guna duit,” katanya.

Segelintir dalam pembangkang juga ada merasakan keberadaan Dr Mahathir dalam barisan pembangkang hanyalah untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak daripada kedudukan presiden Umno sebelum menyertainya kembali.

Kebimbangan itu memandangkan Dr Mahathir pernah 2 kali keluar daripada Umno sebelum ini.

Kali pertama adalah pada 1969, apabila beliau dipecat selepas pertelagahannya dengan Tunku Abdul Rahman ekoran kritikannya terhadap pentadbiran ketika itu.

Beliau menyertai parti itu 3 tahun kemudian selepas Tun Abdul Razak mengambil alih pentadbiran negara.

Kali ke-2 pada 2008, di mana beliau sendiri mengisytiharkan keluar daripada parti Melayu itu dalam usahanya mendesak Tun Abdullah Ahmad Badawi berundur daripada jawatan perdana menteri.

Sekali lagi, beliau menyertai semula Umno setahun kemudian. “Walaupun saya di luar, hati saya tetap bersama Umno,” katanya ketika menghantar borang keahlian kepada Najib ketika itu.

Namun kali ini, hati Mahathir bersama parti yang ditubuhnya beberapa bulan yang lalu – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Ketika zaman Tunku, saya dikeluarkan. Tetapi saya tidak sertai, tidak sokong parti lain. Demikian juga bila saya keluar di zaman Pak Lah.

“Tetapi kali ini saya bukan sahaja keluar dari Umno, tetapi menentang dan tubuh parti lain untuk menjatuhkan Umno,” katanya dalam wawancara selama sejam itu.

Mahathir dan isterinya Tun Siti Hasmah Ali keluar Umno pada Mac tahun lalu bagi membantah pentadbiran Najib, khususnya berkaitan isu 1MDB dan dakwaan RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun peribadinya melalui syarikat berkaitan 1MDB.

Tidak lama selepas itu, Naib Presiden Umno ketika itu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau yakin Mahathir akan pulang ke pangkuan parti seperti sebelum ini.

Ketika ditanya berhubung perkara itu, beliau berkata perkara itu tidak akan berlaku.

“Tak boleh (kembali) dah, Umno sudah rosak…seluruh Umno sudah korup (dan bukan sahaja Najib).

“(Malah) budaya Umno itu kita tidak mahu bawa masuk ke dalam parti kita,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-