Sunday, May 7, 2017

Zahid: PRU14 peluang terbaik tebus kecewa 2008, 2013

FMT Reporters
May 7, 2017

Zahid juga yakin tsunami Melayu dan Umno yang diramalkan akan memihak parti itu dalam PRU14.
PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno berada dalam kedudukan lebih baik berbanding 2 pilihan raya umum yang lalu, sekali gus yakin Barisan Nasional (BN) akan merekodkan prestasi lebih baik kali ini.

Katanya, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah medan yang baik bagi menebus kekecewaan yang dialami pada tahun 2008 dan 2013.

“Kita berada di satu perjalanan yang tidak lagi sesukar dahulu dan pada hemat saya, inilah ketika bagi kita menebus kekecewaan dalam PRU12 dan PRU13,” kata beliau dalam wawancara khas kepada Mingguan Malaysia.

BN yang dibentuk selepas prestasi buruk PRU 1969 menghadapi prestasi mengecewakan pada tahun 2008 apabila kehilangan majoriti 2/3 di Parlimen dan hilang kuasa di 5 negeri. Kedudukannya di peringkat Parlimen tidak berubah dalam PRU13 meskipun dapat menawan semula Kedah dan mengekalkan Perak.

Zahid, yang kini menjalankan tugas-tugas sebagai timbalan presiden Umno berkata, “ini adalah satu ketika paling baik untuk kita buktikan bahawa agenda agama, bangsa dan negara mengatasi agenda peribadi.”

“Kita ketepikan perbezaan kalangan kita demi kemenangan Umno dan BN keseluruhannya. Inilah waktunya,” kata timbalan pengerusi BN dalam wawancara sempena sambutan ulang tahun ke-71 kelahiran Umno.

Mengenai tsunami Melayu dan Umno yang diramalkan berlaku ketika PRU14, Zahid berkata, beliau berharap tsunami itu berlaku dan “memihak kepada Umno.”

“Dan memihak kepada realiti kepentingan perpaduan dalam kalangan orang Melayu sendiri, atas nama agama, atas nama bangsa, demi kepentingan negara.”

Berhubung soalan sama ada tindakan PAS keluar pakatan pembangkang satu kelebihan kepada Umno dan BN dalam PRU14, Zahid berkata beliau tidak melihat semudah itu kerana “harus mengikut hakikat.”

“PAS mempunyai kekuatannya sendiri. Pakatan Harapan juga cukup yakin mereka mempunyai kekuatan walaupun hampir terlerai dan terburai kesepakatan mereka.

“Tetapi insya-Allah, Umno dan rakan-rakan dalam BN semakin memperkukuhkan asas kerana kita telah melakukan muhasabah secukupunya terhadap kelemahan dalam PRU12.

“Biarpun prestasi PRU13 memperlihatkan Umno meningkat jumlah kerusinya, tetapi kita tidak cukup selesa sebelum kita menentukan seluruh jentera di semua peringkat dipersiapkemaskan keseluruhannya,” kata Zahid.

PRU14 adalah pilihan raya umum pertama selaku sebagai timbalan perdaan menteri dan timbalan pengerusi BN.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-