
Penduduk di Besut, Terengganu tetap setia mendengar ceramah pemimpin Pakatan Harapan walaupun hujan lebat, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Ogos, 2017.
PEMBERONTAKAN secara senyap di kubu Umno di Besut mungkin akan memberi Pakatan Harapan (PH) tempat di Terengganu ketika parti dominan di negeri itu, Umno dan PAS berdepan persaingan sengit.
Aktivis akar umbi dan penduduk berkata bagaimana cara PH tawan Besut, satu kawasan yang terpencil, bersempadan dengan Kelantan itu, akan menjadi petanda untuk pencapaiannya di keseluruhan Terengganu.
Ini memandangkan Besut dan kerusi berjiran dengannya, Setiu dimenangi oleh Umno pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 walaupun kemenangan pembangkang di seluruh negara agak besar pada 2013.
Logiknya ialah jika PH boleh memenangi hati penduduk luar bandar, yang secara tradisionalnya penyokong tegar Umno atau PAS, ini bermakna ia boleh menang di mana saja sekalipun kerana ia sudah pun mendapat sokongan teguh dalam kalangan masyarakat bandar.
Sesetengah penduduk menjangkakan suasana di Besut sama seperti sebelum PRU10 pada 1999, ketika negeri itu jatuh kepada PAS.
“Ia rasa seperti 1999 sekali lagi berdasarkan kepada apa yang orang ramai beritahu saya,” kata Alias Ahmad, 69, bekas guru agama dan ahli PAS ketika ditemui di ceramah PH bertajuk “Selamatkan Malaysia”.
“Pada 1999 ia tentang reaksi mereka terhadap mata hitam (bekas timbalan perdana menteri) Anwar Ibrahim. Kali ini fasal mereka ditekan oleh GST (cukai barangan dan perkhidmatan) dan peningkatan kos sara hidup.
“Kami harap gelombang protes senyap ini akan bantu kami di Besut dan seluruh Terengganu,” katanya selepas ceramah yang menampilkan Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin gabungan pembangkang di negeri itu.
Pada PRU 2013, Umno memenangi Besut dan empat kerusi DUN di negeri itu dengan majoriti antara lebih 8,000 kepada 960 undi. Ia menangi Setiu dan empat lagi kerusi DUN dengan majoriti antara lebih 7,900 hingga 782.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.