Showing posts with label Terengganu. Show all posts
Showing posts with label Terengganu. Show all posts

Friday, March 7, 2025

‘Ini formula kami untuk masa depan rakyat Terengganu’

kosmo.com
Oleh ZULKIFLI MANZOR
7 Mac 2025, 7:20 pm
Rafizi.
PETALING JAYA – Rang Undang-Undang (RUU) Pemerangkapan, Penyimpanan dan Penggunaan Karbon (CCUS) diluluskan di Dewan Rakyat semalam membuka ruang kepada pembangunan industri CCUS di Malaysia.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, RUU itu memainkan peranan penting dalam pelbagai aspek termasuk berpotensi menarik pelaburan sehingga USD250 bilion menjelang 2050.

Menurut beliau, RUU itu menyokong agenda peralihan tenaga negara, menjadi pemacu ekonomi baharu dah akan mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan baharu.

“Lebih daripada itu, CCUS bakal menghidupkan kembali industri di Pantai Timur, khususnya di Kerteh.

“Tanpa CCUS, Kerteh bakal berdepan cabaran besar apabila sumber gas dan minyak luar pesisir Terengganu semakin menyusut.

“Ini strategi Kerajaan Madani untuk masa depan rakyat Terengganu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Dalam hantaran berasingan, Rafizi berkata, kelulusan RUU CCUS akan memberi nafas baru kepada pembangunan industri di Pantai Timur, terutama di Kerteh.

Ujar beliau, tanpa CCUS, Kerteh terpaksa berdepan dengan keadaan bila mana bekalan gas dan minyak dari luar pesisir pantai Terengganu semakin berkurang.

“Ini formula kami untuk masa depan rakyat Terengganu,” katanya. 

– KOSMO! ONLINE

Monday, October 14, 2024

SG4: Kerjasama Ekonomi Dan Pemerkasaan Dakwah Antara Empat Negeri

mediaislam.net
MI
October 14, 2024
Inisiatif kerjasama antara empat negeri di bawah gabungan State Government 4 (SG4) yang terdiri daripada Terengganu, Kelantan, Kedah, dan Perlis bukan sahaja memberi fokus kepada sektor pelaburan dan pembangunan ekonomi, malah turut memperluas peranannya dalam aspek pemerkasaan dakwah dan syariah.

Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, menegaskan bahawa hubungan erat yang terjalin antara negeri-negeri ini adalah bukti komitmen mereka untuk bukan sekadar memajukan ekonomi tetapi juga memastikan agenda dakwah dan pengukuhan syariah dijadikan keutamaan.

Beliau menyatakan, usaha dakwah tidak sepatutnya terhad kepada satu negeri sahaja, sebaliknya perlu diperkukuhkan melalui kerjasama antara negeri untuk memberi impak yang lebih meluas dan berkesan.

Dalam konteks ini, SG4 berperanan bukan sahaja sebagai platform pelaburan strategik, tetapi juga sebagai medium bagi meluaskan program dakwah dan memperkasa syariat Islam di kalangan masyarakat setempat.

“Kerjasama antara Terengganu, Kelantan, Kedah, dan Perlis akan membuka ruang lebih luas untuk memperkemas strategi dakwah dan memperkukuh pemahaman masyarakat terhadap Islam sebagai cara hidup (ad-din),” ujar beliau.

Tambahnya lagi, agenda dakwah harus diperkasakan secara kolektif bagi memastikan keberkesanannya dalam melahirkan masyarakat yang lebih memahami dan mengamalkan syariat.

SG4, yang dijenamakan sebagai model kerjasama antara negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN), turut melihat potensi untuk melibatkan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan institusi pendidikan dalam menyemarakkan program dakwah dan syariah.

Dr. Muhammad Khalil berkata bahawa agenda ini juga akan memberi tumpuan kepada generasi muda, selari dengan usaha untuk membina generasi berakhlak tinggi dan berdaya saing dalam cabaran semasa.

Dalam masa yang sama, kerjasama ini dijangka turut membuahkan hasil dalam memacu ekonomi negeri-negeri SG4 melalui pembangunan sektor-sektor strategik seperti pelancongan Islamik, pertanian moden, dan perindustrian.

Kejayaan ekonomi ini diharapkan dapat menyokong usaha dakwah dengan lebih efektif, memandangkan kestabilan ekonomi adalah antara asas penting dalam pembangunan masyarakat berlandaskan syariat.

Dengan SG4, negeri-negeri ini dilihat bukan sahaja memperkukuhkan ekonomi tetapi juga memikul tanggungjawab besar dalam mengangkat martabat Islam sebagai tunjang pemerintahan dan kehidupan.

Gabungan inisiatif dakwah dan pembangunan ekonomi ini diharap dapat menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam membangunkan masyarakat yang seimbang dari segi material dan rohani.

Kerjasama erat ini juga dilihat selari dengan semangat Islam yang menganjurkan syura dan tolong-menolong dalam kebaikan dan taqwa.

Dr. Muhammad Khalil menegaskan, usaha ini perlu disokong oleh semua pihak agar matlamat SG4 bukan sahaja tercapai, tetapi turut menjadi contoh bagi negeri-negeri lain dalam membina sebuah negara yang maju, berakhlak dan diberkati.

Wednesday, August 28, 2024

Isu 3R: Pemuda PAS Terengganu buat laporan polis esok

harakahdaily.net
August 28, 2024
Dewan Pemuda PAS Terengganu bakal membuat laporan polis pada esok, 29 Ogos 2024 berhubung isu pengguna di platform Facebook, Ryan Azzaro memuat naik gambar atlet wanita yang diselubungi kain hitam yang menunjukkan aksi acara terjun papan anjal.

KUALA NERUS: Dewan Pemuda PAS Terengganu akan membuat laporan polis pada esok, 29 Ogos (Khamis) jam 2.30 petang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu berhubung isu 3R (Raja, Agama dan Kaum)

Isu berkenaan menjadi tular apabila pengguna di platform Facebook, Ryan Azzaro memuat naik gambar atlet wanita yang diselubungi kain hitam yang menunjukkan aksi acara terjun papan anjal dan menulis kapsyen, ‘Welcome to Afganu!’

Hal ini jelas berkait rapat dengan isu baru-baru ini bahawa Persatuan Renang Amatur Terengganu (PRAT) tampil memohon maaf atas kesilapan menghantar atlet wanita beragama Islam ke kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak tanpa pengetahuan Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

Justeru, Pemuda PAS Kuala Nerus berkata, orang Islam tidak boleh membiarkan dan tidak boleh duduk diam begitu sahaja apa jua isu yang mempermainkan dan mempersendakan Islam.

“Semakin hari semakin menjadi-jadi golongan yang mempermainkan agama Islam kerana mereka merasakan mempunyai kabel yang besar untuk berselindung di sebalik akaun palsu.

“Kami berharap pihak polis membuat siasatan terperinci bersama agensi berkaitan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat dalang sebenar menghina Islam ini,””katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Justeru, beliau berharap agar pihak berkenaan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas pelaku sekiranya tidak ditangani akan mengganggu keharmonian dalam negara dan akan menjadi lebih serius jika dibiarkan berterusan.

Terdahulu, Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim menegaskan bahawa penyertaan atlet wanita Terengganu dalam acara terjun di SUKMA 2024 tidak mendapat kelulusan rasmi daripada kerajaan negeri.

Hishamuddin berkata, pada dasarnya, pihaknya tetap berpegang kepada kod etika berpakaian atlet Muslim ketika bersukan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan negeri sebelum ini.

Malangnya, penyertaan atlet wanita tersebut berlaku tanpa pengetahuan atau kebenaran beliau.

Friday, August 9, 2024

Pesta Hantu Lapar di Kemaman larang Melayu masuk

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 9, 2024 1:49 PM
Susulan dasar persembahan lebih ketat di Terengganu, penganjur Pesta Hantu Lapar di Kemaman kini mengeluarkan larangan supaya orang Islam tidak menyertainya.

Bukan sahaja menutup kawasan persembahan, mereka juga meletakkan kain rentang bahawa program itu dijalankan secara tertutup dan untuk kaum Cina sahaja.

Akbar Cina Sinchew melaporkan, difahamkan itu kali pertama larangan itu dibuat dalam cara di tanah persendirian itu.

Kebiasaannya orang awam dibenarkan meletakkan kenderaan secara percuma di situ.

Sambutan Pesta Hantu Lapar antaranya memaparkan persembahan pentas dan jamuan untuk hantu-hantu.

Ia disambut pada malam ke-15 pada bulan ketujuh dalam kalendar Cina.

Awal bulan ini kecoh berkaitan tindakan kerajaan Terengganu pimpinan PAS yang mengarahkan sebuah tokong di Terengganu menghentikan persembahan penyanyi wanita.

Langkah itu dikecam pemimpin bukan Melayu seperti DAP yang menyifatkannya sebagai diskriminasi dan penafian hak bukan Islam untuk berhibur, mengamalkan adat resam serta tradisi semasa perayaan keagamaan.

Exco kerajaan tempatan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah bagaimanapun mempertahankan tindakan itu.

Jelasnya sekatan itu dibuat kerana orang Islam yang lalu lalang dapat melihat persembahan tersebut.

Menurut Presiden Gerakan, Dominic Lau, dia mengemukakan tiga cadangan kepada Wan Sukairi semasa pertemuan pada Selasa lalu.

Katanya cadangan itu mendapat respons positif kerajaan negeri, iaitu:

1. Meletakkan papan tanda di luar tempat persembahan yang menunjukkan bahawa persembahan tersebut hanya untuk penonton bukan Muslim.

2. Meminta bantuan Rela atau meletakkan kakitangan untuk menjaga ketenteraman tempat persembahan dan menolak kemasukan orang Islam.

3. Menyediakan pita amaran di sekitar kawasan persembahan.
Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

Wednesday, September 20, 2023

Sekat peruntukan: ‘Nak dera rakyat ke nak dera parti’

harakahdaily.com
September 20, 2023
Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu kesal cadangan pihak tertentu dikatakan mahu menyekat peruntukan kewangan secara terus kepada negeri-negeri yang ditadbir pembangkang.

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pandangan sedemikian seolah memandang ke belakang dan bukannya bergerak ke hadapan.

“Mereka nak dera rakyat ke, nak dera parti yang menang dalam pilihan raya,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi keberangkatan tiba Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke majlis perasmian Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini, hari ini.

Menurut beliau kalah menang dalam pilihan raya adalah suatu perkara yang biasa.

“Takkanlah kekalahan itu menyebabkan kecewa, putus asa, macam tak ada harapan langsung kehidupan ini, tidak boleh begitu.

“Yang penting kita kena pastikan rakyat yang ada dalam negeri atau negara tidak terjejas. Jadi usul yang nak dibawa dalam parti mereka itu tentulah memberi kesan kepada rakyat,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum lepas PN mengekal kuasa di tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan menawan Perlis.

Bagaimanapun empat negeri terbabit berdepan dengan pelbagai sekatan termasuk royalti petroleum kepada Terengganu dan Kelantan.

 – HARAKAHDAILY 20/9/2023

Saturday, August 12, 2023

PN pertahan Terengganu 33

agendaily.com
12/08/2023

Perikatan Nasional (PN) dan PAS mempertahankan Negeri Terengganu pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Melalui keputusan tidak rasmi yang disiarkan, gabungan itu mengumumkan kemenangan di Terengganu dengan menyapu bersih kesemua 33 kerusi DUN.

Kemenangan itu membolehkan PN membentuk kerajaan negeri selepas menang semua kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengumuman itu dibuat pemimpin Penerangan PAS Terengganu, Naraza Muda di Facebook, sebentar tadi.

Antara kerusi DUN yang telah dimenangi PAS kali ini kerusi Jabi dengan majoriti 4,678 undi, Tepuh (10,890), Buluh Gading (10,858) dan Bukit Tunggal (10,961).

DUN-DUN lain Bukit Payung (10,961), Telemong (295), Manir (11,260), Kuala Berang (5,917), Ajil (6,286), Rantau Abang( 12,922), Kemasik (6,505) dan Cukai (8,106).

Menteri Besar Terengganu sementara, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar juga berjaya mempertahankan DUN Rhu Rendang dengan majoriti 17,286 undi apabila memperoleh 20,927 undi menewaskan Suhaimi Sulaiman dari Pakatan Harapan (Amanah) yang mendapat 3,641 undi.

Sementara itu di DUN Kijal calon BN, Datuk Seri Ahmad Said tumbang di tangan calon PAS-PN, Datuk Razali Idris aoabila hanya mendapat 9,552 undi sementara Razali mendapat 13,172 undi.

Saturday, July 29, 2023

PRN: Ahmad Zahid yakin dua negeri ‘swing back’ kepada BN-PH

kosmo online
Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
29 Julai 2023, 3:35 pm
Ahmad Zahid (tengah) merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya, Parti-Parti Komponen Kerajaan Perpaduan di Bangunan UMNO, Kota Bharu hari ini. -Foto MUSTAQIM MOHAMED

KOTA BHARU – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin pengundi di dua daripada tiga negeri yang sebelum ini diperintah Pas akan membuat pusingan atau ‘swing back’ dengan mengundi calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurutnya, Pas dan BN sebelum ini pernah memerintah di Terengganu dan beliau meluahman keyakinan BN bersama PH akan merampas semula pimpinan negeri tersebut.

“Keadaan sama berlaku di Kedah. Insya-Allah, dua negeri ini akan ‘swing back’. Cuma, Kelantan sahaja bukan negeri yang ‘swing’ kerana ia sebuah negeri yang sangat taksub kepada parti politik.

“Jangan beri harapan kepada pengundi dan menjanjikan syurga. Yang memberi janji itu pun bukan tentu masuk syurga. Jadi, aspek duniawi dan ukhrawi perlu diambil kira,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya, Parti-Parti Komponen Kerajaan Perpaduan di Bangunan UMNO di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, sehubungan itu, kerajaan yang memerintah Kelantan sebelum ini diharap tidak memberikan janji dan harapan kepada pengundi dia negeri ini.

Menurutnya, paling penting adalah pembangunan perlu dibawa ke Kelantan selepas ini.

 – KOSMO! ONLINE

Tuesday, June 13, 2023

Peluang kita menang di Terengganu, Kedah ada, kata Mat Hasan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jun 13, 2023 11:06 AM
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan yakin BN mampu membuat kejutan dan menawan semula Kedah dan Terengganu menjelang pilihan raya negeri (PRN).

Bagaimanapun, timbalan pengerusi BN itu memberi peringatan, ini hanya akan dicapai jika semua ahlinya bersatu hati dan tidak mengamalkan budaya 'cah keting'.

"Kita mahu pastikan supaya BN dapat bertapak semula dan juga kalau boleh macam negeri swing state macam di Terengganu dan Kedah itu peluang untuk menang ada.

"Bukan saya kata kita boleh rampas tetapi peluang untuk menang ada dengan syarat kita kerja kuat, kita tidak bertelingkah antara satu sama lain (dan) dengan syarat kita masuk pilihan raya ini guna strategi yang betul, tepat (dan) pilihlah calon yang boleh memenangkan kita," katanya yang dipetik oleh Berita Harian Online di Kuala Nerus, malam semalam.

Mohamad yang juga menteri pertahanan, berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis makan malam anjuran badan perhubungan Umno Terengganu.

Menurutnya, pertelingkahan sesama ahli tidak seharusnya berlaku kerana ia bukan sahaja melemahkan parti tetapi menyebabkan pengundi terutama pengundi atas pagar beralih ke parti lawan.

"Itu sebabkan banyak tempat pilihan raya (sebelum ini) negeri-negeri kita kalah bukannya parti lawan kuat tapi kita bertelingkah sesama sendiri, keluar saja nama calon, tutup bilik gerakan, keluar poster, keluar 'banner'

"Macam mana nak menang kalau macam itu (situasi itu) sudah melemahkan semangat orang (pada sama sama) orang atas pagar tengok apa punya parti macam ini, jadi patut-patut dia undi kita langsung dia takundi kita.
"Jadi itu yang saya katakan tadi elakkan pertelingkahan, elakkan perbalahan (dan) satu hati untuk kita mengharungi pilihan raya negeri ini, kalau nak menang buat cara nak menang," katanya sambil menambah bahawa peluang BN untuk kembali bertapak di Kedah dan Terengganu adalah juga cerah sekiranya mereka menampilkan calon yang tepat.

Dalam pada itu, Mohamad juga dilaporkan yakin mampu mengekalkan kemenangan di tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang kini dikuasai kerajaan perpaduan.

Enam negeri yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang kini di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), mana kala Kedah, Kelantan dan Terengganu di bawah Perikatan Nasional (PN).

Friday, March 10, 2023

PAS yakin tawan 10 kerusi Umno, sapu bersih 32 DUN Terengganu

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters - 10 Mar 2023

Pesuruhjaya PAS Terengganu Husain Awang berkata keyakinan berdasarkan perkembangan semasa di negeri itu.
Pada PRU14 PAS berjaya membentuk kerajaan Terengganu selepas menang 22 daripada 32 kerusi DUN. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: PAS yakin dapat menawan 10 kerusi milik Umno sekali gus menyapu bersih 32 DUN Terengganu pada PRN akan datang.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Husain Awang, berkata keyakinan itu berdasarkan perkembangan semasa berlaku di negeri tersebut.

Katanya, PAS berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 22 kerusi DUN dalam PRU14, dan akan berusaha mengekalkan kedudukan itu pada PRN nanti.

“Kita sudah ada 22 kerusi dan sedang berusaha tawan 10 lagi kerusi berbaki,” katanya menurut Sinar Harian.

Pada PRU14, Umno tumbang di Terengganu apabila hanya menang 10 kerusi DUN iaitu Hulu Besut, Jertih, Kuala Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemong, Bukit Besi dan Kijal.

Mengenai agihan kerusi antara parti dalam PN, Husain berkata, perkara itu belum diputuskan dan masih dalam proses rundingan di peringkat tertinggi.

“Rundingan agihan kerusi dibuat di peringkat tertinggi, ia akan diputuskan oleh pusat,” katanya.

Enam negeri perlu mengadakan PRN tahun ini adalah Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Selangor.

Friday, October 21, 2022

Razali tak bertanding bukan kerana takut kalah

malaysiakini.com
Shakira Buang
Diterbitkan: Oct 21, 2022
PRU15 | Pengerusi Bersatu Terengganu, Razali Idris, menyatakan dia yakin mampu menang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang jika bertanding.

Namun, katanya, dia memilih untuk tidak menyertai PRU pada 19 Nov ini kerana mahu menumpukan perhatian kepada tugasannya selaku ahli Dewan Negara.

Pada masa sama, kata Razali, dia juga tidak mahu dicalonkan Perikatan Nasional (PN) Terengganu berdasarkan semangat setia kawan dengan PAS.

"Mana kalah... tak kalah, insya-Allah dan saya (tak tanding) bukan takut kalah sebaliknya beri laluan untuk PAS tanding di kerusi (yang akan ditentukan PN)," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu Razali dihubungi untuk mendapatkan reaksi mengenai keputusannya tidak bertanding sebagai calon PN dalam PRU ke-15 bulan depan.

Ekoran pengumuman dibuat Razali baru-baru ini, timbul spekulasi yang menganggap keengganan tersebut didorong oleh kebimbangan dia sekali gagal mendapat kemenangan.

Dalam PRU ke-14, Razali diletakkan sebagai calon Bersatu-Pakatan Harapan (PH) di kerusi parlimen Hulu Terengganu. Bagaimanapun dia tertinggal jauh daripada pemenang, Rosol Wahid, dari Umno-BN yang memperoleh 30,926 undi.

Juga tidak merajuk

Tempat kedua pula dikuasai calon PAS, Muhyidin Abdul Rashid, yang mendapat 28,057 undi. Razali hanya memperoleh 3,364 undi.

Secara keseluruhan ada lapan kerusi parlimen di Terengganu dengan enam daripadanya dimenangi PAS. Selain Hulu Terengganu, Umno-BN juga memenangi Besut melalui Idris Jusoh.

Selepas PH membentuk kerajaan melalui mandat pada PRU ke-14, Rosol meninggalkan Umno untuk menjadi ahli parlimen bebas sebelum akhirnya menyertai Bersatu.

Bersatu kemudian meninggalkan PH sehingga membawa jatuhnya gabungan tersebut daripada menjadi kerajaan.

Kata Razali, sebagai senator dia mempunyai tugas yang perlu dilaksanakan sehingga penggalnya tamat pada 2024.

Keputusan enggan dicalonkan itu, menurutnya, sudah dimaklumkan kepada Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Mengulas lanjut, dia yang juga anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata memang tiada kerusi parlimen yang dilihat sesuai diperuntukkan kepadanya.

Jika ada sekali pun, katanya, ia adalah kawasan yang dimenangi oleh PAS pada 2018.

"Saya tak merajuk pun. Saya kekal sebagai senator sehingga habis penggal.

"Lagi pun saya tak ada kerusi dan kebetulan tempat saya itu (kerusi untuk) PAS. Jadi, kita tak boleh ganggulah dan sebab itu saya pilih untuk tidak bertanding dan kita bagi laluan kepada (penyandang) kerusi yang dah menang sekarang," katanya.

Wednesday, September 28, 2022

UMNO Terengganu berkempen untuk calon sendiri, bukan PAS

agendaily.com
28/09/2022
UMNO Terengganu.

Jentera UMNO Terengganu hanya akan berkempen untuk memberi kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN) dan bukan PAS, kata Datuk Nawi Mohamad.

Ketua Bahagian Besut itu berkata UMNO Terengganu kekal dengan pendirian menolak kerjasama bersama PAS bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dan tidak akan berkempen untuk memenangkan calon PAS.

“Di Terengganu, pendirian kita setakat ini tidak berubah. Kita masih dengan ketetapan yang diputuskan sebelum ini di mana UMNO Terengganu memutuskan untuk bertanding secara solo. Tiada kerjasama dengan PAS.

“Tiada istilah Muafakat Nasional (MN) di Terengganu. Sebelum ini, kita ada MN tetapi selepas PAS berbaik dengan Parti Bersatu, MN di Terengganu telah lama ‘terkubur’,” katanya dipetik portal.

Kenyataan tersebut agak berbeza dengan pendirian beberapa pemimpin PAS yang masih mahu menyambung kerjasama dengan UMNO menerusi persefahaman dalaman MN.

Jelas Nawi, pendirian tidak akan membantu kempen PAS itu diputuskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan dipersetujui sebulat suara oleh barisan kepimpinan parti negeri itu.

“Bila berkempen pada PRU nanti kita akan kempen untuk BN sahaja. Tiada lagi kerjasama dalam politik bersama PAS.

“Walaupun begitu, ia bergantung kepada keputusan di peringkat pusat. Kita akan akur sekiranya ada perubahan yang diputuskan dan dipersetujui pucuk pimpinan tertinggi UMNO,” katanya lagi.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan berkata, PAS kekal dengan pendirian menjalinkan hubungan dengan UMNO sebagai rakan ta’awun sekali gus tidak bersetuju dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan BN sebagai musuh dalam PRU-15.

Katanya, PAS tetap menegaskan bahawa musuh sebenar agenda penyatuan ummah adalah Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya termasuk ‘khemah besar’.

Sunday, December 12, 2021

PRU15: UMNO Terengganu sedia gerak solo tanpa PAS

ismaweb.net

Terpulang pada PAS buat keputusan status Muafakat Nasional


KUALA TERENGGANU, 7 Jamadilawal 1443H, Ahad – UMNO Terengganu menyatakan pendirian akan bergerak secara bersendirian tanpa kerjasama dengan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ini sekali gus memberi bayangan parti itu berkemungkinan menolak gabungan Muafakat Nasional (MN) yang dibina sebelum ini.

Ketua Pemudanya, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, seluruh jentera parti yakin mampu meneruskan perjuangan walaupun solo dan kini sedang bersiap siapa menghadapinya.

“Buat masa ini terpulang kepada pimpinan PAS untuk membuat keputusan berhubung status MN.

“Kami dalam pimpinan UMNO hanya membuat keputusan untuk tidak bersama BERSATU pada PRU15, isu untuk tidak bersama UMNO dalam MN adalah hak PAS,” katanya.

Tambah Tengku Haphiz, kepimpinan UMNO negeri sedang melaksanakan tugas bagi menguatkan parti dengan menggunakan logo dan bendera Barisan Nasional (BN) seperti diamanahkan pucuk pimpinan parti.

“Kami juga sudah mengemukakan senarai cadangan calon dari kalangan Pemuda kepada pimpinan tertinggi parti.

“Seluruh jentera parti terutama Pemuda UMNO sudah bersiap siaga untuk menghadapi PRU walaupun bakal bertanding secara solo,” katanya.

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Pulai di Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berjanji akan membawa usul menerusi mesyuarat pada 18 Disember ini bagi memutuskan hubungan dengan PAS sekali gus membubarkan MN.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Wednesday, November 24, 2021

PRU15: Umno yakin rampas Terengganu daripada PAS

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-November 24, 2021 6:30 PM

Kesediaan Umno Terengganu untuk merampas pentadbiran negeri itu daripada pimpinan PAS juga seiring pendirian parti berkenaan yang ingin bertanding solo pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15). (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Umno Terengganu yakin dapat menawan kembali negeri itu sekali gus merampas tampuk pimpinan daripada kerajaan PAS.

Timbalan Ketua Umno negeri, Din Adam, berkata keyakinan itu berpandukan kepada keinginan dilontar dan disuarakan rakyat Terengganu.

Katanya, kesediaan Umno Terengganu untuk merampas pentadbiran negeri itu daripada pimpinan PAS juga seiring pendirian parti berkenaan yang ingin bertanding solo pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, Umno melihat desakan dan keluhan rakyat bawahan dan mereka bersedia untuk menyokong Barisan Nasional (BN) kembali mentadbir Terengganu.

“Jadi kita sebagai jentera pimpinan parti di peringkat negeri memang bersedia untuk menyahut kehendak yang telah dilontar dan disuarakan oleh masyarakat bawah,” katanya menurut laporan Astro Awani.

Bagaimanapun, Din berkata, Umno menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk menilai dan memilih pemimpin yang mampu mentadbir dan membela nasib mereka.

Pada masa sama, Umno optimis untuk merebut kembali kerusi yang pernah dimenangi parti itu bagi membentuk kerajaan yang stabil.

Terengganu mempunyai 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 22 daripadanya dimenangi PAS manakala Umno menang 10 kerusi.

Di peringkat Parlimen, PAS menang enam daripada lapan kerusi, dua milik Umno namun kerusi Hulu Terengganu beralih kepada Bersatu apabila penyandangnya Rosol Wahid keluar parti pada Dis 2018.

Friday, July 16, 2021

Umno dengan Pas di Terengganu putus terus – Ahmad Said

inforakyat.net
16/07/2021 12:15 PM

Umno dengan Pas di Terengganu putus terus .UMNO Terengganu menegaskan tidak wujud kerjasama antara kepimpinan Pas dan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) di negeri itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said berkata meskipun dua pemimpin UMNO pusat telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan Luar Negeri namun itu tidak mengubah pendirian pimpinan UMNO Terengganu.

Katanya pendirian UMNO Terengganu tetap teguh dan tidak berganjak apatah lagi kerajaan negeri Terengganu juga tidak berlaku adil kepada wakil rakyat Barisan Nasional (BN).
Antara yang disentuh Ahmad berhubung pengagihan peruntukan RM10 juta daripada kerajaan pusat bagi menangani pandemik COVID-19 tidak diberikan sama rata kepada wakil rakyat.

“Muafakat Nasional di Terengganu tiada. Macam mana mahu berpakat? Peruntukan 10 juta yang diterima tidak dibahagi sama rata, macam mana nak berpakat?” katanya.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata pihaknya telah memberikan ruang dan peluang kepada parti Pas sebelum ini untuk menjurus ke arah itu.

“Keputusan di Terengganu telah muktamad, tidak ada Muafakat Nasional.

“Kita sudah memberi ruang setahun lebih untuk berpakat,” jelasnya lagi.

Luahan Ahmad itu bukanlah pertama kali kerana sebelum ini, ADUN Kijal itu dilihat lantang dalam mengkritik kepimpinan Pas.

Malah, beliau telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan UMNO akan bertanding di semua kerusi Parlimen dan DUN pada PRU15.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/tiada-kerjasama-antara-umno-dan-pas-di-terengganu-ahmad-said-308690

Monday, January 4, 2021

Umno Terengganu ulang pendirian tak bersama PAS dalam PRU15

malaysiakini.com
Diterbitkan Hari ini 8:18 am

Ahmad Said
Umno Terengganu sekali lagi menyuarakan pendirian untuk tidak akan bekerjasama dengan PAS dalam PRU15.

Menurut laporan Sinar Harian semalam, pengerusinya Ahmad Said juga akan merampas semula kerusi yang dimenangi Umno pada PRU lalu yang kini dipegang Bersatu, pada PRU akan datang.

Berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Kemaman pada Sabtu, dia berkata Umno akan bertanding di kesemua lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN di Terengganu.

"Umno juga akan merampas semula kerusi Parlimen Hulu Terengganu daripada Bersatu pada PRU15 kerana kerusi itu sebelum ini merupakan kerusi tradisi milik Umno.

"Kita mahu ambil semula kerusi yang telah 'lompat' dan siapa yang mahu bertanding di situ perlu lawan dengan kita," katanya seperti dipetik.

Turut hadir di majlis itu adalah Ahli Majlis Tertinggi Umno Ahmad Shabery Cheek, yang merupakan bekas anggota Parlimen Kemaman.

Sinar Harian turut melaporkan lapan bahagian Umno Terengganu telah meluluskan usul menolak kerjasama dengan Umno.

Usul itu akan diserahkan kepada Jawatankuasa Usul Umno dalam masa terdekat, kata Badan Penerangan Umno Terengganu.

Terdahulu hari ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa 143 dari 191 bahagian Umno (74.8 peratus) mengusulkan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pimpinan Muhyiddin pada PRU15.

Sementara itu, pemimpin parti dari Melaka, Perak, Kelantan, dan Pahang, menyatakan hasrat untuk merebut kembali kerusi yang dipegang anggota Parlimen yang telah berpaling tadah kepada Bersatu.

Pergeseran antara Umno dan PAS di Terengganu timbul susulan dakwaan yang Adun Umno tidak menerima peruntukan Covid-19 daripada pentadbiran PAS.

Ketika itu, Ahmad juga berkata kerajaan negeri tidak membahagikan peruntukan RM10 juta yang diberi kerajaan Pusat secara sama rata kepada Adun PAS dan Umno.

Bagaimanapun, dua hari kemudian, Ahmad berkata isu itu selesai selepas pertemuan dibuat dengan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Bagaimanapun, pada Julai lalu, Ahmad berkata Umno akan meletakkan calon di semua kerusi - iaitu lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN - pada PRU15.

Ia selepas PAS mengatakan akan bertanding di enam kerusi Parlimen dan mempertahankan 22 kerusi DUN yang dimenanginya pada PRU14.

Dalam ucapannya semalam, Ahmad sekali lagi membangkitkan isu pengagihan peruntukan daripada kerajaan Pusat.

“Saya bandingkan cara agihan yang diberikan kerajaan Pahang dan Perlis yang diterajui BN. Mereka mengagihkan sama rata sama ada wakil rakyat UMNO, Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan sebagainya kerana ia melibatkan hak rakyat.

“Tapi sini wakil rakyat UMNO hanya dapat peruntukan RM45,000 berbanding wakil rakyat Pas sebanyak RM350,000 dan RM305,000 kepada Pejabat Penyelaras DUN yang dikendalikan Pas," katanya seperti dipetik.

Tuesday, July 28, 2020

Umno sedia tanding semua kerusi Parlimen dan Negeri di Terengganu

        July 28, 2020


Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, Umno sedia bertanding kesemu kerusi di Terengganu iaitu lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri di negeri itu.

“Kalau Pas boleh kata mereka mahu tanding enam kerusi Parlimen, maka saya boleh kata kita sedia tanding lapan kerusi Parlimen,” kata bekas Menteri Besar Terengganu itu.

Ahmad yang juga Adun Kijal itu mengulas keputusan Pas Terengganu yang mahu bertanding kesemua kerusi enam kerusi yang dimenangi parti itu dalam pilihan raya lalu.

Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Pas akan bertanding kesemua kerusi Parlimen yang dimenangi parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Bagi Ahmad, kenyataan Samsuri itu adalah kenyataan pribadi beliau yang berupa hasrat dan target Adun Rhu Rendang itu walaupun belum ada rundingan dengan rakan-rakan mereka dalam Muafakat Nasional.

“Kalau dia boleh kata nak tanding enam, saya kata kita akan tanding 8 kerusi parlimen,” kata Ahmad mengulas kenyataan Samsury itu.

Dalam pilihan raya umum lalu, Pas menang enam kerusi kerusi Parlimen dan 22 Kerusi Negeri di Terengganu.

Umno pula memenangi dua kerusi Parlimen iaitu Besut dan Hulu Terengganu.

Namun, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosul Wahid telah meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu.

Sebelum ini, Ahmad mempertikaikan tindakan kerajaan negeri Pas tidak memberikan peruntukan untuk Covid-19 kepada Adun Umno di negeri itu walaupun sumbernya dari Kerajaan Pusat.

Kata Ahmad ketika wakil rakyat Pas di negeri itu menerima dana sebanyak RM350,000 seorang, Adun Umno pula diberikan hanya sebanyak RM45,000.

Bagi pegawai penyelaras DUN Pas – yang ditugaskan di kawasan Pas kalah – mereka menerima dana sebanyak RM305,000.

“Baru-baru ini kerajaan pusat menyalurkan peruntukan RM10 juta bantuan Covid-19 untuk rakyat melalui akaun kerajaan negeri.

“Sebanyak RM300,000 disalurkan kepada setiap DUN, tetapi bagi Adun Umno-BN cuma RM45,000 sahaja diagihkan melalui kami, bakinya disalurkan kepada penyelaras DUN Pas.

“Perkara sebegini tidak berlaku di negeri Perikatan Nasional (PN) yang lain seperti Perlis dan Pahang,” katanya.

Ekoran itu, Samsuri telah berkunjung menemui Ahmad dan mendakwa isu ini telah selesai.

Monday, July 1, 2019

UMNO dan Pas Terengganu makin akrab, mesra

Posted by admin


KUALA TERENGGANU – Kesepakatan, keakraban serta kemesraan yang dipayungi semangat penyatuan ummah antara UMNO dan Pas di negeri ini kian menyerlah.

Kemesraan yang terjalin dan bukan dibuat-buat itu jelas terpancar di wajah para pemimpin kedua-dua parti Melayu itu sesudah sekian lama dinanti dan hari ini ukhuwah akhirnya menjadi realiti.

Malah hubungan berpaksikan semangat kekeluargaan memberi suatu gambaran positif ke arah pembentukan kerjasama padu dalam menentukan hala tuju politik antara kedua-dua belah pihak bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Suasana kemesraan itu dirakam pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Pas Negeri Terengganu di sini kelmarin yang turut dihadiri barisan kepemimpinan UMNO negeri.

Antara yang hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Kehadiran beliau disambut mesra oleh kepemimpinan Pas Terengganu antaranya, Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Husain Awang; Speaker Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed.

Sehari selepas itu, para pemimpin Pas pula kelihatan bertandang ke majlis Hari Raya Aidilditri dengan UMNO Bahagian Kuala Terengganu pula menjadi tuan rumah yang berlangsung di pekarangan kediaman Wan Hisham di sini.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan beliau terkenal dengan celotehnya sehingga membuatkan para hadirin tidak kering gusi.

Turut kelihatan, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Din Adam; barisan kepemimpinan UMNO negeri dan bahagian Kuala Terengganu termasuk Ketua Pemuda UMNO Kuala Terengganu, Armi Irzan Mohd. selain para pemimpin Pas negeri.

Antara kepemimpinan Pas negeri yang hadir ialah ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi; Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim; Ahmad Shah serta Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman, UPDI, Mohd. Shoud Said.

Lebih manis, keakraban dan kemesraan sesama mereka begitu terserlah ketika para pemimpin antara dua parti berkenaan saling suap menyuap kek sambil ketawa mesra. 

UTUSAN ONLINE

Wednesday, May 9, 2018

Azhar Idrus yakin T'ganu tukar kerajaan negeri

Shakira Buang
Diterbitkan 9 Mei 2018, 2:31 petang


PRU14 | Penceramah terkenal, Azhar Idrus menyatakan keyakinannya bahawa akan berlaku perubahan pada pentadbiran kerajaan negeri Terengganu sebaik sahaja keputusan penuh pilihan raya umum (PRU) ke-14 diumumkan malam nanti.

“Saya rasa akan berlaku perubahan (pada PRU kali ini), insya-Allah dan perubahan itu sememangnya kita harapkan,” katanya ketika ditemui Malaysiakini.

Penceramah bertaraf selebriti yang popular dengan pendekatan jenaka dalam kuliah agamanya itu juga berkata PRU kali ini dilihat lebih teratur.

“Dan saya tengok keadaan keselamatan di sini yang terbaik kalau nak banding tahun-tahun lepas. Alhamdulillah, terbaik tahun ini,” katanya.

Azhar turut menyeru pengundi khususnya golongan muda untuk keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawab kepada negara.

“Bagi yang belum mengundi tu ingat petang ini (pusat pengundian) tutup jam 5 petang, jadi jam 4 petang paling akhir keluar rumah untuk tunaikan tanggungjawab.

“Raya ini lima tahun sekali, insya-Allah kita buat yang terbaik,” tambahnya.

Minggu lalu, Azhar membuat kemunculan dalam siri kempen PAS di Kuala Terengganu dan secara terbuka menyatakan sokongan terhadap parti Islam itu.

Baca: PAS pilihan terbaik untuk umat Islam

Terdahulu kehadiran penceramah terkenal itu di Sekolah Kebangsaan Ladang Gemilang 1 mencuri tumpuan ramai khususnya pengundi muda.

Azhar yang juga merupakan pengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang hadir ke sekolah terbabit bagi menunaikan tanggungjawabnya kepada negara.

Selain menjalankan tanggungjawab, kehadiran Azhar juga dikatakan dapat memberi semangat kepada orang ramai untuk mengundi.

Di kesempatan itu juga orang ramai yang hadir dilihat turut bergambar bersama beliau.

Saturday, August 26, 2017

Protes senyap melanda kubu Umno di Terengganu

Sheridan Mahavera
Penduduk di Besut, Terengganu tetap setia mendengar ceramah pemimpin Pakatan Harapan walaupun hujan lebat, malam tadi.Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Ogos, 2017.

PEMBERONTAKAN secara senyap di kubu Umno di Besut mungkin akan memberi Pakatan Harapan (PH) tempat di Terengganu ketika parti dominan di negeri itu, Umno dan PAS berdepan persaingan sengit.

Aktivis akar umbi dan penduduk berkata bagaimana cara PH tawan Besut, satu kawasan yang terpencil, bersempadan dengan Kelantan itu, akan menjadi petanda untuk pencapaiannya di keseluruhan Terengganu.

Ini memandangkan Besut dan kerusi berjiran dengannya, Setiu dimenangi oleh Umno pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 walaupun kemenangan pembangkang di seluruh negara agak besar pada 2013.

Logiknya ialah jika PH boleh memenangi hati penduduk luar bandar, yang secara tradisionalnya penyokong tegar Umno atau PAS, ini bermakna ia boleh menang di mana saja sekalipun kerana ia sudah pun mendapat sokongan teguh dalam kalangan masyarakat bandar.

Sesetengah penduduk menjangkakan suasana di Besut sama seperti sebelum PRU10 pada 1999, ketika negeri itu jatuh kepada PAS.

“Ia rasa seperti 1999 sekali lagi berdasarkan kepada apa yang orang ramai beritahu saya,” kata Alias Ahmad, 69, bekas guru agama dan ahli PAS ketika ditemui di ceramah PH bertajuk “Selamatkan Malaysia”.

“Pada 1999 ia tentang reaksi mereka terhadap mata hitam (bekas timbalan perdana menteri) Anwar Ibrahim. Kali ini fasal mereka ditekan oleh GST (cukai barangan dan perkhidmatan) dan peningkatan kos sara hidup.

“Kami harap gelombang protes senyap ini akan bantu kami di Besut dan seluruh Terengganu,” katanya selepas ceramah yang menampilkan Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin gabungan pembangkang di negeri itu.

Pada PRU 2013, Umno memenangi Besut dan empat kerusi DUN di negeri itu dengan majoriti antara lebih 8,000 kepada 960 undi. Ia menangi Setiu dan empat lagi kerusi DUN dengan majoriti antara lebih 7,900 hingga 782.

Monday, May 15, 2017

PAS optimis sapu bersih DUN & parlimen Terengganu

15 MEI: Di ibaratkan misi untuk menawan kembali Terengganu, kepimpinan PAS negeri itu mengumumkan untuk bertanding kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Husain Awang berkata parti itu ‘optimis’ memenangi lebih banyak kerusi berbanding jumlah semasa yang disandangnya ketika ini berikutan kemantapan barisan kepimpinan PAS negeri yang baharu selepas rombakan dilakukan baru-baru ini.

“Kita akan bertanding semua kerusi Parlimen dan DUN negeri. Kita bersedia menghadapi apa jua keadaan dan suasana termasuk pertandingan tiga penjuru,” katanya, Isnin.

Pada ketika ini, PAS Terengganu hanya mempunyai tiga kerusi parlimen dan 15 kerusi DUN.

Tindakan itu dilihat mengikut jejak langkah PAS Wilayah Persekutuan yang membuat keputusan bakal bertanding di sembilan kerusi daripada 13 kerusi parlimen yang ditawarkan.

Terdahulu, Husain mengumumkan ahli jawatankuasa baharu Badan Perhubungan PAS Terengganu Sesi 2017-2019 dengan ADUN Paka, Satiful Bahri Mamat yang sebelum ini Pesurujaya negeri kini menyandang jawatan Timbalan Pesuruhjaya I manakala ADUN Bukit Tunggal, Dr Alias Razak dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya II.

Mengulas mengenai rombakan beberapa barisan kepimpinan PAS negeri oleh kepimpinan pusat baru-baru ini, Husain menafikan tindakan itu berpunca daripada pergolakan dalaman parti.

“Sebaliknya, ahli jawatankuasa Badan Perhubungan PAS negeri yang baharu akan menguatkan lagi saf kepimpinan di samping meneruskan legasi peimpin terdahulu.

Sementara itu, ditanya sama ada PAS Terengganu sudah menyenaraikan calon bagi semua kerusi yang bakal ditandingi pada PRU akan datang, beliau berkata perkara tersebut belum diputuskan.

Husain bagaimanapun juga tidak menolak kemungkinan bertanding pada pilihanraya umum.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-