Monday, October 2, 2017

Selangor gagal bantu selesaikan masalah Melayu

Muhammad Muhamad Taib - Foto Sinar Harian oleh: ROSLI TALIB
SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhamad Taib hari ini mendedahkan kegagalan kerajaan Selangor pimpinan PKR membela dan memperjuangkan orang Melayu antara faktor beliau kembali ke pangkuan Umno.

Katanya beliau menyertai PKR selepas dipelawa oleh Ketua Umum parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu menyelesaikan masalah peneroka Felda Sungai Buaya di Hulu Selangor yang mendakwa tanah mereka diambil kerajaan negeri untuk dibangunkan.

“Saya telah mempengerusikan mesyuarat bagi menyelesaikan isu itu berbelas kali termasuk membawa masalah kepada pihak Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

“Jadi apa gunanya saya diminta oleh Anwar untuk menyelesaikan isu tersebut,” katanya pada sidang media khas bagi menjelaskan tindakannya kembali ke pangkuan Umno di kediamannya di Seksyen 7 di sini.

Menurut bekas Naib Presiden Umno itu kekecewaan dengan kegagalan kerajaan negeri Selangor membela nasib Melayu menyebabkan beliau rasa terpanggil untuk kembali memperjuangkan nasib sekaumnya menerusi Umno.

Muhammad yang menegaskan beliau tidak mengharapkan sebarang jawatan dalam Umno, turut menasihati orang Melayu, khususnya di Selangor, agar tidak mengikut emosi semasa memilih kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.

“Melayu kena fikir guna otak bukan emosi, jangan benarkan emosi kita tentukan siapa patut memerintah sebab ia akan membawa mudarat. Kalau Melayu nak selamat, Melayu mesti memilih parti yang terbukti boleh menjaga orang Melayu iaitu Umno,” katanya.

“Harta pusaka orang Melayu ialah politik dan kuasa politik mesti berada dalam tangan orang Melayu… perkara itu tidak boleh bertolak ansur sebab kita masih belum hebat dalam bidang lain termasuk ekonomi.

“Pada masa sama, kaum-kaum lain seperti Cina dan India mesti disokong dan didukung. Saya kira orang bukan Melayu pun seronok wadah politik dipegang Melayu kerana apabila negara ditadbir dengan baik, Cina boleh berniaga dengan baik dan orang India juga boleh jalankan profesion masing-masing termasuk dalam bidang kedoktoran yang mana mereka ini lebih hebat dalam bidang itu,” katanya.

Dalam satu sidang media pada 17 September lepas, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Muhammad kembali ke pangkuan parti itu.

Muhammad sebelum ini bertindak keluar Umno dan menyertai Pas pada April 2013 sebelum menyertai PKR pada September 2015.

 – Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-