Showing posts with label Kerajaan Selangor. Show all posts
Showing posts with label Kerajaan Selangor. Show all posts

Monday, October 2, 2017

Selangor gagal bantu selesaikan masalah Melayu

Muhammad Muhamad Taib - Foto Sinar Harian oleh: ROSLI TALIB
SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhamad Taib hari ini mendedahkan kegagalan kerajaan Selangor pimpinan PKR membela dan memperjuangkan orang Melayu antara faktor beliau kembali ke pangkuan Umno.

Katanya beliau menyertai PKR selepas dipelawa oleh Ketua Umum parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu menyelesaikan masalah peneroka Felda Sungai Buaya di Hulu Selangor yang mendakwa tanah mereka diambil kerajaan negeri untuk dibangunkan.

“Saya telah mempengerusikan mesyuarat bagi menyelesaikan isu itu berbelas kali termasuk membawa masalah kepada pihak Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

“Jadi apa gunanya saya diminta oleh Anwar untuk menyelesaikan isu tersebut,” katanya pada sidang media khas bagi menjelaskan tindakannya kembali ke pangkuan Umno di kediamannya di Seksyen 7 di sini.

Menurut bekas Naib Presiden Umno itu kekecewaan dengan kegagalan kerajaan negeri Selangor membela nasib Melayu menyebabkan beliau rasa terpanggil untuk kembali memperjuangkan nasib sekaumnya menerusi Umno.

Muhammad yang menegaskan beliau tidak mengharapkan sebarang jawatan dalam Umno, turut menasihati orang Melayu, khususnya di Selangor, agar tidak mengikut emosi semasa memilih kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.

“Melayu kena fikir guna otak bukan emosi, jangan benarkan emosi kita tentukan siapa patut memerintah sebab ia akan membawa mudarat. Kalau Melayu nak selamat, Melayu mesti memilih parti yang terbukti boleh menjaga orang Melayu iaitu Umno,” katanya.

“Harta pusaka orang Melayu ialah politik dan kuasa politik mesti berada dalam tangan orang Melayu… perkara itu tidak boleh bertolak ansur sebab kita masih belum hebat dalam bidang lain termasuk ekonomi.

“Pada masa sama, kaum-kaum lain seperti Cina dan India mesti disokong dan didukung. Saya kira orang bukan Melayu pun seronok wadah politik dipegang Melayu kerana apabila negara ditadbir dengan baik, Cina boleh berniaga dengan baik dan orang India juga boleh jalankan profesion masing-masing termasuk dalam bidang kedoktoran yang mana mereka ini lebih hebat dalam bidang itu,” katanya.

Dalam satu sidang media pada 17 September lepas, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Muhammad kembali ke pangkuan parti itu.

Muhammad sebelum ini bertindak keluar Umno dan menyertai Pas pada April 2013 sebelum menyertai PKR pada September 2015.

 – Bernama

Sunday, May 21, 2017

Tunggu kena pecat, baru Pas nyatakan pendirian

MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR
21 MEI 2017
SABAK BERNAM - Pas hanya akan menyatakan pendirian berhubung kedudukan 13 Adun Pas di negeri ini sekiranya tiga exco dari parti itu dipecat dalam pentadbiran kerajaan Selangor.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, dakwaan sebuah laporan akhbar berbahasa Inggeris kononnya semua Adun Pas di negeri ini bersedia keluar daripada pentadbiran negeri pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah satu dakwaan tidak berasas.

"Itu tak benar. Nak tahu benar, selepas dipecat, barulah kita akan beritahu sesuatu yang benar," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Selangor Agrofest 2017 di Stadium Sungai Besar, di sini, petang tadi.

Sallehen yang juga Adun Sabak berkata, setakat ini, Pas tidak pernah berbincang berhubung tindakan yang akan diambil parti itu sekiranya tiga exco parti itu dipecat dalam pentadbiran kerajaan Selangor.

"Kita tak bincang sampai ke peringkat exco dipecat. Kalau exco Pas dipecat, saya tidak dapat jawab apa-apa setakat ini," katanya.

Beliau menegaskan, Pas tidak akan bekerjasama dengan PKR seperti mana yang diputuskan Majlis Syura Ulama parti itu yang membuat keputusan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

"Untuk setakat ini, Pas tak akan bincang dengan PKR soal calon bagi hadapi PRU-14.

"Kalau dulu, orang Pas boleh panjat pokok kelapa pasang bendera PKR, sekarang PKR dan Pas kena panjat sendiri," katanya.

Ditanya, adakah Pas akan berubah fikiran dengan menjalin semula kerjasama dengan PKR di saat-saat akhir bagi menghadapi PRU-14, Sallehen berkata, beliau tidak mahu menjangkakan apa yang akan berlaku pada masa depan.

"Mungkin ada perubahan-perubahan baru dan ada keadaan jauh lebih baik.

"Saya pun tak nak menjangkakan apa yang ada ini kekal. Buat setakat ini, begitulah keputusan yang kita buat," katanya.

Sementara itu, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, beliau akur apa jua keputusan pimpinan Pas.

"Saya tak nak berbincang soal kemungkinan. Selagi masih berada dalam exco, saya akan tetap berkhidmat untuk rakyat," katanya.

Ditanya tentang hubungannya dengan pentadbiran kerajaan negeri, Zaidy menjelaskan, hubungan itu berjalan baik dan tiada masalah.

"Kita kena bezakan antara parti dan kerajaan. Kalau tengok program hari ini pun, ramai pemimpin PKR yang hadir termasuk DAP yang diwakili Adun Sekinchan, Ng Suee Lim," katanya.

Friday, May 5, 2017

Hadi bayangkan peralihan kuasa Kerajaan Selangor

 Spekulasi bahawa Kerajaan Selangor pimpinan Datuk Seri Azmin Ali akan bertukar tangan seolah-olah bakal menjadi realiti selepas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ‘tidak menolak kemungkinan’ berlaku peralihan kuasa pemerintahan di negeri itu.

Ahli Parlimen Marang itu memberi ‘bayangan’ susulan Majlis Syura Ulama PAS dijangka membuat keputusan memutuskan tahalul siyasi dengan PKR dalam masa terdekat.
“Biasalah, kemungkinan boleh berlaku,” katanya di Pulau Kapas, Khamis.

Semalam, wujud penyebaran mesej di media sosial bahawa enam ADUN termasuk daripada empat daripada PKR mengadap Sultan Selangor, dipercayai sebagai tanda tidak menyokong Menteri Besar, Azmin Ali.

Kumpulan ADUN itu didakwa akan keluar parti dan seterusnya membentuk kerajaan negeri baharu bersama Barisan Nasional dan PAS.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan oleh kepimpinan PKR serta ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail melalui Twitter miliknya kelmarin.

Sementara itu, Hadi berkata, semua pemimpin PAS di Selangor akan patuh kepada arahan kepemimpinan tertinggi jika keputusan putus hubungan dengan PKR dimuktamadkan.

“Kepatuhan kepada arahan adalah penting. Apa-apa pun tindakan, kita akan lihat perkembangan selanjutnya,” ujarnya.

Ditanya kemungkinan pilihan raya di negeri itu, diadakan lebih awal, Hadi berkata, perkara itu terpulang kepada budi bicara Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selain berpandukan kepada perlembagaan negeri berkenaan.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-