Sunday, October 1, 2017

'Siapa mahu lawan BN patut bersama Harapan'

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 OKTOBER 2017
Wan Azizah (dua, kanan) bersama Azan (kiri) melancarkan bilik gerakan utama pilihan raya PKR Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU - Mana-mana parti politik yang mahu menjatuhkan kerajaan BN untuk masa depan negara lebih baik bersama dengan Pakatan Harapan dalam mencapai kemenangan dalam PRU14.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, parti itu bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti asalkan objektif Harapan untuk menumbangkan BN dan membentuk kerajaan baharu dapat difahami.

“Objektif kita jelas iaitu untuk tumbangkan BN. Siapa yang ada motif sama patut bersama kita,” katanya selepas merasmikan Bilik Gerakan Utama Pilihan raya PKR Terengganu di Lorong Salak, Chabang Tiga, semalam.

Hadir sama Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail dan barisan kepimpinan PKR lain.

Wan Azizah mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan tindakan PKR dan DAP menyingkirkan parti Islam itu bukan sebagai satu kerugian, sebaliknya kedua-dua parti tersebut disifatkan telah menyingkirkan diri sendiri.

Mengulas lanjut, Wan Azizah memberitahu, bukan Harapan yang menyingkirkan Pas daripada gabungan pembangkang tetapi parti itu sendiri yang bertindak memutuskan tahalul siyasi antara PKR dan DAP.

Malah katanya, Pas boleh menyatakan apa saja termasuk kekuatan yang dimiliki oleh parti itu, namun akhirnya rakyat sendiri akan membuat pilihan parti mana berhak untuk menjadi kerajaan.

Wan Azizah turut menjelaskan bahawa analisa yang diperoleh menyatakan, Pas mencapai kemenangan pada PRU13 disebabkan kerjasama parti tersebut dalam Pakatan Rakyat.

Terengganu merupakan negeri pantai timur pertama dikunjungi Wan Azizah untuk melancarkan bilik gerakan pilihan raya sebagai persiapan parti itu menghadapi PRU14 yang dijangka diadakan pada bila-bila masa saja.

Sehingga akhir tahun ini, PKR dijangka melancarkan keseluruhan bilik gerakan pilihan raya parti itu di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-