Thursday, December 21, 2017

RCI Forex ditubuh hanya cari alasan salahkan pemimpin parti lawan

Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) yang ditubuhkan kerajaan hanya semata-mata untuk mencari alasan menyalahkan pemimpin parti lawan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tulisan di blognya semalam beliau berkata, pendedahan bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Abdul Murad Khalid berhubung kerugian forex Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM31.5bilion hanya didedahkan selepas 30 tahun.

“Kononnya Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pada masa itu tahu dan sedar berkenaan dengan penipuan ini tetapi mereka tidak mendedahkan perbuatan ini, bermakna mereka bersubahat.

” Apakah bukti mereka tahu dan bersubahat tidak dijelaskan. Yang tentu tahu dan bersubahat menyembunyi jumlah kehilangan sebenar ialah orang yang, selepas 30 tahun, membuat dakwaan bahawa jumlah kehilangan sebenar bukan 11 billion Ringgit tetapi 30 billion.

“Sudah tentu Abdul Murad sebagai pegawai bank negara benar-benar sudah lama tahu dan sedar akan jumlah kehilangan dan penipuan yang dibuat. Sudah tentu ia boleh dedah awal-awal lagi penyelewengan ini dan pegawai- pegawai dan auditor yang terlibat. Tetapi ia tidak dedah.

“Jika Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dikatakan bersama menyembunyi angka 30 billion, Abdul Murad lebih terlibat dengan menyembunyi kebenaran. Tetapi Abdul Murad tidak dianggap bersalah kerana menyembunyi penipuan itu begitu lama,” ujarnya.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia ini berkata, tindakan Abdul Murad itu sebenarnya untuk mendedah “breach of faith” apabila jelas pendedahan olehnya akan memberi Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak peluang bertindak terhadap musuh politiknya walaupun perkara ini tidak lagi disoal bertahun-tahun, walaupun oleh parti-parti pembangkang,katanya.

Dengan tidak menghormati maksud undang-undang, Najib dengan kuasanya merebut peluang memulakan proses supaya akhirnya Perdana Menteri masa itu dan Timbalannya dapat disalahkan.

RCI ini memakan masa yang panjang. Ramailah saksi dipanggil dan kenyataan-kenyataan panjang mereka diperdengarkan. Selain dari saksi disoal dan menjawab, memorandum yang panjang dengan butir-butir terperinci oleh saksi diserah kepada RCI. Peguam-peguam saksi turut hadir sepanjang RCI bersidang. Mereka juga turut memberi penjelasan dan membuat soalan.

Menurut Mahathir RCI berhak membuat laporan tersendiri. Tetapi laporan yang diserah kepada Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong, walaupun tebal tetapi jelas menunjuk bahawa butir-butir yang ditulis oleh RCI hampir tidak mengandungi fakta-fakta yang relevan yang diperdengarkan oleh saksi atau memorandum mereka.

“Walaupun penjelasan oleh saksi dicatit verbatim atau terperinci, tetapi RCI tidak sedikit pun menghirau penjelasan oleh saksi.

“Apa yang jelas ialah seluruh laporan RCI menumpu kepada penentuan penglibatan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ketua pasukan bahagian dagangan wang Bank Negara.

“Semuanya berasas kepada sangkaan. Sangkaan ini dianggap sebagai fakta benar untuk polis bertindak.

“RCI bukanlah badan kehakiman. Tetapi laporannya lebih merupakan hukuman terhadap pihak yang dibicara,” ujarnya.

Sebagai rekod pada Selasa Dr Mahathir memfailkan saman pemula untuk mengisytiharkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap kerugian forex Bank Negara sebagai tidak sah.
Turut dinamakan ialah kesemua lima anggota panel RCI iaitu: Mohd Sidek Hassan, Kamaludin Md Said, Tajuddin Atan, Saw Choo Boon dan Pushpanathan SG Kanagarayar. Setiausaha RCI Yusof Ismail juga dinamakan sebagai defendan.

Saman pemula tersebut antara lainnya menyebut, RCI berkaitan Laporan Forex berkenaan “tidak sah, tidak lengkap dan cacat”.

Saman yang difailkan peguamnya, Haniff Khatri Abdulla itu membangkitkan mengenai bahan dan lampiran didakwa tidak dimasukkan ke dalam laporan berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-