
Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi, berkata beliau menyerahkan soal siapa yang akan menjadi calon di kawasan Parlimen itu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.
“Saya difahamkan mereka ada mekanisma tersendiri dalam memilih calon. Namun, saya akan terus menjalankan amanah dan kerja sebagai ahli parlimen sehingga habis penggal,” katanya dipetik BH Online.
Sebelum ini Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, mengumumkan kesediaan beliau memberi laluan ‘permaidani merah’ kepada Shahrizat untuk bertanding di Parlimen Sungai Besar pada pilihan raya akan datang.
Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) 2016, Budiman memperoleh 16,800 undi dengan undi majoriti sebanyak 9,191, mengalahkan dua calon lawan iaitu Parti Amanah Negara (PAN), Azhar Abdul Shukur (7,609) dan calon PAS, Dr. Abdul Rani Osman (6,902).
PRK Sungai Besar itu dijalankan pada 18 Jun berikutan kekosongan kerusi selepas penyandangnya Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon maut dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei tahun sama.
Budiman sebelum ini juga diumum mencatatkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tertinggi dalam kalangan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Selangor berikutan kerja keras ditunjukkan dalam usaha merampas semula negeri ini daripada pembangkang.
Pengerusi Perhubungan BN Selangor, Tan Sri Noh Omar, semalam turut menyatakan pihaknya menyerahkan sepenuhnya soal calon yang bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 kepada kepemimpinan tertinggi parti.
Beliau juga tidak mengetahui siapa calon yang bakal diketengahkan bagi menghadapi PRU-14, meskipun terdapat UMNO Bahagian yang menamakan calon tertentu.
Namun, beliau dilaporkan berkata, UMNO Bahagian hanya boleh mencadangkan nama sahaja, manakala keputusan muktamad terletak sepenuhnya pada kepemimpinan tertinggi parti.
– MYNEWSHUB.CC/Agenda Daily
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.