Monday, February 5, 2018

Pas yakin tawan Permatang Pauh

MUHAMMAD AMINURALIF MOHD ZOKI
5 FEBRUARI 2018

Hadi (tiga, kiri) ketika menerima borang keahlian Pas dalam program Amanat Presiden , Pas Tawan Permatang Pauh di Kubang Semang semalam.

PERMATANG PAUH -
Pas memberi isyarat jelas bahawa parti itu berupaya menawan Parlimen Permatang Pauh pada PRU14 nanti.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kehadiran ribuan orang pada majlis Amanat Presiden Pas yang dianjurkan di kawasan tersebut membuktikan ia suatu perkara yang serius.

"Ini ternyata Pas mendapat lampu hijau dari anak tempatan Permatang Pauh sendiri yang seolah-olah ingin mengubah selera dan melakukan perubahan pada PRU14 ini," katanya.

Menurutnya, kewujudan parti Islam itu di Seberang Perai secara umumnya dan di Permatang Pauh khususnya bukanlah suatu perkara yang baharu.

"Permatang Pauh sangat bersejarah kepada Pas. Saya nak isytihar Pas nak bertanding di Permatang Pauh.

"Pas dah ambil (Parlimen Permatang Pauh) pada 1979, kali ini Pas nak ambil balik.

"Kepada pengundi-pengundi di sini, berusahalah memenangkan Pas, Insya-ALLAH," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Pas Kawasan Permatang Pauh, Omar Hassan berkata, beliau yakin rakyat Permatang Pauh akan memberi mandat kepada Pas pada PRU14 nanti.

"Kita akan bertanding di tiga dun dan satu parlimen dalam Permatang Pauh. Pada masa sama, kita akan pastikan sokongan gerak kerja kita berjalan lancar.

"Insya-ALLAH, saya yakin kemenangan akan berpihak kepada kita. Saya menyeru semua sama-sama beri sokongan untuk buat perubahan dalam pilihan raya akan datang," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-