JOHOR BAHRU: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi percaya, seorang bekas pemimpin yang sudah berusia dipanjangkan umurnya supaya dapat melihat sendiri segala kesilapan yang pernah dilakukannya sebelum ini.
Timbalan Perdana Menteri juga yakin umur yang panjang diberikan Allah itu untuk memberi peluang dan kesempatan kepada bekas pemimpin itu agar bertaubat sebelum dipanggil ‘pulang’.
“Masih ada pemimpin yang belum berehat walaupun sudah berusia lebih sembilan dekad, kita melihat dengan jelas Allah buat keputusan memanjangkan umur seseorang...ini tiada kaitan dengan yang hidup atau sudah mati.
“Ini untuk beri ruang melihat sendiri segala kebobrokan dan kesalahan yang pernah dilakukan. Keduanya untuk memberi peluang kepadanya bertaubat. Harap peluang yang kedua ini mungkin sedang dilihat individu berkenaan dan harap cukup-cukuplah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Kunci Pangsapuri Penempatan Semula Desa Jaya di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md. Jais Sarday dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.
- UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.