4 MAC 2018
PASIR MAS - Pas tidak melayan tomahan dan fitnah yang dilemparkan pihak tertentu berhubung dakwaan rakaman audio suara didakwa milik Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menerima sumbangan Umno.
Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, daripada memikirkan perkara itu lebih baik Pas memberikan tumpuan kepada agenda membela rakyat serta persiapan menjelang PRU14.
"Kepentingan memperjuangkan hal-hal berkaitan dengan rakyat lebih penting daripada soal itu.
"Lagipun, rakaman itu hanya melibatkan suara sahaja, tidak mempunyai gambar dan kurang jelas percakapannya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ceramah Bangkit Pertahan Kelantan di Kampung Jias di sini malam tadi.
Ceramah itu turut disertai oleh Adun Pengkalan Pasir, Datuk Hanifa Ahmad dan Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari.
Menurutnya, beliau mencabar pihak berkenaan mengemukakan bukti selepas tuan punya badan menafikan dakwaan tersebut beberapa hari lalu.
Katanya, dalam Islam orang yang membuat tuduhan itu perlu mengemukakan bukti bahawa suara tersebut adalah milik Nik Abduh.
"Bukannya, orang yang kena tuduh (Nik Abduh) mengemukakan bukti," katanya.
Sinar Harian 2 Mac lalu melaporkan Nik Mohammad Abduh menyangkal percakapan beliau dalam satu audio mengenai pengakuannya bahawa Pas pernah menerima sumbangan Umno.
Sebelum ini tular di media sosial rakaman audio berdurasi lebih dua minit itu kononnya adalah untuk merungkai jawapan kepada persoalan yang diajukan Zaharuddin Mohammad iaitu menantu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ini berikutan tindak tanduk Nik Abduh yang akhir-akhir ini dilihat lebih mesra kepada Umno.
Rakaman itu turut memperlihatkan Zaharuddin mempersoalkan sama ada kepimpinan parti itu pernah menerima apa-apa bayaran dari Umno, selain jawapan balas Nik Abduh.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.