Monday, March 26, 2018

RUU Antiberita Tidak Benar tetapkan denda maksimum RM500,000

26 MAC:   Denda maksimum akan dikenakan sebanyak RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan membuat atau menyebarkan berita tidak benar.

Perkara itu dicadang dalam Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 dimana ia bukan sahaja terpakai kepada rakyat Malaysia, malah warga asing jika didapati menyentuh mengenai Malaysia atau rakyat negara ini.

Ia adalah hukuman yang dicadangkan mengikut fasal 4(1) dalam RUU itu yang dijangka dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

RUU itu memperuntukkan mana-mana individu yang mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedar, mengelilingkan atau menyebarkan berita atau penerbitan yang mengandungi berita tidak benar, boleh disabit bersalah.

Individu yang melakukan kesalahan sama selepas disabit kesalahan pula, boleh didenda tidak lebih RM3,000 bagi setiap hari selama mana kesalahan itu berterusan.

Fasal 2 RUU itu pula mentakrifkan berita tidak benar sebagai berita, maklumat, data dan laporan palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau bentuk lain.

Selain itu, pihak yang menyediakan bantuan kewangan dalam penyebaran berita tidak benar boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun, manakala pihak yang memiliki berita tidak benar namun tidak menghapuskannya, boleh didenda sehingga RM100,000.

RUU itu turut merangkumi kesalahan sama yang dilakukan pertubuhan perbadanan, dengan pihak seperti pengarah, ketua pegawai eksekutif, pengurus atau seumpamanya, boleh dihadapkan ke mahkamah.

Kerajaan mengambil pendekatan yang sama dengan negara lain apabila merasakan yang ia adalah ancaman global yang besar kepada dunia maklumat (Information World) yang perlu ditangani segera secara efektif.

Antaranya Filipina telah menggubal suatu RUU khas untuk menangani penyebaran berita tidak benar, iaitu Anti-Fake News Bill 2017 yang memperuntukkan kesalahan bagi mana-mana orang yang menawarkan, menerbitkan, mengedar atau menyebarkan berita tidak benar.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-