Sunday, March 25, 2018

PAS rayu rakyat beri satu penggal tadbir Malaysia

Adam Abu Bakar

Sallehen Mukhyi berkata, PAS akan menurunkan calon muda dan bertenaga pada PRU14, bukannya calon berusia 93 tahun dan ke atas.

SHAH ALAM:  PAS menggesa rakyat memberi peluang kepada PAS untuk mentadbir negara selama 1 penggal untuk melihat perubahan yang boleh dilakukan parti itu.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi berkata rakyat sudah mengetahui corak dan kesan daripada pentadbiran di bawah Datuk Seri Najib Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita minta masyarakat beri peluang sekali sahaja kepada PAS untuk memberikan khidmat selama 1 penggal paling kurang, perhatikan apa yang kita akan buat.

“Pakatan Harapan (PH) menampilkan bekas perdana menteri yang akan jadi perdana menteri semula, sama juga dengan perdana menteri dari Barisan Nasional (BN).

“Kedua-duanya, tuan-tuan dan puan-puan sudah ada pengalaman, yang belum ada pengalaman hanyalah perdana menteri dari PAS,” katanya pada Dialog Perpaduan Nasional PAS Selangor, hari ini.

Dr Mahathir yang pernah menerajui negara selama 22 tahun, dipilih sebagai perdana menteri jika PH memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14). Najib pula sudah menjadi perdana menteri selama 9 tahun.

Sallehen berkata, sekiranya PAS gagal mentadbir negara dengan baik dalam 1 penggal, rakyat boleh menghukum PAS pada PRU15 dengan memilih PH atau BN.

Beliau turut menyerang Dr Mahathir dengan berkata, parti itu akan menurunkan calon muda dan bertenaga pada PRU14, bukannya calon berusia 93 tahun dan ke atas.

Adun Sabak itu turut melarang penyokong dan ahli PAS menyebarkan fitnah, walaupun mereka bakal berdepan gelombang serangan fitnah menjelang PRU14.

“Saya percaya kali ini penuh dengan serangan, berita yang pelbagai. Kita dilarang sebar fitnah, kita tidak boleh sebar fitnah. Parti lain akan fitnah dan PAS akan terus difitnah.

“Ia sebagaimana fitnah PAS bersama Umno, PAS dapat RM90 juta dan PAS digambarkan sebagai parti yang benci orang bukan Islam, ini semuanya fitnah.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-