Friday, April 27, 2018

Calon PAS lega lawan Dr M yang sudah tiada kuasa

Anne Muhammad


PRU14 | Calon Parlimen PAS Langkawi Zubir Ahmad mengakui beliau bernasib baik kerana berdepan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau tidak lagi memegang kuasa.

Pada masa sama beliau berbangga kerana diberi tugas untuk bersaing dengan bekas perdana menteri itu yang berpengalaman 22 tahun mentadbir negara.

"Rakan-rakan kita pada zaman Reformasi berdepan dengan Mahathir ketika beliau gagah dan kuat, tetapi nasib saya baik sedikit kerana bertemunya ketika beliau sudah pun bersara," katanya kepada pemberita di Markas PAS Temoyong, Langkawi, malam tadi.

Semalam, Zubir yang juga Yang Dipertua PAS Langkawi diumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen itu pada PRU kali ini dan akan dengan Mahathir dan penyandang daripada BN, Datuk Nawawi Ahmad.

Ia menjawab teka-teki calon 'bertenaga' yang akan diturunkan Gagasan Sejahtera bagi berdepan pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu yang sememangnya sinonim dengan Langkawi ketika mentadbir negara.
Pada mulanya rakan PAS dalam Gagasan Sejahtera, Parti Ikatan Rakyat Malaysia (IKATAN) dikatakan akan menggalas tugas itu tetapi dinafikan presidennya Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Mengulas perkara itu, Zubir menafikan dirinya sebagai calon bidang terjun akibat ketiadaan calon, malah menyatakan namanya sudah diserahkan kepada Majlis Syura Ulama PAS sejak tahun lalu.

“Kita ada rakan tahaluf yang lain bernaung di bawah PAS, jadi kita juga tawarkan kerusi ini kepada mereka. Namun mereka tidak bersedia maka kita tampillah,” katanya.

Usahawan makanan laut itu bukanlah muka baru dalam pilihan raya, apabila telah mewakili PAS sebanyak tiga kali bermula PRU 2004 walaupun tidak menang.

“Berdasarkan tiga kali perlawanan dalam pilihan raya yang lalu, ini aset terbaik untuk saya bangkit. Bagi saya modal ini cukup berguna untuk teruskan perjuangan.

“Kalau kaji kepada kekalahan, negara-negara hebat sekarang seperti Jerman dan Jepun juga kalah dalam peperangan tapi itulah titik permulaan kebangkitan mereka untuk menjadi sebuah negara maju,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-