Sunday, April 1, 2018

Serangan Umno terhadap Dr M memakan diri, kata Mukhriz

April 1, 2018
Khairil Ashraf

Mukhriz

KUALA LUMPUR:  Layanan Umno terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad akan memakan diri, kata bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang mengajukan perkara itu sebagai antara sebab Barisan Nasional (BN) tewas di Kedah di tangan PAS pada 2008.

Timbalan presiden PPBM teringat ketika itu bapanya tidak terpilih sebagai perwakilan Kubang Pasu ke Perhimpunan Agung Umno 2006, walaupun selepas mewakili kawasan Parlimen itu selama 3 dekad termasuk ketika menjadi perdana menteri.

Dr Mahathir berkhidmat sebagai perdana menteri dari 1981 hingga 2003, dan juga presiden Umno dalam tempoh yang sama.

Mukhriz berkata Dr Mahathir mahu menimbulkan isu tentang penggantinya di perhimpunan Umno, tetapi “disekat” daripada memenangi kerusi itu selepas perwakilan “dibeli” oleh pihak yang bersepakat dengan Tun Abdullah Badawi.

“Umno Kubang Pasu dianggap sebagai ‘pariah’,” kata Mukhriz, seorang timbalan menteri ketika Dr Mahathir secara terbuka mengkritik kerajaan pimpinan Umno bawah pentadbiran Abdullah selepas pilihan raya 2008.

Mukhriz berkata langkah itu memakan diri, dan ramai tidak faham mengapa Dr Mahathir yang pernah memimpin parti itu diketepikan.

Bedah siasat kekalahan BN di Kedah pada pilihan raya 2008 menunjukkan episod Kubang Pasu antara faktor yang menyumbang kepada prestasi buruk gabungan itu.

PRU12 menyaksikan BN kalah di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor di samping gagal mendapat 2/3 majoriti di Parlimen.

“Satu negeri terkesan dengan apa yang berlaku,” kata Mukhriz, bekas bendahari Umno Kedah.

“Kita semua tercengang bila tengok laporan itu. Bila rakan-rakan saya di Perak, Pulau Pinang dengar mengenai laporan itu mereka pun mengaku benda yang sama.”

Mukhriz mendakwa kesan yang membawa kepada kegagalan BN mempertahankan Kedah masih dirasai.

Beliau yakin faktor Dr Mahathir akan membantu Pakatan Harapan memenangi Kedah.

“Faktor Tun masih ada lagi. Jangan orang ingat dia dah nyanyuk, dah lama tinggalkan politik dan sebagainya. Dia masih mempunyai pengaruhnya termasuk dalam kalangan ahli-ahli Umno,” katanya.

Mukhriz berkata serangan pemimpin Umno terhadap Dr Mahathir baru-baru ini juga boleh memakan diri kerana orang Melayu tidak suka melihat pemipin tua dikecam, terutama yang membawa gelaran “ayahanda”.

“Mereka mungkin tidak bersetuju dengannya, tetapi itu bukan sebab untuk menggunakan kata-kata kesat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-