Tuesday, May 8, 2018

'Pemecatan veteran Umno tak bagus, tak kena masa'

Diterbitkan 7 Mei 2018, 11:19 malam

Pemecatan pemimpin veteran Umno, Tan Sri Rafizah Aziz dan Tun Daim Zainuddin serta siasatan terhadap Tan Sri Rais Yatim tidak memberikan kebaikan kepada parti itu, kata penganalisis politik Sarawak, Peter Minos.

Beliau berkata, pemecatan itu hanya akan mengundang simpati daripada pengundi dan menyebabkan populariti mereka semakin meningkat, terutama beberapa hari sebelum pilihan raya umum pada 9 Mei ini.

Katanya, banyak isu kritikal seperti 1MDB dan kos sara hidup yang dicetuskan oleh Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak ditangani dengan baik oleh BN dan mungkin memberikan kesan lebih buruk kepada parti itu di semenanjung.

"Bagaimanapun saya harap ia tidak akan berlaku, bercakap dari kacamata seorang anggota PBB-BN.

"Saya betul-betul bimbang dengan banyak ketidakpastian yang mungkin berlaku di Malaysia jika yang paling buruk berlaku," kata Peter.

Peter berkata apa sahaja boleh berlaku pada 9 Mei namun rakyat Sarawak harus tetap bersatu dan berdiri teguh di belakang pemimpin mereka, Ketua Menteri Datuk Seri Abang Johari Abang Openg.

"Kami, di Sarawak tidak boleh terganggu oleh apa saja peristiwa di semenunjung pada 9 Mei tetapi tetap teguh sebagai rakyat Sarawak," jelasnya.

Tambah beliau, mana-mana parti yang mendapat peranan menjadi kerajaan persekutuan, rakyat Sarawak akan tetap bersatu dan mengekalkan integriti politik mereka.

"Kita mesti kuat sebagai sebuah negeri, dan berurusan dengan sesiapa yang membentuk kerajaan tetapi berhati-hati dengan apa jua rundingan yang dibincangkan untuk Sarawak.

"Kita tidak boleh diketepikan atau diabaikan dalam apa cara sekalipun. Satu-satunya pilihan kita ialah perpaduan politik, "katanya.

Beliau berkata Sarawak kini stabil tetapi harus berhati-hati dengan pemimpin pembangkang seperti Lim Kit Siang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Kita tak boleh diheret dalam isu semenanjung seperti 1MDB. Itu masalah mereka, tiada kena mengena dengan kita. Mereka yang buat dan biarkan mereka tanggung," kata beliau.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-