Showing posts with label veteran Umno. Show all posts
Showing posts with label veteran Umno. Show all posts

Friday, July 26, 2024

Ku Li jelaskan mengapa Anwar akan terus berdepan defisit sokongan Melayu

malaysianow.com.my
MalaysiaNow
Julai 26, 2024 

Veteran Umno itu mengakui kebersamaan Umno dengan PH akan menenggelamkan parti Melayu itu.
Tengku Razaleigh Hamzah.

Tengku Razaleigh Hamzah berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim sukar mendapat sokongan Melayu disebabkan gabungan Pakatan Harapan (PH) yang diketuainya masih berteraskan bukan Melayu.

"Base (teras) dia Cina, macam mana orang Melayu nak berharap pada pimpinan yang kepentingannya bukan Melayu?" Razaleigh, yang lebih dikenali dengan panggilan Ku Li, memberitahu MalaysiaNow dalam wawancara baru-baru ini.

"Selagi Anwar tidak mempunyai base Melayu, selama itu orang Melayu tak akan sokong Pakatan Harapan yang dipimpinnya."

Beliau membandingkan Anwar dengan semua perdana menteri terdahulu yang menurutnya mempunyai sokongan orang Melayu.

"Orang sokong Tunku Abdul Rahman dulu kerana teras yang dibawanya ialah Melayu," kata Ku Li.

Ku Li mengakui kebersamaan Umno dengan PH mendatangkan risiko.

"Kalau Umno nak bersama dengan dia (PH) maka satu jalan sahaja ada: tenggelamlah. Apakah Umno nak tenggelam?

"Kalau nak kepada jalan lain kena fikirlah apa pakatan yang diterima oleh rakyat terutama menjaga kepentingan Melayu," tambahnya.

Sebelum ini, pelbagai penganalisis mengesahkan pentadbiran Anwar tidak mendapat sokongan majoriti Melayu, di sebalik kebangkitan Perikatan Nasional (PN) sebagai alternatif kepada Umno dan Barisan Nasional sejak pilihan raya umum yang lalu.

PH memenangi 82 kerusi di Parlimen, kebanyakannya kerusi dengan bilangan pengundi bukan Melayu yang ramai, yang dilihat bersatu dalam menyokong calon gabungan itu ketika undi Melayu berpecah kepada PN dan BN.

Sementara itu, PN menang 74 kerusi, manakala BN memperoleh 30 kerusi.
Corak kemenangan sama berlaku pada pilihan raya enam negeri tahun lepas, di mana kerusi-kerusi majoriti Melayu hampir disapu bersih PN, manakala kerusi bukan Melayu dibolot PH, sementara Umno pula hanya menang 19 kerusi.

'PM jangan pegang portfolio kewangan'

Sementara itu, Ku Li yang pernah menjadi menteri kewangan di bawah pentadbiran Hussein Onn dan Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan langkah Anwar turut memegang jawatan itu.

"Menteri Kewangan ini orang yang 'check and balance'. Belanja pentadbiran negara dan sebagainya akan disemak oleh menteri kewangan," katanya.

Menurutnya, tindak tanduk dan keputusan seorang perdana menteri seharusnya dipantau kesan kewangannya oleh menteri kewangan, termasuk apabila mengadakan rundingan di luar negara.

"Kalau saya sebagai menteri kewangan tengok dia nak masuk rundingan itu rundingan ini, kalau dia nak kepada satu dua pakar, itu sahaja yang saya akan benarkan. Walau dia PM, tapi saya tak benarkan lebih daripada itu, kerana ia membazir duit negara. Itu yang penting, lebih penting daripada Anwar Ibrahim."

Sunday, December 17, 2023

Veteran Umno WP bantah gesaan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur

malaysiakini.com
Diterbitkan: Dec 17, 2023 6:12 PM
Veteran Umno Wilayah Persekutuan berpandangan tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur pada masa ini kerana struktur pentadbiran sedia ada sudah memadai.

Pengerusinya Mustapha Yaakub berkata justeru pihaknya kesal dengan kenyataan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Tan Kok Wai yang membuat gesaan itu.

"Kita sudah ada wakil rakyat yang dipilih rakyat dalam pilihan raya bagi mewakili kesemua kawasan parlimen dalam Kuala Lumpur. Kita ada ahli majlis yang dilantik mewakili semua kaum untuk membantu datuk bandar.

"Jadi untuk apa perlukan pilihan raya lagi?" soalnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Tan yang juga ahli parlimen Cheras berkata pelaksanaan itu adalah usaha menegakkan demokrasi dan dapat menjadikan Kuala Lumpur sebuah ibu negara yang mampan, mengamalkan tadbir urus berkesan, bersih dan berpaksikan rakyat.

"Kita tidak perlu meneruskan laksanakan pilihan raya PBT di seluruh negara, tetapi kita boleh bermula di Kuala Lumpur yang amat memerlukan demokrasi dalam proses pendemokrasian sistem pentadbiran ibu negara kita," katanya.

Mengulas lanjut, Mustapha malah menyifatkan gesaan itu sebagai "terbawa-bawa dengan idealisme lama" dan mendakwa ia berbaur perkauman.

"Veteran Umno faham hasrat DAP itu untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai PBT yang diwakili oleh ahli-ahli yang mewakili kaum Cina, khususnya DAP. Sudah pastinya kalau pilihan raya itu diadakan maka wakil-wakil masyarakat Cina akan menang mudah di kawasan majoriti mereka," dakwanya.

"Kami berharap kepimpinan baru DAP akan dapat membendung cara berfikir pengerusi DAP Kuala Lumpur. Jangan ada lagi sebarang usaha untuk membakar dan menyemarakkan rasa benci dan perkauman diantara parti-parti gabungan dalam kerajaan perpaduan," katanya lagi.

Mustapha turut berpandangan jika cadangan itu dilaksanakan, ia akan membawa kepada tuntutan sama di bandar-bandar lain seperti di Ipoh, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Kali terakhir Malaysia mengadakan pilihan raya PBT pada 1963 dan berdepan penggantungan pada tahun berikutnya.

Penggantungan itu, yang sepatutnya bersifat sementara, namun dikekal pada 1976 apabila Parlimen meluluskan Akta Kerajaan Tempatan, yang memansuhkan pilihan raya PBT dan hanya memperuntukkan pelantikan ahli majlis.

Pakatan Rakyat yang dianggotai DAP, PKR dan PAS sebelum ini berjanji untuk mengembalikan semula pilihan raya PBT semasa pilihan raya umum 2008 dan 2013.

Namun manifesto pilihan PRU14 PH tidak berjanji untuk mengembalikan pilihan raya PBT tetapi menyatakan bahawa mereka akan "mengukuhkan demokrasi tempatan" dan menjadikan majlis tempatan lebih bertanggungjawab kepada rakyat setempat.

Ia juga berjanji untuk meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk mencerminkan aspirasi ini.

Namun begitu, Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad menolak permintaan untuk mengembalikan pilihan raya PBT, dengan alasan ia mungkin menimbulkan perbalahan kaum.

Saturday, September 17, 2022

Ku Li: Umno sampai sekarang tak aman

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 17, 2022 9:39 AM
Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa berlaku perpecahan dalaman yang berterusan di peringkat negeri dan pusat parti itu.

Ahli parlimen Gua Musang itu dipetik Sinar Online berkata keadaan dulu dan sekarang berbeza kerana pada zaman bekas perdana menteri, Najib Razak berkuasa selain ada tiga belas parti mendokong kepimpinan Umno.

“Ahmad Zahid ambil alih, selepas Umno kalah. Kita kalah bukan saja di peringkat pusat malah di tiap-tiap negeri kecuali Perlis dan Pahang sahaja.

”Ada perpecahan dalam Umno di negeri-negeri dan di peringkat pusat. Dah tak aman, sampai sekarang tak aman. Ada saja orang nak mencelah tetapi begitulah politik,” katanya.
Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi pada 11 Sept lalu dilaporkan menegaskan pihaknya akan melakukan pembersihan 'musuh dalaman' gabungan itu dan Umno.

“Kita tidak mahu ada musang dalam reban ayam. Musang perlu dikeluarkan.

“Kita tidak mahu ada bangkai tikus dalam telaga kita. Telaga yang ada bangkai tikus airnya tidak boleh diminum,” tegas Zahid.

Sementara itu, Tengku Razaleigh yang dikenali sebagai Ku Li juga berkata isu-isu semasa termasuk berkait kes-kes mahkamah yang membabitkan ahli politik Umno menjejaskan sokongan rakyat terhadap parti itu.

“Sebab itu, kami selalu merayu supaya ada solidariti untuk wujudkan perpaduan dalam kalangan kami yang tak boleh sesiapa pun mencelah.

“Kena bulat, kalau berpecah ataupun seorang dua bawa cerita lain tak kuatlah nak lawan musuh.

“Jangka hayat Umno bergantung kepada rakyat. Kalau rakyat masih sokong Umno, Umno akan terus tegak, kuat, dan berkuasa,” kata Razaleigh selepas Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Berhad (Bhd) ke-24 (2022) di Hotel Grand River View di Kota Bharu, semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Razaleigh berkata dia tidak faham maksud BN yang dikatakan bergerak solo kerana terdapat parti komponen lain dalam BN.

“Sebelum ini, BN dikalahkan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan ketika itu ada 13 parti komponen dalam BN dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Mereka ada pakatan yang membawa kekuatan masing-masing untuk membantu calon-calon bertanding atas satu logo iaitu BN,” katanya.

Selepas PRU14, parti-parti Sarawak dan Sabah serta Gerakan keluar BN, meninggalkan gabungan yang ditubuhkan pada 1973 itu kepada tiga parti teras Umno, MIC dan MCA.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan berulang kali menegaskan pendirian parti itu untuk bergerak solo, khususnya dalam mempertimbangkan kerjasama bersama PAS dan Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang.

Mohamad Hasan pada Ogos lalu berkata BN akan bergerak secara solo untuk memenangi seberapa banyak kerusi di parlimen untuk membentuk kerajaan sendiri pada PRU15.

Bagaimanapun, Mohamad yang juga pengarah pilihan raya BN itu berkata jika keputusan menunjukkan sebaliknya, pihaknya sedia berunding dengan parti lain untuk menubuhkan kerajaan yang mantap dan stabil demi kemakmuran rakyat.

Awal bulan ini, Zahid pula menjelaskan Umno membuat keputusan untuk bergerak solo kerana tindak-tanduk dan sikap PAS.

"Tak perlu sedu-sedan apabila PAS sendiri sentiasa main selamat dan mandi dalam beberapa kolam," katanya.

Friday, August 6, 2021

Jangan kelam kabut, gopoh: Veteran Umno

hmetro.com
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa.
 FOTO MOHD FADLI HAMZAH

Kuala Lumpur: "Jangan kelam kabut, jangan gopoh. Buat masa ini tukar kerajaan memang tidak sesuai.

"Tempoh masa sebulan sudah pun diberikan. Selepas tempoh itu, kalau masih gagal, barulah kita bertindak," kata Pengerusi Majlis Veteran Umno Malaysia Datuk Othman Desa.

Menurutnya, gencatan politik oleh semua parti perlu diadakan segera bagi memberi ruang kepada kerajaan memberi fokus untuk mengawal wabak Covid-19.

Katanya, ketika ini nyawa rakyat perlu diberi keutamaan dan sebarang pertukaran tidak akan mengubah keadaan.

"Ini adalah berkaitan dengan masa. Memang tidak sesuai untuk tukar kerajaan, jatuhkan orang itu, naikkan orang ini. Tidak ada manfaatnya.

"Buang yang keruh, bukan masanya kita letakkan parti dalam keadaan genting kerana kerajaan ini dibentuk secara bersama, jadi buatlah kerja dulu sehabis baik," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, tidak adil untuk melabel Ahli Parlimen terbabit termasuk mereka yang menganggotai Kabinet sebagai derhaka kerana mereka juga mempunyai pertimbangan sendiri.

Katanya, sebagai anggota pentadbiran kerajaan, sudah tentu Ahli Parlimen berkenaan tahu apa yang sedang dilakukan dan sebarang usaha untuk mengubah perancangan secara mengejut hanya akan mengeruhkan keadaan.

"Kerja ini sedang berjalan, biarlah mereka (pentadbiran) ini buat kerja dulu. Kalau diganggu di tengah-tengah, yang susahnya nanti kita semua," katanya.

Beliau mengulas keputusan 31 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan akur dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong bahawa usul undi percaya akan dilakukan pada sidang Parlimen September ini.

Katanya, langkah terbaik yang boleh dilakukan parti adalah menyelesaikan kekeliruan ahli parti serta menumpukan sepenuhnya usaha untuk memerangi Covid-19.

"Itu yang perlu dilakukan. Umno jangan terikut-ikut dengan pihak lain kerana kita sedang berkhidmat. Selagi boleh, lakukan yang terbaik," katanya.

Disiarkan pada: Ogos 6, 2021 @ 9:10pm

Thursday, March 28, 2019

Kalau tiada duit, takkan sampai jual seluar dalam?

By Muhammad Azizul Osman
- 28 Mac 2019

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat dakwaan kerajaan Barisan Nasional (BN) menjual bangunan 28 tingkat itu pada harga HK$3.1 bilion atau kira-kira RM1.61 bilion yang terletak di Wan Chai, Hong Kong adalah tidak tepat.

Menurut beliau, tiada keperluan mendesak untuk kerajaan ketika itu berkira-kira untuk menjual aset negara.

“Saya tidak terfikir begitu, takkanlah hendak jual sampai ke seluar dalam kalau pun tidak ada duit.

“Kalau pun tidak ada duit, kita dah berkerajaan mesti ada cara yang boleh kita cari dari punca lain. Takkanlah hendak jual segala-galanya,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

Tengku Razaleigh berkata demikian ketika ditanya media mengenai kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mendakwa keputusan untuk menjual aset di Hong Kong dibuat pentadbiran BN menerusi kaedah rundingan terus.

Beliau berkata, nilai yang diterima kerajaan BN jauh lebih rendah, iaitu RM1.1 bilion berbanding kerajaan sekarang.

“Keputusan menjual bangunan ini dibuat kerajaan BN kerana mereka tidak dapat tampung kos pembaikan sebanyak RM300 juta.

“Apabila kita ambil tampuk pemerintahan, kita rasa ia tidak seharusnya dibuat secara rundingan terus kepada syarikat ini,” kata Guan Eng pada Selasa lalu.

Ia ekoran kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan, BN tidak pernah mahu menjual aset negara di Hong Kong tidak seperti yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan.

Pada bulan lalu, sebuah akhbar yang memetik laporan Ming Pao mendedahkan Kumpulan Evergrande China dalam perbincangan untuk membeli bangunan milik kerajaan Malaysia di Hong Kong.

Mengulas lanjut, Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, sekiranya aset itu dijual, kerajaan tidak mampu untuk mencari aset baharu di Hong Kong kerana harga hartanah di sana yang semakin mahal.

“Bagi saya eloklah kita simpan bangunan itu kerana hendak beli pula, harganya sudah melambung naik. Dahulu kita beli hanya 200 juta Hong Kong kalau saya tidak silap. Sekarang ini sudah bilion nilainya. Nak beli ganti, mana ada duit berbilion ringgit,” katanya.

Ditanya adakah wajar untuk kerajaan menjual aset berkenaan, jawabnya, ia terpulang kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini memegang tampuk pemerintahan Putrajaya.

“Itu hak dia, hak kerajaan hendak jual atau tidak. Saya hendak kata boleh atau tidak boleh, bukan kuasa saya,” katanya lagi.

Untuk rekod, bangunan 28 tingkat yang diberi nama ‘Malaysia Building’ itu dibeli oleh kerajaan ketika Tengku Razaleigh memegang jawatan Menteri Kewangan dari tahun 1976 sehingga tahun 1984.

 -MalaysiaGazette

Saturday, November 17, 2018

PENGUNDI PH KENA TIPU – KU LI

By watan 
on November 17, 2018


Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan pengundi Pakatan Harapan (PH) ditipu apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui tidak dapat menunaikan semua janji.

Ahli Parlimen Gua Musa itu berkata, banyak perkara yang dicadang termasuk janji dalam manifesto PH Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14) yang menelan perbelanjaan besar, gagal dilunaskan.

“Kalau nak hapuskan tol, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan turun harga minyak amat sukar untuk kerajaan PH berbuat demikian.

“Kita mengakui setengah daripada rakyat menyesal termasuk pelajar universiti hingga mereka bertindak berarak ke Parlimen membuat bantahan terhadap perkara itu.

“Ada kalangan mereka marah seolah kena tipu kerana mereka berharap golongan yang berpendapatan sampai RM4,000, baru kena bayar pinjaman itu. Sekarang ini, kerajaan tetapkan gaji minumun RM1,050 pun sudah kena bayar,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek pembinaan masjid baharu di Bandar Lama, di Gua Musang, Sabtu.
Masjid baharu berkonsepkan Masjidil Haram di Makkah menelan belanja RM23 juta itu, dijangka siap Mei tahun depan.

Tengku Razleigh yang juga pengerusi Jemaah Penasihat UMNO menyifatkan kerajaan PH sebagai ‘orang baru’ masih kelam kabut dalam menguruskan pentadbiran negara dan gagal menunaikan janjinya.

“Ada sesetengah dari mereka beranggapan mereka masih `orang baharu’ dan berlagak sebagai pembangkang walaupun hakikatnya mereka adalah pemerintah dan berjawatan menteri.

“Begitu juga kita sendiri (UMNO) pun nak sesuaikan diri sebagai pembangkang masih lagi janggal,” katanya.

Wartawan Waan-Online

Sunday, July 1, 2018

Ku Li dakwa wujud rasuah, beli undi

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 JULAI 2018

Tengku Razaleigh Hamzah

KUALA LUMPUR - Veteren Umno, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa mendengar khabar angin mengenai tindakan calon tertentu membeli undi pada pemilihan parti kali ini.

Beliau yang tewas dalam saingan merebut jawatan Presiden Umno hari ini, bimbang amalan politik wang menjejaskan masa depan serta proses pembaharuan parti itu, jika khabar angin berkenaan benar.

Menurutnya, pengaruh wang dan rasuah menyebabkan individu yang layak dan berpotensi, gagal diketengahkan pada pemilihan kali ini kerana tidak berduit.

"Saya dengar berita yang tak berapa baik. Saya harap ini khabar angin dan tidak betul. Tapi saya dengar dalam pemilihan ini, banyak duit digunakan.

"Sepatutnya, kita sudah berhenti menggunakan wang dalam pemilihan parti. Ini adalah sogokan atau rasuah, membeli undi dan sebagainya," katanya memetik laporan Berita Harian.

Ku Li berkata, jika benar berlaku, dukacitalah kerana masa depan pimpinan parti ini akan bergantung pada duit juga kerana amalan politik wang.

"Pengaruh duit yang sepatutnya dihapuskan, sudah bermaharajalela semula dalam politik tanah air, terutama politik Umno. Ini tidak akan berfaedah kepada sesiapa," katanya ketika ditemui Berita Harian di majlis tahlil aktivis Islam, Allahyarham A Karim Omar di sini, malam ini.

Pada pemilihan pucuk pimpinan parti hari ini, Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diumumkan sebagai Presiden Umno yang baharu, selepas menewaskan Tengku Razaleigh dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin serta dua lagi calon.

Selain itu, ditanya berkenaan keputusan pemilihan itu, Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang secara sinis berkata ia keputusan yang bagus jika khabar angin yang didengarnya tidak benar.

"Kita harap dihentikan jika berlaku mainan duit untuk mempengaruhi mereka yang berhak memilih kerana ini akhirnya menjadi barah, boleh merosakkan bukan saja parti politik tapi juga masyarakat," katanya.

Selain itu, diminta mengulas mengenai apa akan dilakukannya selepas ini, veteran Umno itu berkata beliau mahu berehat memandangkan sudah mencecah usia 81 tahun, selain berada dalam arena politik selama 60 tahun.

[ARTIKEL BERKAITAN: http://www.sinarharian.com.my/politik/zahid-dipilih-presiden-umno-1.851039]

Friday, June 29, 2018

Syed Hamid ucap selamat tinggal Umno, helo BERSATU

Lu Wei Hoong | Diterbitkan 29 Jun 2018, 1:50 petang


Bekas menteri dan ahli politik veteran Umno Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar hari ini mengumumkan keluar dari parti itu selepas bersama selama beberapa dekad.

Bercakap kepada Malaysiakini Syed Hamid berkata juga berhasrat untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

"Malah BERSATU Kota Tinggi juga sudah meminta bantuan saya," katanya.

Menjelaskan alasannya meninggalkan Umno dalam satu kenyataan media pula, Syed Hamid berkata parti itu sekarang pertubuhan yang mementingkan diri sendiri dan hanya mengutamakan kelangsungan peribadi berbanding mengambil berat hal rakyat.

Menurut bekas pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat itu menambah, beliau dilahirkan dalam keluarga pejuang Umno.

Katanya Umno hari ini bukan lagi parti yang pernah dikenalinya suatu ketika dulu.

Selama beberapa dekad katanya lagi sebahagian besar hidupnya dihabiskan untuk Umno.

"Ini adalah parti yang benar-benar mengambil berat orang Melayu dan pada masa sama melayan bangsa lain secara sangat seimbang, adil dan pemurah.

"Parti ini bukan saja memperjuangkan orang Melayu tetapi begitu prihatin terhadap kepentingan rakyat tanpa mengira bangsa atau agama," katanya.

Enggan berpura-pura

Malangnya kata Syed Hamid sifat itu tiada lagi dalam Umno.

Walaupun perit, katanya, beliay terpaksa mengaku ideologi serta falsafah parti tersebut sudah diselewengkan, menyebabkan ia tidak lagi dapat bertolak ansur, mementingkan diri sendiri, malah lebih parah - tidak demokratik.

Syed Hamid yang mempunyai latar belakang undang-undang serta pernah berkhidmat sebagai menteri menambah, pemimpin Umno sekarang menjadi elit dan terpisah daripada realiti rakyat.

Lebih buruk, katanya, pemimpin yang sama itu menunjukkan sikap penafian yang melampau, mengetepikan ketelusan serta kedaulatan undang-undang untuk kepentingan peribadi.

"Kepemimpinan Umno sejak beberapa tahun kebelakangan ini memusnahkah imej, reputasi dan nama baik parti apabila membenarkan amalan salah guna kuasa serta rasuah," katanya.

Untuk rekod Syed Hamid ialah anak kepada seorang tokoh terkenal, Allahyarham Tan Sri Syed Jaafar Hassan Albar, yang digelar Singa Umno.

Dilahirkan di Kampung Melayu Air Hitam, Pulau Pinang, Syed Hamid pernah menjadi anggota Majlis Tertinggi Umno. Beliau juga diberi kepercayaan menjadi menteri di bawah tiga perdana menteri iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Baca Papagomo menang exco Pemuda Umno

Syed Hamid digugurkan daripada kabinet pada 2009.

Kata Syed Hamid, 74, selepas berpuluh tahun prinsip yang dipegangnya itu masih kekal di dalam dirinya.

Ironinya kata Syed Hamid keadaan itu menyebabkan beliau menyedari bahawa tidak ada sebab lagi untuknya kekal meneruskan perjuangan itu dalam Umno.

"Tidak pernah terlintas dalam kepala bahawa pada satu hari saya akan meninggalkan Umno, tetapi melihat apa yang ada pada hari ini, masalah yang sengaja diadakan, saya tidak mampu berpura-pura kononnya keadaan adalah terkawal," katanya.

Menurut Syed Hamid sebelum ini pun beliau sudah menganggap dirinya bukan lagi sebahagian daripada Umno apabila menyatakan sokongan terhadap Pakatan Harapan(HARAPAN) menjelang pilihan raya umum ke-14 lalu.

Untuk rekod, Syed Hamid adalah tokoh terbaru - setakat ini - yang mengumumkan berpisah daripada Umno dan sejumlah besar parti meninggalkan BN apabila mereka tewas kepada HARAPAN.

Wednesday, June 13, 2018

Umno Johor mahu Zahid tarik diri, beri laluan pada Ku Li

Lu Wei Hoong
Diterbitkan 13 Jun 2018, 8:50 malam


Ketua Umno Tebrau Maulizan Bujang menyarankan agar pemangku presiden parti mereka Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti akan datang.

Maulizan berkata demikian sebagai mencadangkan agar Ahmad Zahid memberi laluan kepada veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah yang menurutnya merupakan calon paling sesuai menerajui Umno bagi berdepan dengan Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Tengku Razaleigh pada dasarnya sanggup memikul tanggungjawab ini bagi membantu proses pemulihan Umno.

"Namun begitu, alangkah elok sekiranya Ahmad Zahid berlapang dada memberi laluan kepada beliau (Tengku Razaleigh) dan pemimpin lain sepertimana pengorbanan yang dilakukan oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang tidak bertanding agar Umno dilihat berubah.

"Saya berharap agar rakan-rakan senior saya di peringkat tertinggi parti dapat mengatur langkah memujuk Ahmad Zahid," katanya dalam kenyataan untuk Malaysiakini.

Maulizan turut menyorot bahawa anggota Umno tidak akan melupakan jasa dan budi Ahmad Zahid.

Separuh ketua jumpa Ku Li

Setakat ini, Ahmad Zahid merupakan satu-satunya calon yang telah disahkan akan bertanding untuk jawatan presiden dalam pemilihan Umno 30 Jun depan.

Maulizan juga berkata awal hari ini dia telah berjumpa dengan Tengku Razaleigh, atau dikenali sebagai Ku Li, bagi meyakinkan veteran Umno itu untuk bertanding jawatan presiden.
Jelasnya, dia difahamkan bahawa lebih separuh ketua bahagian termasuk pengerusi perhubungan dan kepimpinan akar umbi telah berjumpa Tengku Razaleigh bagi memujuknya agar menyahut cabaran itu.

"Pertemuan demi pertemuan diadakan atas kehendak pemimpin pemimpin Umno dan bukan atas kehendak Tengku Razaleigh.

"Semua yang hadir merayu agar Tengku Razaleigh menawarkan diri bertanding sebagai presiden Umno," katanya.

Tambah Maulizan lagi, dia tidak mengenepikan jasa dan pengorbanan Ahmad Zahid selaku naib presiden Umno sebelum ini.

Namun, katanya, Umno memerlukan seorang pemimpin yang boleh diyakini dapat memulihkan dan mengembalikan sokongan rakyat kepada parti itu.

"Secara peribadi, saya sependapat dengan rakan-rakan yang lain serta majoriti ahli Umno dan orang ramai yang mahukan Umno memilih pemimpin yang dilihat boleh bersaing dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahum dan pemimpin HARAPAN lain.

"Kesilapan kita memilih akan melambatkan proses pemulihan Umno malah akan terus melemahkan Umno," katanya.

Tuesday, June 12, 2018

Ku Li masih tunggu panduan Ilahi

Zikri Kamarulzaman
Diterbitkan 12 Jun 2018, 9:18 pagi


Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah masih menunggu panduan Ilahi sama ada mahu bertanding atau tidak sebagai presiden Umno.

Bercakap dalam perhimpunan penyokongnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur malam tadi, ahli politik 81 tahun itu berkata sudah mendapatkan maklum balas anggota keluarganya berkaitan perkata itu serta masih mengambil kira faktor umurnya.

Katanya, beliau bimbang tidak lagi mempunyai tenaga untuk melawat kesemua 191 Umno bahagian di seluruh Malaysia.

“Bagaimanapun saya akan buat solat istikharah...,” katanya sambl disambut tepukan kira-kira 300 hadirin.

Setakat ini hanya dua calon akan bertanding jawatan presiden Umno, iaitu Timbalan Presien Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan penulis blog Rahmat Azim Abdul Aziz.

Perhimpunan agung tahunan Umno akan berlangsung pada 30 Jun depan. Tarikh tutup pencalonannya untuk bertanding pada 17 Jun.

[Baca berita asal]

Tuesday, May 8, 2018

'Pemecatan veteran Umno tak bagus, tak kena masa'

Diterbitkan 7 Mei 2018, 11:19 malam

Pemecatan pemimpin veteran Umno, Tan Sri Rafizah Aziz dan Tun Daim Zainuddin serta siasatan terhadap Tan Sri Rais Yatim tidak memberikan kebaikan kepada parti itu, kata penganalisis politik Sarawak, Peter Minos.

Beliau berkata, pemecatan itu hanya akan mengundang simpati daripada pengundi dan menyebabkan populariti mereka semakin meningkat, terutama beberapa hari sebelum pilihan raya umum pada 9 Mei ini.

Katanya, banyak isu kritikal seperti 1MDB dan kos sara hidup yang dicetuskan oleh Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak ditangani dengan baik oleh BN dan mungkin memberikan kesan lebih buruk kepada parti itu di semenanjung.

"Bagaimanapun saya harap ia tidak akan berlaku, bercakap dari kacamata seorang anggota PBB-BN.

"Saya betul-betul bimbang dengan banyak ketidakpastian yang mungkin berlaku di Malaysia jika yang paling buruk berlaku," kata Peter.

Peter berkata apa sahaja boleh berlaku pada 9 Mei namun rakyat Sarawak harus tetap bersatu dan berdiri teguh di belakang pemimpin mereka, Ketua Menteri Datuk Seri Abang Johari Abang Openg.

"Kami, di Sarawak tidak boleh terganggu oleh apa saja peristiwa di semenunjung pada 9 Mei tetapi tetap teguh sebagai rakyat Sarawak," jelasnya.

Tambah beliau, mana-mana parti yang mendapat peranan menjadi kerajaan persekutuan, rakyat Sarawak akan tetap bersatu dan mengekalkan integriti politik mereka.

"Kita mesti kuat sebagai sebuah negeri, dan berurusan dengan sesiapa yang membentuk kerajaan tetapi berhati-hati dengan apa jua rundingan yang dibincangkan untuk Sarawak.

"Kita tidak boleh diketepikan atau diabaikan dalam apa cara sekalipun. Satu-satunya pilihan kita ialah perpaduan politik, "katanya.

Beliau berkata Sarawak kini stabil tetapi harus berhati-hati dengan pemimpin pembangkang seperti Lim Kit Siang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Kita tak boleh diheret dalam isu semenanjung seperti 1MDB. Itu masalah mereka, tiada kena mengena dengan kita. Mereka yang buat dan biarkan mereka tanggung," kata beliau.

Friday, May 4, 2018

Rafidah Aziz muncul kali pertama ceramah gabungan pembangkang PKR

Suffian Abu Bakar
04 Mei 2018 10:09 PM

RAFIDAH AZIZ pertama kali berada di atas pentas pembangkang ketika menghadiri ceramah jelajah gabungan pembangkang PKR di Taman Bukit Piatu Mutiara di Bukit Katil, Melaka, malam ini. - UTUSAN ONLINE/MOHD. AZIM ABD. RAHMAN

MELAKA 4 Mei - Tun Dr. Mahathir Mohamad malam ini membawa seorang lagi veteran UMNO iaitu Tan Sri Rafidah Aziz dalam ceramah gabungan pembangkang PKR di Taman Bukit Piatu Mutiara, Bukit Katil di sini.

Kehadiran Rafidah yang merupakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu selang beberapa hari selepas penyertaan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dalam kempen-kempen yang disertai Dr. Mahathir di seluruh negara.

Turut hadir pada program malam ini ialah Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PAN, Mohamad Sabu dan penyandang kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd. Akin.

Ini merupakan kemunculan pertama Rafidah dalam kem gabungan pembangkang PKR selepas beliau sejak kebelakangan ini lantang mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Agak janggal apabila pengacara malam ini mengumumkan ketibaan Rafidah sambil disambut dengan sorakan 'reformasi' sedangkan beliau suatu ketika dahulu lantang mengkritik pembangkang khususnya sewaktu menjadi Ketua Pergerakan Wanita UMNO.

Rafidah yang turut berucap mengakui beliau terharu dengan sambutan diterimanya selepas hampir 10 tahun 'bersara' daripada politik.

“Negara ini sekarang bukan milik kerajaan BN atau pembangkang. Kita sekarang hanya ada 'care taker' dan saya terpanggil untuk bercakap malam ini sebab rakyat yang akan beri kontrak baharu kepada kerajaan yang akan dipilih setiap lima tahun,” katanya. 

Friday, April 20, 2018

Shahrizat selar veteran Umno kerana kritik kerajaan

Annabelle Lee 
Diterbitkan 20 Apr 2018

PRU14 l Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil hari ini menyelar beberapa pemimpin veteran parti itu kerana begitu lantang membidas kerajaan dan parti selepas meletak jawatan kabinet mereka.

Tanpa menyebut sebarang nama, beliau berkata veteran ini lupa bahawa perjuangan BN-Umno yang membuahkan kejayaan mereka.

“Pada masa ini ada beberapa ahli-ahli veteran kita yang lupa daratan.

“Siapa mereka jika bukan perjuangan BN. Dia sudah tak ada jawatan, semua tak kena

“Bukannya lelaki (sahaja), wanita sekali,” kata Shahrizat kepada Wanita BN pada satu majlis di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, hari ini.

Akhir-akhir ini, dua veteran Umno iaitu bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Tan Sri Rais Yatim dan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz banyak membuat kenyataan yang kritikal terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
Shahrizat menafikan bahawa pendirian mereka mewakili atau mencerminkan sikap veteran parti yang lain.

“Mereka ini adalah segelintir sahaja daripada ahli veteran. Mereka tidak mewakili ahli veteran semua.

“Janganlah ingat satu tokoh cakap begitu sahaja, mereka mewakili semua ahli veteran,” katanya.

Pada ucapannya, Shahrizat juga membidas bekas bosnya yang pernah dikalahkan dan mengalahkannya untuk jawatan ketua wanita Umno.

“Tapi mereka ini, ada yang saya baca tu, pompuan(perempuan).

“Pun! Adoi! Masa pegang jawatan dia bergempak-gempak. Dia dah tak ada jawatan, macam-macam pula fitnah dia nak buat,” kata Sharizat yang jelas merujuk kepada Rafidah.

Wednesday, January 31, 2018

PRU ini, Melayu tahu siapa menguntungkan mereka, kata Ku Li

 LiAbdar Rahman Koya


SHAH ALAM:  Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah tidak menolak kemungkinan parlimen tergantung selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang, tetapi beliau masih meragui kemampuan pembangkang menarik sokongan sebahagian besar orang Melayu.

Dalam temubual eksklusif bersama FMT baru-baru ini, Ku Li berkata pembangkang harus terima hakikat akan cengkaman Umno ke atas orang Melayu di kawasan luar bandar.

“Semua orang suka berpihak kepada pemenang. Orang akan menyokong pemenang. Orang tidak akan bertarung dan cuba menyokong orang yang kalah. Mereka boleh dapatkan apa yang mereka perlukan daripada pemenang.

“Di kawasan luar bandar, mereka mendapat perhatian dari Umno. Umno selalu turun padang, sebab itu PAS pun tidak dapat mengusir mereka dari kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata seperti orang Cina yang menjaga kepentingan mereka dengan mengundi kalangan mereka sendiri, begitu juga orang Melayu, yang memilih calon yang akan menjaga kepentingan mereka.

“Saya rasa orang Melayu tahu yang mana boleh menguntungkan mereka. Anda bukan bercakap tentang orang Melayu 1957 tetapi orang Melayu 2018. Mereka ada sekolah-sekolah, kolej-kolej dan masyarakat,” kata Ku Li yang sudah hampir 5 dekad mewakili kawasan Parlimen Gua Musang, Kelantan.

Ku Li berkata walaupun di tengah-tengah urbanisasi yang pantas, orang Melayu kebanyakannya masih berada di luar bandar. Tambahnya, sejumlah besar orang Melayu menetap di kawasan bandar kerana terpaksa.

“Bukan kerana mereka rasa selesa hidup di kawasan bandar, walaupun orang muda menyesuaikan diri kepada perubahan kehidupan baru ini. Tetapi yang muda akan mendengar orang tua mereka. Mereka tidak melawan ibu bapa. Jika bapa kata, ‘Umno’, maka Umno lah!”

Beliau berkata demikian ketika diminta menghuraikan pandangannya, yang mengatakan kehadiran lebih ramai parti pembangkang pada pilihan raya nanti akan memberi kelebihan kepada Umno.

Sekurang-kurangnya 3 parti pembangkang yang akan bertanding berteraskan Melayu, termasuk PAS, PPBM dan Amanah, sementara PKR berbilang kaum dengan majoriti orang Melayu.

Petikan daripada temubual bersama Ku Li

Tentang undi Melayu

FMT: Anda baru-baru ini mengatakan Barisan Nasional mempunyai peluang yang lebih baik memandangkan lebih banyak parti pembangkang menyertai pilihan raya nanti.

Ku Li: Saya bercakap mengenai pengaruh.

FMT: Tetapi pilihan raya kali ini mengenai bagaimana orang Melayu akan membuang undi mereka.

Ku Li: Adakah begitu keadaannya? Cuba kita tengok, DAP popular kerana mereka bertanding di kerusi bandar, yang kebanyakannya kerusi pengundi Cina dan bukan Melayu. Anda tidak boleh salahkan orng Cina kerana menyokong calon-calon yang diletakkan DAP.

FMT: Pertarungan kali ini untuk undi orang Melayu di kawasan bukan Melayu. Kini di samping Umno dan PAS, ada PPBM, Amanah dan PKR merebut undi orang Melayu. Ada 2 pemikiran dalam hal ini: Pertama, blok Umno kukuh dan mereka akan mengambil kesempatan daripada sokongan orang Melayu. Tetapi satu lagi pandangan ialah, orang Melayu berdiam diri dan kita tidak tahu mereka akan sokong siapa.

Ku Li: Saya rasa orang Melayu tahu yang mana boleh menguntungkan mereka. Anda bukan bercakap tentang orang Melayu 1957 tetapi orang Melayu 2018. Mereka ada sekolah-sekolah, kolej-kolej dan masyarakat. Masyarakat sebelum merdeka adalah orang yang tidak pernah melihat sekolah.

FMT: Tetapi bukankah kita juga boleh merumuskan yang dengan pilihan parti pembangkang yang banyak, Umno juga akan rugi undi?

Ku Li: Semua orang suka berpihak kepada pemenang. Orang akan menyokong pemenang. Orang tidak akan bertarung dan cuba menyokong orang yang kalah. Mereka boleh dapatkan apa yang mereka perlukan daripada pemenang. Di kawasan luar bandar, mereka mendapat perhatian dari Umno. Umno selalu turun padang, sebab itu PAS pun tidak dapat mengusir mereka dari kawasan luar bandar.

Walaupun sebahagian besar penduduk berhijrah ke kawasan bandar, atas pertimbangan pendidikan, prasarana yang lebih baik, peluang pekerjaan. Tetapi tradisi masih ada di kawasan pedalaman. Dan kawasan luar bandar masih sangat kekampungan dan sangat Melayu. Oleh itu, mereka akan berpegang kepada itu kerana mereka berasa lebih selamat di sana.

Di sini, mereka datang tetapi mereka tidak tahu bagaimana untuk hidup di kawasan bandar. Anda tidak melihat orang Melayu tinggal di kawasan bandar. Ya, mereka tinggal di rumah pangsa, tetapi kerana terpaksa. Bukan kerana mereka rasa selesa hidup di kawasan bandar, walaupun orang muda menyesuaikan diri kepada perubahan kehidupan baru ini. Tetapi yang muda akan mendengar orang tua mereka. Mereka tidak melawan ibu bapa. Jika bapa kata, “Umno”, maka Umno lah! (ketawa).
Dr M istimewa, lebih bagus daripada saya, kata Ku Li

Tuesday, March 29, 2016

Perjuangan Tun M bukan lagi untuk Melayu - Rais

March 29, 2016

Tun Mahathir menjadikan arena politiknya sebagai arena peribadi dan ia berkaitan peristiwa penyingkiran Muhkriz sebagai Menteri Besar Kedah.
JELEBU: Veteran UMNO, Tan Sri Dr Rais Yatim menyifatkan perjuangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini bukan lagi perjuangan untuk orang Melayu, sebaliknya lebih bersifat peribadi.

Beliau berkata, sebagai pemimpin yang lama dikenalinya, beliau berasa sedih dengan tindakan diambil Dr Mahathir yang jelas bercanggah dengan perjuangannya sebelum ini.

“Saya tak nampak ia (Kongres Rakyat) berjaya sebab amat jelas bahawa Tun mengadakan program-program ini sekali gus menidakkan apa yang dia buat dahulu.

Dahulu beliau mempunyai keyakinan dan kesabaran untuk menaikkan UMNO semula dan orang Melayu, sekarang politik beliau bukan untuk orang Melayu lagi, bukan untuk semerbak perjuangan dalam BN (Barisan Nasional) lagi.

“Beliau menjadikan arena politiknya sebagai arena peribadi dan apa sebab, tentulah ada kaitan dengan rentetan peristiwa yang membawa kepada (pemecatan) Datuk Seri Muhkriz di Kedah,” katanya kepada pemberita di sini, semalam selepas majlis Santapan Minda anjuran Yayasan Budi dan Biro Penerangan BN Parlimen Jelebu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan Kongres Rakyat, Ahad lalu di Shah Alam, Selangor yang turut disertai Dr Mahathir dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengulas lanjut, Rais yang juga Penasihat Sosiobudaya Kerajaan berkata, beliau tidak tertarik untuk menyertai atau memberi sokongan kepada hujah yang disambut baik oleh pembangkang dan pihak yang mahu menurunkan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

“Perlu ditegaskan dalam sistem demokrasi dan perundangan negara bahawa memang boleh seseorang itu seperti Tun Mahathir seru agar Perdana Menteri meletak jawatan. Namun, kesemua ini perlu diasaskan kepada undang-undang negara (yang mana) ada dua perkara yang seharusnya difikirkan.

“Ia ialah apabila Majlis Tertinggi UMNO memutuskan tidak percaya kepada beliau (Najib) atau apabila anggota Parlimen di Dewan Rakyat meluluskan undi tidak percaya terhadap beliau. Jika sebarang langkah ini tidak dapat dilaksanakan, maka Najib tidak boleh diseru untuk letak jawatan waima dengan
sejuta tandatangan diperoleh oleh Tun Mahathir dan sekutunya,” katanya.

Oleh demikian katanya, sekiranya perasaan tidak puas hati itu hendak diterjemahkan oleh mana-mana pihak, ia boleh dilakukan menerusi pilihan raya.

“Sementara itu, benarkan Perdana Menteri dan (jemaah) Kabinetnya menjalankan tugas negara,” katanya.

-BERNAMA

Sunday, March 27, 2016

Tindakan Ku Li beri kekuatan tambahan kepada Umno

ERMA YUSNIDA JUSOH
27 MAC 2016
Tengku Razaleigh Hamzah
KUANTAN - Tindakan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah menandatangani 'Deklarasi Kelantan' yang menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini disifatkan sebagai kekuatan tambahan kepada Presiden Umno seterusnya kepada parti.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sokongan daripada Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang itu yang dianggap sebagai tokoh hebat dalam arena politik negara ini.

Menurutnya, sokongan daripada tokoh yang telah lama dalam politik yang ada rekod yang baik dalam Umno amat dialu-alukan.

“Semua sedia maklum bahawa sebelum ini veteran Umno itu lebih cenderung memihak kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad namun dengan menandatangani 'Deklarasi Kelantan' itu ia jelas menunjukkan Tengku Razaleigh sudah berpihak kepada kepimpinan Najib sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas melawat booth jualan sempena Karnival Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Wilayah Timur 2016 di East Coast Mall, hari ini.

Pada 24 Mac lalu, Tengku Razaleigh menandatangani deklarasi itu di hadapan Najib pada pertemuan Umno Kelantan dengan Najib yang berlangsung di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.

[ARTIKEL BERKAITAN: Ku Li tandatangan deklarasi sokong Najib sebagai PM]

'Deklarasi Kelantan' itu kemudiannya diserahkan kepada Presiden Umno itu oleh Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Tuesday, January 19, 2016

Dedah lokasi tumpuan pengganas bukan untuk takutkan orang ramai - Ku Nan

OLEH MANZAIDI MOHD AMIN
Tengku Adnan Tengku Mansor bersalaman dengan veteran dalam Majlis Perasmian Dan Makan Malam Perhimpunan Agung Veteran UMNO Malaysia kali ke-7/2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 JANUARI 2016

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyerahkan kepada polis untuk mengawal dan menjaga keselamatan negara termasuk beberapa kawasan yang dikenal pasti menjadi tumpuan pengganas.

Katanya, kenyataan beliau semalam tidak bermaksud hendak menakutkan orang ramai, sebaliknya membuat andaian berdasarkan strategi pengganas adalah memilih lokasi yang strategik.

“Saya tidak mahu ulas panjang. Saya serahkan kepada polis untuk mengawalnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis makan malam Perhimpunan Agung Veteran UMNO Malaysia di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, malam ini.

Turut hadir, Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali dan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan.

Semalam Tengku Adnan dilaporkan mendakwa menerima maklumat bahawa selain pusat tumpuan pelancong Bukit Bintang, beberapa kawasan di sekitar ibu kota termasuk Bangsar dan Hartamas turut tersenarai antara kawasan panas yang menjadi ancaman pengganas.

Dakwanya, beliau ada menerima maklumat itu daripada perisikan dan akan bekerjasama dengan pasukan keselamatan negara untuk mengenal pasti kumpulan yang merancang menghuru-harakan negara.

Bagaimanapun, kenyataan beliau dinafikan Penolong Ketua (Komunikasi Korporat) Ibupejabat Polis Bukit Aman, Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad yang dilaporkan berkata, polis tidak pernah memaklumkan lokasi strategik yang menjadi sasaran kumpulan pengganas.

Jelasnya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hanya memaklumkan bahawa polis meningkatkan kawalan di tempat awam bagi memastikan keselamatan orang awam, termasuk menambah bilangan anggotanya.

Tuesday, December 29, 2015

Umno mahu sokongan Melayu, Pas mahu hudud

KUALA LUMPUR – Umno menghulurkan kerjasama dengan Pas kerana mahukan undi majoriti Melayu, manakala Pas pula mungkin menyambut kerjasama yang dimahukan kerana mahu mendapat sokongan terhadap pelaksanaan hudud.

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, ia tidak mustahil memandangkan Umno mungkin tidak akan dapat sokongan daripada bukan Melayu dalam PRU akan datang.

“Pandangan saya dari segi keadaan dalam negara sekarang, barangkali Umno membawa cadangan ini kerana ia merupakan strategi bagi Umno untuk berkawan dan bekerjasama dengan Pas,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Pelajar Melayu Mesir, di Kelab Sultan Sulaiman, di sini, hari ini.

Manakala bagi Pas pula, kata Tengku, selain faktor hudud, kebersamaan kerjasama Pas dengan Umno dibuat mungkin kerana parti Islam itu tidak lagi dianggap sebagai rakan dalam perjuangan PR dahulu.

“Pas sekarang ini terpencil sebagai sebuah parti lama yang hanya mempunyai pengikut-pengikut dalam kawasan tradisinya. Jadi sukar untuk Pas mendapat sokongan banyak, dan perjuangannya juga memerlukan sokongan pihak yang berkuasa seperti Umno. Kerana Pas nak jalankan hukum hudud.

“Dan ini tidak boleh dijalankan melainkan satu; Enakmen Syariah dipinda di peringkat Parlimen bagi membolehkan enakmen di negeri Kelantan dan Terengganu dilaksana, dan kemungkinan kedua; mendapat sokongan 2/3 untuk meminda perlembagaan negara dan kalaulah kedua-dua parti ini berpakat mungkin boleh dilakukan semua yang dicadangkan itu,” jelasnya.

Bagaimanapun menurut Tengku lagi, meskipun kini terlibat dengan kerjasama Pas, Umno tetap perlu menumpukan perhatian terhadap Sabah dan Sarawak.

“Umno kena beri perhatian dengan rakyat Sabah dan Sarawak yang memikirkan mungkin kerjasama dengan Pas tidak boleh membela kepentingan mereka di Sabah dan Sarawak.

“Kerana Sabah dan Sarawak tidak menganggap Islam sebagai agama rasmi negeri-negeri berkenaan,” katanya lagi.

Tuesday, December 1, 2015

Rayuan veteran Umno kepada Muhyiddin

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
1 DISEMBER 2015
Muhyiddin Yassin
SHAH ALAM - Veteran Umno merayu kepada Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yasin, supaya bertenang dan bersabar semasa menghadapi dugaan yang mencabar sekarang.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pihaknya yakin, seorang pemimpin yang banyak berpengalaman dan pernah melalui liku-liku pahit manis dalam Umno, akan sentiasa berlapang dada.

"Oleh itu, atas nama perpaduan dan keutuhan parti, veteran dengan rendah diri memohon Tan Sri Muhyiddin bertenang dan meneruskan tugas dan kerjanya kepada parti seperti yang beliau janjikan sebelum ini," katanya.

Mustapha berkata tindakan ‎berdiam diri bukan bermakna mengalah.

Katanya lagi, dalam mana-mana organisasi pun tidak semua cadangan akan diterima dalam mesyuarat.

"Pengerusi juga sering mendapat tentangan ahli jawatankuasa. Tapi demokrasi menentukan pandangan majoriti yang diterima. Oleh itu, pihak minoriti mestilah menerima keputusan itu sebagai keputusan bersama," katanya.

Dalam pada itu, Mustapha berkata, pihaknya amat bimbang, pertelagahan dalam pucuk pimpinan Umno ini sekiranya berterusan dan akan memberi kesan buruk kepada parti serta PRU14 nanti.

"Veteran yakin, Tan Sri Muhyiddin tidak mahu melihat Umno kecundang nanti, kerana kecundangnya Umno bermakna kegagalan beliau sebagai timbalan presiden. Tan Sri Muhyiddin pernah menjadi pemimpin Umno yang berjaya, dan beliau juga mampu menjadi seorang pengikut yang setia," katanya.

Oleh itu, Mustapha berkata, demi Melayu, Umno dan Islam, veteran berharap Muhyiddin dapat betenang dan berlapang dada.

"Veteran tidak mahu kehilangan mana-mana pemimpin yang telah banyak berjasa kepada parti. Tan Sri Muhyiddin sebagai timbalan presiden dan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai naib presiden tetap kami hormati dan sanjungi selagi mereka berdua kekal dijawatan itu," katanya.

Sunday, November 22, 2015

'Obama jangan tunjuk sikap koboi di Malaysia'

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
22 NOVEMBER 2015
Gambar hiasan.
SHAH ALAM - ‎ Veteran Umno menyatakan kekesalan dengan sikap Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang tidak tahu menghormati tuan rumah Malaysia apabila berjumpa pemimpin pembangkang dan antikerajaan.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub mendakwa, tindakan itu ketika kehadirannya sebagai tetamu negara dan menjalankan tugas rasmi menghadiri Sidang Kemuncak Asean telah menunjukkan sikap tidak menghormati tuan rumah.

"Sikap seperti ini jelas menunjukkan 'ketua negara koboi' itu mahu menunjukkan keangkuhannya dan tidak sensitif terhadap negara tuan rumah.

"Apakah Obama berpandangan bahawa berjumpa dengan pembangkang dan kumpulan antikerajaan itu sebahagian dari tugas rasmi dalam lawatannya ke negara ini?

"Apakah Obama boleh dengan bebas berjumpa dengan sesiapa saja tanpa merujuk kepada Wisma Putra?" katanya dalam satu kenyataan.

Mustapha berkata, Veteran dengan tegas ingin menyatakan kalaupun tuan rumah Malaysia memberi kelonggaran kepada Obama kerana untuk menjaga hati dan persahabatan, beliau tidak sepatutnya menggunakan kelonggaran itu demi menjaga hati Malaysia.

"Apakah Obama boleh dengan bebas berjumpa dengan mana-mana pihak yang antikerajaan kalau dia melawat negara lain seperti China?

"Dalam hal ini, ternyata kedutaan AS telah tersalah nasihat kepada Obama. Atau dutanya dengan sedar sengaja mengatur perjumpaan itu," katanya.

Katanya lagi Veteran memang menyedari Kedutaan AS di Kuala Lumpur merupakan duri dalam daging sejak sekian lama.

"Mereka telah menghantar isyarat yang salah kepada Washington dalam hal Bersih dan kes Anwar Ibrahim.

"Justeru itu, Veteran yakin perjumpaan Obama dengan Bersih, LGBT dan pembangkang berkait rapat dengan usaha untuk pembebasan Anwar dan yang bersangkutan dengan kepentingan isu Bersih dan LGBT. Ini membuktikan AS bersedia untuk campur tangan dalam masalah dalaman Malaysia," katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-