Saturday, May 5, 2018

Rais akan sertai ceramah pembangkang

Diterbitkan 5 Mei 2018, 2:11 petang

Penasihat sosio budaya kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim yang dipecat daripada Umno akan menyertai ceramah pembangkang menjelang beberapa hari sebelum tarikh mengundi pilihan raya umum pada 9 Mei ini.

“Saya akan hadir ceramah dalam sehari dua ini, di mana saya mampu pergi. Saya akan membantu mereka,” katanya kepada Malaysiakini ketika diminta mengulas pemecatannya dari Umno.

Sambil mengakui beliau belum menerima surat pemecatan keahliannya itu daripada Umno, Rais berkata ini tidak lagi penting kerana Umno sudah menjadi pertubuhan haram kerana melanggar Artikel 10 perlembagaan parti.

“Surat itu tidak mempunyai kesan kepada saya. Tiada kesan mengikut undang-undang,” katanya.

Susulan pemecatan itu, Rais berkata dirinya kini lebih bebas menyatakan pandangannya pada platform yang lebih luas.

“Saya akan memberi tumpuan lebih kepada masalah berhubung keluhuran undang-undang di negara ini, dan terhadap sistem kleptokrasi, yang telah kita bicarakan, serta ketelusan kerajaan dan hal ehwal awam.

“Saya cukup berminat dengan perkara ini. Saya pasti akan memberi sokongan kepada mana-mana entiti yang selari untuk menjadikan Malaysia sebagai tempat masa depan yang munasabah.

Menurut Rais apa yang berlaku adalah perkara biasa seperti yang dialaminya pada 1987, di mana beliau juga dipecat daripada Umno.

Yang berbeza, katanya, kali ini, Umno bukan lagi satu entiti yang sahih.

Selain Rais, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengesahkan bahawa beliau mengeluarkan arahan untuk menamatkan keahlian Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rafidah Aziz, semalam.

Ketiga-tiga veteran itu sejak kebelakangan ini didakwa semakin lantang mengkritik Perdana Menteri Sementara Datuk Seri Najib Razak dan pentadbirannya serta menyokong Pengerusi Pakatan Harapan dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Terbaru, Rais mengingatkan Umno bahawa lautan manusia kini tampil menunjukkan sokongan kepada Pakatan Harapan.

Di Twitter, beliau memuat naik gambar-gambar ceramah pembangkang yang dibanjiri manusia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-