Khaled Nordin berkata manifesto PH hanyalah populis dan tidak akan berjaya dilakukan, dan yakin rakyat akan mendapati tuduhan terhadap Umno tidak benar.
KUALA LUMPUR: Manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya lalu untuk membenarkan penangguhan bayaran balik pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ke atas peminjam bergaji kurang RM4,000 bakal mendatangkan masalah, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Khaled, bekas menteri besar Johor yang pernah mengetuai Kementerian Pengajian Tinggi, berkata pembayaran balik pinjaman PTPTN itu menampung pinjaman kepada pelajar baru.
“Barisan Nasional (BN) terlalu baik, kita bagi pinjaman kepada pelajar bukan sahaja nak bayar yuran, tetapi untuk sara hidup mereka sekali.
“Jika kita lihat amalan di luar negara, kalau mereka nak sara hidup ketika belajar, mereka bekerja sebab nak tampung kos sara hidup mereka,” katanya kepada FMT ketika ditemui baru-baru ini.
Menteri Pendidikan Maszlee Malik baru-baru ini berkata peminjam PTPTN perlu bayar pinjaman seperti biasa, ketika mengumumkan PH terpaksa menangguhkan janji membenarkan mereka menangguhkan pembayaran disebabkan masalah hutang negara.
Khaled berkata jika PH mahu meneruskan penangguhan bayaran PTPTN itu, pelajar baru akan menjadi mangsa.
Khaled menganggap manifesto PH sebagai populis dan tidak akan berjaya dilakukan.
“Begitu juga bila PH kata nak hapus cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Semua manifesto tak boleh laksana sebab tidak cukup dana.
“Dulu dia kata barang naik kerana GST. Bila dah (dikurangkan) 0%, harga barang tetap sama. Harga pakaian mungkin turun tetapi makanan tidak,” katanya.
Khaled yakin Umno akan kembali dalam masa 5 tahun akan datang dengan lebih berwibawa dan menjamin tidak akan lakukan fitnah.
Menurutnya, rakyat akan mendapati sebahagian daripada tuduhan dibuat pembangkang adalah fitnah dan dusta.
“Umno akan tegur mengenai tindakan yang salah oleh kerajaan dan mengubah struktur, pendekatan Umno, dari segi cara bekerja dan hubungan dengan rakyat dalam masa 5 tahun.
“Ini dapat bawa kekuatan sokongan dan dapat lahirkan rasa rapat orang Melayu dengan Umno,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.